Lesen GDL dan PSV – Langkah terbaru yang dicadangkan oleh Kementerian Pengangkutan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah untuk memperketat operasi bersepadu. Ia bakal memfokuskan kepada kenderaan berat. Turut disambut baik oleh Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR).
Menurut Penasihatnya, Datuk Suret Singh, cadangan ini adalah selari dengan usaha meningkatkan keselamatan jalan raya, terutamanya melibatkan pemandu kenderaan berat seperti lori dan bas.
Ujian Darah
Antara inisiatif penting yang diutarakan oleh PPKJR ialah mewajibkan ujian darah sebagai syarat untuk mendapatkan lesen GDL (Lesen Kenderaan Barangan) serta lesen PSV (Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam).
Ujian ini bukan sahaja perlu dilaksanakan bagi pemohon baru lesen, tetapi juga diwajibkan setiap kali lesen tersebut diperbaharui. Langkah ini akan membantu memastikan bahawa pemandu yang memandu kenderaan berat bebas daripada pengaruh dadah.
Menurut Datuk Suret Singh, pihaknya bersetuju dengan pendekatan JPJ yang ingin menguatkuasakan undang-undang berkaitan pemanduan di bawah pengaruh dadah dengan tahap ketegasan yang sama seperti perundangan yang dikenakan ke atas pemandu di bawah pengaruh alkohol.
Tambahnya, pindaan kepada peraturan sedia ada boleh dilakukan dalam masa yang lebih singkat untuk memperkenalkan ujian darah ini sebagai langkah kawalan tambahan.
Perketat Peraturan
Selain memperketatkan peraturan untuk lesen GDL dan PSV. Kerajaan juga disaran untuk terus membiayai latihan kepada 1,000 pemandu baru setiap tahun.
Ini penting bagi menangani masalah kekurangan pemandu kelas E yang diperlukan untuk memandu kenderaan berat seperti lori dan bas.
Dengan ini, bukan sahaja aspek keselamatan dipertingkatkan, tetapi juga masalah kekurangan pemandu yang dihadapi industri pengangkutan dapat diselesaikan.
Dalam pada itu, Datuk Suret Singh turut menekankan bahawa usaha meningkatkan keselamatan jalan raya tidak hanya terletak pada bahu kerajaan atau JPJ sahaja.
Matlamat Utama
Sebaliknya, semua pihak perlu bekerjasama untuk mencapai visi yang terkandung dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya 2022-2030. Matlamat utama pelan ini ialah mengurangkan sebanyak 50 peratus bilangan kematian akibat kemalangan jalan raya menjelang tahun 2030.
Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa JPJ akan memperketat operasi bersepadu yang memfokus kepada kenderaan berat.
Langkah ini dijangka akan mengurangkan risiko kemalangan melibatkan kenderaan berat, sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya di seluruh negara.
Dari Harian Metro
Baca Juga Persedian Ujian Memandu Lesen B Full, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.