Walaupun nama ABT Sportsline lebih lazim didengari pada jenama Audi, namun ia bukanlah satu penghadang bagi jenama dari Itali ini untuk menggunakan kreativiti mereka ke atas model paling laris yang pernah dihasilkan mereka iaitu SUV Lamborghini Urus.
ABT Urus Scatento atau dalam bahasa Itali bermaksud liar, lengkap didatangkan dengan enjin V8 4.0 liter turbo berkembar, dengan hantaran kuasa yang mencecah 810 HP dan mampu naik sehingga 144 HP dengan teknologi Power R.
Untuk bahagian luaran, anda boleh jangkakan rupa bentuk yang ekstrim dan agresif yang boleh dikatakan ‘signature’ bagi mana-mana model Lamborghini. Kit aerodinamik standard ini memang menambah rupa ‘garang’ yang memang sedia ada wujud pada Urus.
Selain rupa yang ‘garang’, kit aero itu mempunyai tujuan yang penting iaitu untuk memastikan SUV ini lebih stabil di atas jalan raya kerana dengan casis yang lebar dan tinggi, pengendalian model ini sudah pasti tidak sama dengan model hatchback atau sedan.
Antara kit aero yang ditambah adalah spoiler berbilah di bahagian hadapan, ‘skirt’ belakang yang telah diubah suai dan juga spoiler belakang yang lebih tajam. Seperti biasa, model prestasi seperti ini sudah tentu dihiasi dengan gentian karbon di bahagian luar dan dalam untuk mengurangkan berat kenderaan.
Setiap unit yang dihasilkan akan dipadankan dengan rim ABT High-Performance IRL 23 inci, dan juga turut didatangi dengan sistem ekzos empat tip titanium. Menurut Lamborghini, hanya 99 unit sahaja edisi Urus ABT Sportsline yang akan dihasilkan, dengan harga jualan tidak didedahkan.
Sebagai bayangan, Lamborghini Urus model biasa mempunyai tanda harga bermula daripada RM1,000,000, jadi anda boleh bayangkan berapa harga Urus talaan ABT Sportsline ini. Untuk maklumat lanjut mengenai edisi khas ini anda boleh layari laman web mereka www.abt-sportsline.com/abt-limited-editions/abt-urus-scatenato.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.