Toyota GR Corolla merupakan antara model yang direka untuk pemanduan yang mengujakan sama ada di litar atau di jalan raya. Meskipun banyak pengeluar lain yang lebih fokus menghasilkan kereta elektrik, Toyota sentiasa menawarkan sesuatu yang baharu kepada peminat mereka.
Kali ini, jurutera Gazoo Racing telah menambah baik model GR Corolla dimana mereka lebih memberikan perhatian kepada aspek pemanduan. Antara perkara yang berubah adalah penggunaan bolt pengetat di bahagian gantungan hadapan dan pada kotak gear stereng.
Manakala untuk bahagian belakang, sistem suspensi telah ditukarkan saiz kepala bolt kepada yang lebih besar sebanyak 2mm menjadikan saiz baharu kepada 24mm.
Menurut Toyota, penambahbaikan tersebut menjadikan casis lebih tegap, serta tindak balas stereng menjadi lebih pantas dan stabil ketika memandu. Malah, dari segi kestabilan juga mereka turut melebarkan bukaan liang bampar hadapan untuk melancarkan aliran udara, dalam masa sama mengurangkan daya seretan sewaktu pemanduan kelajuan tinggi.
Kepada yang ingin membeli GR Corolla, anda perlu ada tuah yang banyak kerana Toyota akan memilih para pembelinya menerusi cabutan undi loteri yang akan diadakan pada September nanti untuk pasaran Jepun.
GR Corolla edisi terhad ini hanya dihasilkan sebanyak 550 unit sahaja dengan warna yang tersedia adalah warna cyan metallic dan warna gabungan hitam dan biru yang mana kombinasi warna ini hanya boleh dibeli oleh 50 orang yang bertuah sahaja.
Tempahan untuk membeli GR Corolla edisi terhad akan dibuka bermula semalam 23 Ogos hingga 11 September 2023 dengan nilai jualan bermula 5.25 juta yen atau RM168,091.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.