Wiper Kereta, Apa Yang Perlu Kita Tahu ?

Share

Wiper atau pengelap kereta layak diklasifikasikan sebagai komponen penting dalam kereta. Ini kerana, tanpa wiper yang berfungsi dengan baik, jarak penglihatan pemandu menjadi terhad sekaligus boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Kredit Foto: autoguide.com

Berdasarkan kajian yang dibuat Bosch Automotive Aftermarket Malaysia (Bosch AA), 94 peratus pemandu di Malaysia menganggap wiper merupakan komponen yang penting, satu peningkatan yang baik berbanding 70 peratus pada 2018.

Kredit Foto: wipertech.com.au

Selain mengelap air pada cermin hadapan, tujuan wiper dicipta adalah untuk meningkatkan kadar penglihatan, menghilangkan debu/pasir dan bendasing lain yang mengganggu pemandu. Namun, berapa lama jangka hayat wiper sebelum perlu ditukar?

Kredit Foto: mcgrathautoblog.com

Sebenarnya ia bergantung kepada cara penggunaan, kualiti dan jenis wiper. Secara dasarnya, kita perlu membiasakan diri periksa wiper kereta setiap enam bulan. Perkara yang perlu diberi perhatian ketika memeriksa wiper adalah kesan merekah, lusuh dan koyak.

Jika terdapat bunyi bising ketika menggunakan wiper serta jaluran air yang tidak sekata, itu tandanya untuk kita menukar wiper dengan serta-merta kerana ia boleh berkait dengan perkara yang lebih kritikal pada masa akan datang.

Kredit Foto: yankodesign.com

Tambahan lagi, terdapat tiga jenis wiper kereta di pasaran iaitu wiper konvensional, wiper jenis rata dan wiper hibrid. Kebanyakkan kereta menggunakan wiper jenis konvensional kerana ia lenih tahan lama dan berkualiti.

Namun, kereta-kereta terkini telah mula beralih ke wiper jenis rata kerana ia menggunakan tekanan yang dihasilkan oleh aliran udara sekaligus menghasilkan bentuk aerodinamik yang lebih rata dan dapat mengurangkan bunyi.

Kredit Foto: negaramerdeka.com

Wiper jenis hibrid pula adalah gabungan jenis konvensional dan rata dimana ia menampilkan ciri aerodinamik dengan fungsi wiper jenis konvensional. Wiper hibrid juga dikatakan lebih lancar dan senyap berbanding jenis rata terutama pada kelajuan tinggi.

Sementara itu, bahan wiper kereta terbahagi kepada dua iaitu silikon dan getah. Sekali imbas, bahan silikon lebih berkualiti dan tahan lama, namun ini tidak bermakna wiper getah tidak berkualiti dan bagus. Semuanya bergantung kepada cara penggunaan dan penjagaan wiper.

Kredit Foto: autodeal.com.ph

Perbezaan paling ketara bagi kedua-dua bahan terbabit adalah bahan silikon lebih mesra alam dan tidak mudah rosak, manakala wiper getah lebih murah dan fleksibel untuk menyapu air.

Antara tip penjagaan hayat wiper kereta adalah dengan memilih jenama yang dipercayai seperti Bosch, Michelin dan PIAA. Selain itu, pastikan cermin hadapan kereta sentiasa bersih, ini mampu mengelakkan cermin menjadi calar dan penglihatan kurang jelas.

Kredit Foto: usatoday.com

Akhir sekali, angkat bilah wiper kereta sekiranya kereta diletakkan di kawasan terbuka tanpa bumbung dan guna bahan pencuci cermin yang selamat.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram &  TikTok.

Published by
Shazwan