
Hong Leong Yamaha Motor memperkenalkan pilihan warna baharu untuk Yamaha Y15ZR 2026 iaitu Cyan Jade, sekali gus memberikan nafas baru kepada salah satu kapcai popular di Malaysia.
Warna baharu ini hadir dengan karakter yang lebih berani, sporty dan moden, sesuai dengan imej Y15ZR yang cukup sinonim dalam kalangan penunggang muda tempatan.
Pilihan warna Cyan Jade kini menggantikan warna Mecha Green yang ditawarkan sebelum ini. Dalam masa sama, dua warna sedia ada iaitu Aqua Violet dan Blue Spark masih kekal dalam barisan pilihan untuk model Yamaha Y15ZR.
Yamaha Y15ZR 2026 dengan pilihan warna baharu ini akan mula ditawarkan di semua pengedar sah Yamaha seluruh negara bermula 1 Julai 2026.
Harga jualan runcit yang disyorkan pula ditetapkan pada RM8,998, tidak termasuk yuran pendaftaran dan perlindungan insurans.
Sebagai nilai tambah, pembeli baharu Yamaha Y15ZR turut akan menerima Yamaha safety disc lock bernilai RM100 dengan setiap pembelian.
Dari segi mekanikal, Yamaha Y15ZR masih mengekalkan enjin 150cc, satu silinder, SOHC, sejukan cecair.
Enjin ini mampu menghasilkan kuasa maksimum 11.3 kW pada 8,500 rpm dan tork maksimum 13.8 Nm pada 7,000 rpm.
Walaupun bukan lagi nama baharu dalam pasaran, Y15ZR kekal sebagai antara model kapcai sport yang mempunyai pengaruh kuat di Malaysia, sama ada untuk kegunaan harian, santai hujung minggu mahupun sebagai platform modifikasi.
Dengan kehadiran warna baharu Cyan Jade, Yamaha nampaknya mahu terus memastikan Y15ZR kekal relevan dan segar dalam segmen moped sport tempatan.
Baca Juga : Yamaha Y15ZR 2025 Tampil Dengan Tiga Warna Baharu
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.