Pada ketinggian 5,573.979 meter, dua unit Porsche Taycan 4 Cross Turismo dilaporkan berjaya mencatatkan rekod dunia Guinness World Record untuk perubahan altitud terbesar dengan menggunakan kereta elektrik (EV).
Perjalanan EV tersebut bermula dari Tasik Ayding, wilayah Xinjiang yang terletak 218.845 meter di bawah aras laut, sebelum mencecah puncak Hongtu Daban Tibet pada ketinggian 5,355.1 meter di atas aras laut.
Di antara kawasan yang dilalui oleh Taycan Cross Turismo adalah beberapa laluan off-road
popular seperti Tomur Grand Canyon, Tarim Poplar Forest, Sansha Desert Highway, Dokuo-Lunque Highway dan G219 National Highway.Tempoh pengembaraan sepanjang 10 hari itu disokong oleh stesen pengecasan 22kW dan 120 kW, namun turut bersama adalah tempat pengecasan dari trak sokongan EnjoyElec yang dikendalikan oleh Porsche Ventures.
Berdepan keadaan cuaca sejuk ekstrim, Porsche Taycan Cross Turismo itu berjaya mencapai empat kemuncak berturut-turut pada ketinggian melebihi 4,900 meter.
Menurut Porsche, kedua-dua Taycan Cross Turismo itu telah melalui empat musim sepanjang perjalanan yang turut dibantu dengan mod pemanduan Gravel dan sistem brek regeneratif yang membantu menambah jarak gerak untuk pemanduan jarak jauh.
Porsche Taycan 4 Cross Turismo ini juga dikatakan menghasilkan 350kW/ 476PS dengan pecutan 0-100km/j hanya 5.1 saat sahaja. Manakala, dimensi model ini berukuran 1,409mm tinggi, 1,967mm lebar, 4,974mm panjang dengan jarak antara roda 2,904mm.
Jarak perjalanan bagi model ini mampu bergerak dari 370 km hingga 600 km bergantung kepada gaya pemanduan anda. Tempoh pengecasan pula, sepantas 5.3 minit untuk pengecasan pantas (DC) bagi 100 km jarak perjalanan.
Harga yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia bagi model Taycan 4 Cross Turismo ini bermula dari RM598,000. Mereka yang berminat boleh layari laman sesawang rasmi Porsche, www.porsche.com/malaysia atau boleh kunjungi bilik pameran Porsche yang terletak di Ara Damansara, Sungai Besi, Johor Bahru dan Penang.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.