BMW sekali lagi memperkenalkan model jenis kalis peluru yang terbaharu iaitu BMW X5 Protection VR6 untuk keluaran tahun 2024. Selepas kemunculan i7 Protection dan 7 Series Protection, model X5 Protection merupakan model ketiga kereta berperisai penuh dari BMW yang dikeluarkan tahun ini.
Untuk membezakan antara model X5 yang yang biasa dan Protection, BMW memberi sentuhan sporty pada keseluruhan model X5 Protection seperti kemasan jeriji M, perumah cermin sisi berwarna hitam berkilat, rel bumbung BMW Individual, serta sistem ekzos siri M.
Menurut BMW, model ini direka supaya kelihatan tidak menonjol di jalanan, sesuai dengan tujuan asalnya untuk melindungi pengguna yang menaikinya.
Di sebalik rupa paras yang sopan (atau garang) itu, ia menampilkan struktur kalis peluru yang diperbuat daripada plat keluli berdaya tinggi di bahagian kritikal seperti pintu, rangka sisi, bumbung dan juga pemisah antara ruang enjin dan ruang kabin.
Pada bahagian kargo juga turut diberi sentuhan perisai dan juga perlindungan bawah badan aluminium bertujuan untuk memberi perlindungan tambahan kepada penumpang. Selain itu, tangki bahan api turut dibaluti dengan bahan khas untuk mengelakkan sebarang kebocoran ketika menghadapi situasi genting.
Komponen-komponen tersebut memberi BMW X5 perlindungan kelas VR6 dimana ia memastikan penumpang selamat dari serangan senjata api terutamanya dari peluru bersaiz 7.62×39, peluru penembus perisai 30.06, dan juga mampu bertahan dari bom TNT.
Untuk perlindungan yang lebih menyeluruh, pemilik boleh menambah perisai bawah badan dan bumbung untuk kos tambahan.
Dari segi kuasa, BMW X5 Protection VR6 dikuasakan dengan enjin V8 4.4 liter dengan sistem hibrid ringan 48 voltan yang mampu menghamburkan 523 kuasa kuda dengan daya kilas 750 Nm.
Amaun berat sebenar X5 Protection tidak dinyatakan oleh BMW, namun, pemasangan komponen berperisai ini telah menambah masa pecutan 0-100km/j dari 4.2 saat ke 5.9 saat.
Berita baiknya, mereka telah menambah baik sistem brek dan suspensi SUV ini untuk menampung berat tambahan yang dinyatakan tadi.
Ruang dalaman dilengkapi dengan skrin kluster digital 12.3 inci, skrin tengah bersaiz 14.9 inci, kawalan iklim empat zon, serta tempat duduk jenis sukan yang dibaluti kulit Sensafin.
Tempat duduk bagi model ini hanya memuatkan empat orang sahaja. Alasan BMW adalah untuk mengurangkan risiko bahaya dan meningkatkan keselesaan antara penumpang di dalamnya.
Selain itu, BMW turut menawarkan peralatan tambahan lain seperti sistem interkom, lampu mata arah LED di jeriji hadapan dan belakang, antena radio serta program latihan pemanduan taktikal khas oleh BMW.
BMW X5 Protection VR6 dijangka dipasang di kilang Spartanburg, North Carolina, Amerika Syarikat dengan penghantaran pertama dijadualkan menjelang Februari 2024. BMW setakat ini tidak mendedahkan harganya, pembeli perlu menunggu harga rasmi dari BMW.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.