Persaingan pengeluar kereta dalam menghasilkan kenderaan elektrik dilihat tidak memperlahankan rentak mereka, sebaliknya, majoriti pengeluar dilihat bersaing untuk memberi yang terbaik kepada pelanggan mereka dan juga kepada alam sekitar.
Pelbagai aspek perlu diambil kira dalam menghasilkan kenderaan elektrik yang dapat memenuhi keperluan harian pengguna seperti jarak perjalanan, masa pengecasan, ketahanan casis, kelajuan dan pelbagai lagi.
Terbaru, jenama kereta elektrik terkemuka, Tesla mendapat perhatian sekali lagi kerana dikatakan dalam usaha untuk menghasilkan kenderaan elektrik produksi dengan harga termurah di pasaran iaitu Tesla Model 2.
Mereka dikatakan melabur sebanyak RM70 bilion (USD$15 billion) untuk menjayakan model elektrik mampu milik ini. Lakaran awal model ini berbentuk hatchback yang mana kemungkinan pasaran sasarannya adalah golongan muda.
Sama seperti model terdahulu, Tesla Model 2 ini turut ditawarkan dengan pilihan naik taraf bateri dan langganan perkhidmatan.
Menurut sumber, model ini akan menjadi kenyataan seawal tahun 2026 sebelum dipasarkan ke China. Jika ia berjaya memasuki pasaran EV kelak, kita dapat lihat ia menjadi pesaing kepada Hyundai Ioniq 6, Ford Mustang Mach-E, BYD Atto 3 dan Kia EV6.
Tambah pemilik syarikat tersebut, Elon Musk, Tesla menyasarkan untuk mengeluarkan 20 juta kenderaan mereka iaitu dua kali ganda daripada pengeluar kereta terbanyak setakat ini, Toyota.
Namun, beberapa pengeluar kereta lain seperti Honda dan Hyundai agak was-was dengan keputusan Tesla yang ingin menjual kenderaan elektrik pada harga murah seperti itu.
Menurut Hyundai, EV berharga RM116,000 adalah mustahil tanpa mengurangkan prestasi kenderaan itu.
Jika mengikut kepada jadual pelancaran seawal tahun 2026, kita boleh jangka ia akan masuk ke pasaran Malaysia menjelang 2027. Pada waktu itu, mungkin lebih banyak model elektrik yang akan menjadi pesaing kepada Model 2 ini. Sama-sama kita nantikan…
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.