Berita

Keretapi Nasional Thailand Dihubungkan Dengan Rangkaian Perdagangan Laos-China

Share

Keretapi Nasional Thailand

Keretapi nasional Thailand bakal dihubungkan dengan rangkaian kereta api Laos-China bagi meningkatkan perdagangan di kalangan tiga negara itu. Ini dengan harapan bahawa Thailand akan bertindak sebagai hab logistik serantau. 

Timbalan Gabenor Kereta Api Negara Thailand (SRT), Awirut Thongnate, berkata bahawa SRT sedang bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Kereta Api Nasional Laos untuk mempersiapkan pembukaan rasmi rangkaian kereta api Thai-Lao, yang dijadualkan berlangsung bulan depan. Pautan ini akan menghubungkan Thailand dan China melalui kereta api buat kali pertama.

Sistem kereta api Thai bermula dari Bangkok, di Stesen Pusat Krung Thep Aphiwat. Kemudian melalui bandar besar di timur laut Udon Thani serta bandar sempadan Nong Khai. Ia kemudian akan disambungkan ke rangkaian kereta api Laos di Stesen Khamsawath di Vientiane.

Keretapi Laju China dalam hangar

Pelan Permulaan Projek Nasional

“Rangkaian kereta api Thai-Lao dijadualkan akan dibuka secara rasmi pada bulan Julai. Ini akan membantu menghubungkan bukan sahaja logistik dan perdagangan, tetapi juga meningkatkan pelancongan di sepanjang Thailand dan Laos, serta menghubungkan ke wilayah selatan China melalui kereta api laju Laos-China,” kata Awirut kepada wartawan.

Pada 5 Jun, pegawai-pegawai dari Kereta Api Negara Thailand bertemu Daochinda Siharath, pengarah urusan Pihak Berkuasa Kereta Api Nasional Laos. Pertemuan ini adalah untuk membincangkan pelan tindakan bagi projek tersebut.

Kereta api laju China-Laos mula beroperasi pada Disember 2021, menawarkan laluan bagi barangan Thailand untuk melintasi sempadan ke ibu negara Laos, Vientiane, untuk pengangkutan kereta api ke bandar selatan China, Kunming.

Cadangan pelan rangkaian laluan keretapi Thailand-Laos-China

Kemudahan Yang Dijangkakan

Rangkaian kereta api sejauh 1,000 kilometer ini telah membantu mengurangkan masa penghantaran ke China hanya kepada 15 jam dari dua hari yang diperlukan oleh trak untuk membawa kargo melalui laluan berbukit ke China.

Eksport Thailand yang mungkin mendapat manfaat daripada sambungan kereta api ini termasuk makanan, produk bermusim, dan barangan mudah rosak lain, terutamanya durian. Setakat tahun ini, eksport Thailand ke China bagi buah tersebut telah melebihi 2 bilion baht ($54.4 juta). Menurut data Kementerian Perdagangan, jumlah penghantaran durian ke China mencapai rekod kira-kira 700,000 tan pada 2022.

Konduktur Keretapi Laos sedang menerima latihan isyarat tangan dari pelatih China

Sambungan kereta api ini telah menjadikan China sebagai rakan dagang sempadan utama. Walaupun Thailand dan China tidak berkongsi sempadan, kereta api ini telah mencipta pengangkutan tanpa gangguan antara kedua-dua negara.

Pusat Penyelidikan Kasikorn meramalkan bahawa eksport Thailand ke China melalui pautan kereta api Thai-Lao akan berkembang sebanyak 17% tahun ini kepada kira-kira 250 bilion baht, dan meramalkan angka itu akan terus meningkat pada masa hadapan.

Kredit – Asia Nikkei

Baca: Motosikal Elektrik Bersaiz Gergasi Dari Thailand, Mempunyai Jarak Perjalanan 720km Dengan Sekali Cas

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

 

Published by
Shazwan