Triumph Motorcycles Malaysia secara rasminya memperkenalkan dua model baharu, Triumph Speed 400 dan Scrambler 400 X untuk pasaran Malaysia dengan harga permulaan RM26,900.
Model motosikal hasil kerjasama dengan syarikat automotif terkemuka dari India, Bajaj Auto, dan setelah hampir setahun kedua-dua model ini diperkenalkan di pasaran global, akhirnya motosikal ini mendarat di Malaysia.
Model Triumph Speed 400 menggunakan enjin T-Series satu silinder 398cc yang dilengkapi dengan suntikan bahan api dan penyejukan cecair. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 39.5 kuasa kuda pada 8,000rpm dan 37Nm tork pada 6,500rpm. Ia juga dilengkapi dengan transmisi manual 6-kelajuan yang menjanjikan pengendalian yang lancar dan responsif.
Reka bentuk chasis baharu termasuk kerangka jenis perimeter yang dibina dari tiub keluli dan subframe jenis bolt-in. Triumph Speed 400 juga memiliki fork USD 43mm dengan jarak pergerakan 140mm dan monoshock belakang dengan fungsi preload yang boleh dilaras.
Sistem breknya termasuk kaliper brek 4-pot di depan dengan cakera brek 300mm dan kaliper brek 1-pot di belakang dengan cakera brek 230mm. Model ini juga dilengkapi dengan ABS standard dan hos brek jenis steel-braided untuk peningkatan keselamatan.
Triumph tidak mengabaikan aspek teknologi tinggi, memasukkan ciri seperti sistem ride-by-wire, traction control yang boleh dimatikan, dan klac jenis torque-assist. Panel meter digital LCD dan port USB juga turut disertakan pada model ini.
Acara perasmian model motosikal ini telah berlangsung di Ace Cafe di Kuala Lumpur. Turut diraikan adalah 10 pemilik pertama Triumph Speed 400 dan Scrambler 400 X dan mereka berpeluang untuk menunggang motosikal baru mereka di sekitar Kuala Lumpur bersama dengan pengamal media.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.