Berita

Revolusi Keselamatan Jalan, Projek Jalan Bercahaya Pertama Malaysia

Share

Projek revolusioner pertama dalam negara yang melibatkan penggunaan cat bercahaya dalam gelap kini sedang dilakukan di Jalan Sungai Lalang (B19) di Hulu Langat, Selangor oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurut Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, projek penerangan inovatif ini membantu meningkatkan keselamatan pemandu dengan memanfaatkan pantulan cahaya pada pembahagi jalan.

Teknologi yang digunakan untuk mencipta pantulan cahaya daripada lampu kenderaan adalah suatu inovasi dalam bidang kejuruteraan jalan. “Dengan memanfaatkan ciri pemantulan cahaya kuning dan menggunakan High Intensity Prismatic Sheet, kaedah pencahayaan ini diperkemas lagi dengan ciri phosphorescence yang mengandungi elemen pigmen phosphors, memancarkan cahaya yang dapat dilihat setelah menerima sumber tenaga, sama ada dari cahaya matahari atau lampu kenderaan. Cahaya ini kelihatan pada waktu malam,” jelas beliau dalam perkongsian di Facebook.

Dalam satu lawatan bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ke lokasi tersebut pada Rabu malam, Mohd Sany mengucapkan terima kasih kerana Hulu Langat dipilih sebagai tempat untuk projek revolusioner ini.

Namun begitu, RTM melaporkan bahawa Alexander menyatakan Kementerian Kerja Raya (KKR) akan melakukan kajian menyeluruh serta menilai kos projek ini dengan lebih teliti kerana melibatkan perbelanjaan yang besar.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Shazwan