Automotif

Viper Niza Racing Kembali Ke Paul Ricard Dengan Misi Besar

Share

Viper Niza Racing Sasar Kekalkan Kedudukan Pendahulu Di Paul Ricard

Pasukan perlumbaan Malaysia, Viper Niza Racing, bakal meneruskan cabaran dalam perlumbaan 12 Hours of Paul Ricard yang berlangsung di Perancis dari 5 hingga 7 Jun ini dengan sasaran mengukuhkan kedudukan mereka dalam saingan Michelin 24H European Series 2026 bagi kategori GT3-AM.

Selepas dua pusingan perlumbaan, Viper Niza Racing kini berkongsi kedudukan teratas carta keseluruhan bersama Hofor Racing dan HAAS RT dengan kutipan 56 mata. Situasi itu meletakkan pasukan negara dalam kedudukan terbaik untuk terus memberi saingan dalam perebutan gelaran musim ini.

Konsisten Jadi Kunci Kejayaan

Beraksi di litar Paul Ricard sepanjang 5.842 kilometer bukanlah tugas mudah, namun pasukan itu yakin kemampuan untuk mengekalkan prestasi konsisten mampu membantu mereka mengumpul mata penting.

Menurut Prinsipal Pasukan merangkap pemandu utama, Douglas Khoo, fokus utama ketika ini adalah mengambil satu perlumbaan pada satu masa tanpa terlalu memikirkan kedudukan keseluruhan.

“Paul Ricard sentiasa mengingatkan kami tentang betapa tidak menentunya perlumbaan endurance. Namun pada masa sama, ia juga menjadi motivasi besar buat pasukan.

“Selepas dua perlumbaan musim ini, kami kini berada dalam kelompok teratas kategori GT3-AM. Sasaran kami adalah untuk mengekalkan kedudukan tersebut dan mengutip mata sebanyak mungkin dalam baki tiga perlumbaan yang masih ada,” katanya.

Kenangan Manis Dan Sukar Di Paul Ricard

Perlumbaan di Paul Ricard tahun lalu meninggalkan pelbagai kenangan buat Viper Niza Racing. Pasukan itu mengalami kemalangan ketika sesi kelayakan sehingga menyebabkan casis Mercedes-AMG GT3 EVO mereka mengalami kerosakan teruk.

Namun begitu, mereka berjaya bangkit dengan menggunakan jentera sewa sebelum menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan keseluruhan serta ketiga dalam kategori GT3-AM.

Keazaman pasukan itu turut membolehkan mereka menerima anugerah Spirit of the Race atas semangat juang tinggi yang dipamerkan sepanjang perlumbaan.

Sasar Penamat Tiga Terbaik Musim Ini

Musim lalu, Viper Niza Racing menamatkan kempen keseluruhan di tempat keempat, hanya selangkah daripada kelompok podium.

Justeru, sasaran utama musim ini adalah untuk menamatkan kejuaraan dalam kelompok tiga terbaik, dengan peluang merebut gelaran keseluruhan GT3-AM turut terbuka luas.

“Tahun lalu kami terlepas podium keseluruhan dengan menamatkan saingan di tempat keempat. Musim ini sasaran kami masih sama iaitu berada dalam kelompok tiga terbaik.

“Jika berpeluang memenangi kejuaraan GT3-AM, ia pastinya satu bonus besar dan kami akan melakukan yang terbaik untuk memanfaatkan kedudukan yang kami miliki ketika ini,” tambah Khoo.

Tiga Pemandu Wakili Malaysia

Bagi perlumbaan hujung minggu ini, Khoo akan bergandingan bersama dua rakan sepasukan tetapnya iaitu Dominic Ang dan Melvin Moh.

Mereka bakal berdepan saingan daripada 14 pasukan lain dalam kategori GT3, dengan keseluruhan 31 jentera akan mengambil tempat di grid perlumbaan.

Format perlumbaan Paul Ricard menyaksikan enam jam pertama berlangsung pada hari Sabtu sebelum semua jentera ditempatkan di parc fermé, manakala baki enam jam perlumbaan akan disambung pada hari Ahad.

Ini merupakan kunjungan ketiga Viper Niza Racing ke litar berprestij tersebut. Khoo sebelum ini pernah beraksi di Paul Ricard pada tahun 2018 dalam siri V de V Endurance dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 daripada 27 peserta menggunakan jentera Ligier JSP3 dalam kategori LMP3.

Baca Juga : Viper Niza Racing Buka Tirai Perlumbaan di Mugello

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.  

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi