Pada hari Selasa, operasi semua feri dari Langkawi ke Kuala Kedah dan sebaliknya dihentikan sepenuhnya akibat ombak besar setinggi lima meter yang melanda perairan Kuala Kedah.
Menurut Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom. Ombak setinggi lima meter itu memberikan risiko yang besar kepada pelayaran. Atas faktor keselamatan, semua operasi feri dihentikan sehingga keadaan cuaca kembali tenang.
Sebanyak 10 trip feri terjejas akibat gangguan ini, dengan empat trip melibatkan perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah. Manakala enam trip lagi melibatkan laluan dari Kuala Kedah ke Langkawi.
Trip yang terjejas dari Langkawi ke Kuala Kedah termasuklah pada jam 10.30 pagi, 12 tengahari, 1 petang, dan 1.30 petang. Ia melibatkan 2,134 penumpang secara keseluruhan.
Manakala, bagi laluan dari Kuala Kedah ke Langkawi, enam trip yang terjejas adalah pada jam 9.30 pagi, 10.30 pagi, 11.30 pagi, 12 tengahari, 1.30 petang, dan 2.30 petang, yang melibatkan seramai 1,791 penumpang.
Kapten Dr Baharin turut memaklumkan bahawa penumpang yang terkesan boleh membuat tuntutan bayaran balik atau menukar tarikh perjalanan ke tarikh yang lebih sesuai.
Ini pastinya melegakan mereka yang mungkin sudah membuat perancangan awal untuk perjalanan ke Langkawi.
Sebagai alternatif, pihak konsortium juga sedang mempertimbangkan untuk menyediakan feri tambahan melalui laluan Terminal Penumpang Kuala Perlis.
Namun, ia tertakluk kepada beberapa faktor seperti kemampuan terminal itu menerima jumlah penumpang yang lebih ramai serta keadaan paras air yang selamat untuk pelayaran.
Langkah ini pastinya dibuat dengan penuh berhati-hati memandangkan keselamatan penumpang adalah keutamaan, lebih-lebih lagi dengan situasi ombak yang tidak menentu.
Di samping itu, pihak feri juga terus memantau keadaan cuaca sebelum sebarang keputusan dibuat untuk menyambung semula operasi pelayaran.
Bagi penumpang yang sedang merancang perjalanan mereka dalam masa terdekat, dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan maklumat terkini dari pihak feri atau pihak berkuasa tempatan.
Keadaan cuaca yang tidak menentu, terutama sekali ombak tinggi, boleh memberikan kesan yang besar kepada keselamatan dan operasi pelayaran.
Dari Careta
Baca Juga SANI FERRY Tiba Secara Rasmi di Pulau Langkawi, Bakal Beroperasi Awal Tahun 2024
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.