Berita

Malaysia #QuranHour 2024 – Jiwa Merdeka, Maknai Rukun Negara

Share

Malaysia #QuranHour

Edisi ke-10 Malaysia #QuranHour kali ini membawa tema “Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara,” dengan tumpuan kepada Surah al-Jumu’ah dan Surah al-Hujurat. 

Program ini bertujuan memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia melalui penghayatan Rukun Negara dan nilai-nilai murni yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah. 

Program ini berlangsung serentak di seluruh negara, dengan lokasi perdana di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, dan disiarkan secara langsung dari jam 10 pagi hingga 11 pagi pada 30 Ogos 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif World Quran Hour Foundation (WUIF), Marhaini Yusoff, menyatakan bahawa kerjasama dengan pelbagai organisasi merupakan kunci kejayaan program ini. 

Pihak Terlibat #QuranHour 2024

Penglibatan media, agensi kerajaan, korporat, NGO, dan institusi pendidikan dalam menggerakkan #QuranHour telah membuktikan komitmen semua pihak dalam menyatukan rakyat. 

Marhaini menambah, “Penyatuan media dengan al-Quran bermula pada tahun 2015, dan sejak itu, kempen #QuranHour yang melibatkan World #QuranHour, Arafah #QuranHour, Malaysia #QuranHour, dan World #QuranHour telah mencapai 7.3 bilion capaian sosial di 76 negara.”

Antara wakil media yang terlibat termasuk Astro Oasis, TV Alhijrah, TV9, Astro Awani, RTM, Bernama, Utusan TV, Utusan Malaysia, Sinar Harian, Nu Ideaktiv, IKIM FM, Media Prima, New Straits Times Press (NSTP), Zayan FM, dan Denaihati.com. 

RTM sebagai penyiar utama turut mengalu-alukan rakan media lain untuk mengambil “live feed” Malaysia #QuranHour bagi siaran serentak pada hari tersebut.

Sokongan Daripada..

Malaysia #QuranHour dianjurkan dengan sokongan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pelbagai rakan sinergi, termasuk Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM). Majlis Perwakilan Pelajar USIM. Rasuah Buster. Karya Bestari. Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd. Rumah Ngaji. Sahabah Al-Quran serta pelbagai badan kerajaan dan bukan kerajaan di dalam dan luar negara.

Tema “Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara” bermaksud kebebasan daripada perhambaan terhadap sesama manusia kepada perhambaan kepada ALLAH SWT. Bebas daripada kesempitan dunia kepada keluasannya, serta bebas daripada kezaliman kepada keadilan Islam. 

Dalam konteks Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, agama, dan budaya, penghayatan Rukun Negara adalah penting untuk mencapai kemakmuran negara. Tiga golangan utama, iaitu Ulama, Umara, dan Ummah (3U). 

Makna Tema Tahun Ini

Ini memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan negara. Ulama bertanggungjawab menyebarkan ilmu dan panduan moral, Umara’ memimpin dengan adil dan bertanggungjawab, manakala Ummah menjalin silaturahim dan menyokong perpaduan.

Surah Al-Jumu’ah berfungsi sebagai panduan untuk mengangkat nilai-nilai murni dalam agama Islam sebagai agama Persekutuan. Manakala Surah Al-Hujurat, yang dikaitkan dengan adab dan akhlak, menjadi panduan dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat. 

Sunnah Rasulullah SAW dalam membina akhlak dan peradaban diri juga perlu direalisasikan untuk mencapai kesejahteraan rakyat dan negara.

Misi Malaysia #QuranHour 2024 adalah untuk membentuk perpaduan dan kesatuan hati melalui kefahaman nilai keimanan yang sempurna, selaras dengan hadis Rasulullah SAW. 

“Orang yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan paling lembut terhadap keluarganya” (HR Tirmizi No: 2537). Keimanan yang kukuh adalah kunci perpaduan sejati dalam masyarakat.

Baca Juga Perlu Ke Memanaskan Enjin Kereta Sebelum Memulakan Perjalanan

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.