Sempena musim perayaan Aidiladha yang bakal tiba, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan pelaksanaan Operasi Khas Raya Aidiladha 2025. Ia akan berlangsung dari 4 hingga 10 Jun di seluruh negara.
Operasi ini bertujuan untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya berada pada tahap optimum, terutama ketika trafik dijangka meningkat.
Fokus Utama – Keselamatan & Penguatkuasaan
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, operasi ini bukan sekadar pemeriksaan rutin, sebaliknya melibatkan tujuh strategi utama yang akan dijalankan secara serentak:
- Pemeriksaan operasi bas di depoh (audit keselamatan)
- Ops Khas untuk sembilan kesalahan utama jalan raya
- Ops Khas Perkhidmatan Awam (termasuk bas awam)
- Ops Khas untuk kenderaan barangan
- Ops Khas motosikal
- Ops Khas teknikal (pemeriksaan teknikal kenderaan)
- Pemantauan menyeluruh terhadap pematuhan undang-undang jalan raya

9 Kesalahan Utama Yang Akan Diberi Perhatian
Dalam tempoh operasi ini, JPJ akan memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan serius di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), termasuk:
- Memandu melebihi had laju
- Tidak patuh lampu isyarat merah
- Memotong di garisan berkembar
- Memandu di lorong kecemasan
- Memotong barisan
- Guna telefon bimbit semasa memandu
- Tidak pakai tali pinggang keledar / topi keledar
- Kenderaan berat di lorong laju
- Kenderaan membawa lebih muatan
Kesalahan-kesalahan ini dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama kepada kemalangan jalan raya, terutamanya ketika musim perayaan.

Sasaran – Kurangkan Kematian & Kecederaan di Jalan Raya
JPJ menyatakan komitmen mereka untuk menurunkan kadar kemalangan maut dan kecederaan sekurang-kurangnya 50% menjelang tahun 2030. Langkah penguatkuasaan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan ke arah mencapai matlamat tersebut.
Aduan Boleh Dibuat Secara Digital
Bagi orang ramai yang ingin melaporkan sebarang kesalahan trafik sepanjang musim perayaan ini, JPJ turut menyediakan saluran digital seperti:
- Aplikasi MyJPJ (e-Aduan@JPJ)
- E-mel ke: aduantrafik@jpj.gov.my
Kesimpulan
Operasi khas sempena Aidiladha ini bukan sekadar untuk menguatkuasakan undang-undang. Tetapi juga sebagai langkah proaktif JPJ dalam menjaga keselamatan semua pengguna jalan raya.
Jadi kalau anda akan memandu pulang ke kampung atau ke destinasi percutian, pastikan kenderaan dalam keadaan baik dan patuhi undang-undang jalan raya. Jangan jadikan hari raya anda berakhir di hospital atau mahkamah.
Dari Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia
Baca Juga JPJ Tunjuk Cara Mudah Buat Aduan Kesalahan Lalu Lintas Guna Aplikasi MyJPJ
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.