Automotif

Toyota S-FR 2027, Pesaing Terbaru Mazda Miata ?

Share

Toyota dikhabarkan sedang merancang untuk menghasilkan sebuah kereta sports baharu yang berpotensi untuk menjadi pesaing kepada Mazda Miata dikenali sebagai Toyota S-FR 2027.

Model ini dijangka dibangunkan dengan kerjasama subsidiari mereka, Daihatsu, berdasarkan konsep S-FR yang diperkenalkan hampir sedekad lalu.

Apa itu Toyota S-FR?

Sejak kebelakangan ini, Toyota telah menghasilkan beberapa model kereta sports yang memukau.

Namun kali ini syarikat gergasi Jepun ini merancang untuk menghasilkan sebuah model yang baharu dan unik.

Berdasarkan laporan dari Jepun, model ini berasaskan konsep S-FR yang pertama kali diperkenalkan pada 2015.

Konsep S-FR ini merujuk kepada “Small Front (engine) Rear (drive)”, yang bermaksud enjin di hadapan dan pacuan roda belakang. Model ini dihasilkan sebagai penghormatan kepada Sports 800, kereta sports pertama Toyota yang dijual di Jepun pada tahun 1960-an.

Menarik Tentang S-FR

Toyota Sports 800 merupakan kereta sports pertama yang dihasilkan Toyota, dengan enjin di hadapan, pacuan roda belakang, serta transmisi manual.

Bentuk badan model ini memberi petunjuk kepada rekaan kereta legenda 2000GT.

Konsep S-FR yang diperkenalkan pada 2015 menjadi cerminan langsung kepada model klasik ini.

Terdapat juga khabar angin mengenai pengeluaran model ini akan terus berkembang hingga ke hari ini.

Platform dan Trenkuasa

Pada tahun lalu, khabar angin mengenai model ini semakin hangat apabila Daihatsu memperkenalkan Vision Copen semasa Japan Mobility Show.

Dengan rekaan dan ciri-ciri yang hampir sama dengan S-FR, ia tidak memerlukan imaginasi yang banyak untuk melihat bagaimana dua konsep ini berkait rapat.

Toyota juga pernah mengisytiharkan bahawa semua kereta sports mereka yang dibangunkan dari awal mesti melalui kerjasama dengan pengeluar lain untuk mengurangkan kos.

Vision Copen, seperti yang ditunjukkan pada pameran tersebut, adalah pacuan roda belakang, sama seperti konsep S-FR.

Model ini masih mengekalkan enjin tiga silinder turbocharged seperti Daihatsu Copen, tetapi diperbesar daripada 660cc kepada 1.3 liter.

Walaupun angka kuasa masih tidak diketahui, ia dijangka lebih tinggi berbanding 63 hp dan 68 lb-ft yang ada pada model Copen semasa.

Saiz dan Dimensi

Dari segi dimensi, Vision Copen jauh lebih besar daripada model Copen semasa.

Panjangnya mencecah 151 inci dan lebar 66.7 inci, hanya 3.1 inci lebih pendek dan 1.6 inci lebih sempit daripada Mazda Miata.

Perbezaan saiz ini menunjukkan bahawa Toyota sememangnya mempunyai niat untuk menghasilkan pesaing langsung kepada Miata.

Namun, adakah model ini akan bertindih dengan GR86 yang sudah pun dianggap pesaing kepada Miata?

Walaupun GR86 ialah kereta sports dua pintu, ia secara nominalnya mempunyai empat tempat duduk dan hanya ditawarkan dalam bentuk coupe.

Sekiranya S-FR berjaya memasuki pasaran, ia akan diletakkan di bawah GR86 dalam barisan kereta Toyota, dengan konfigurasi dua tempat duduk sahaja.

Pasaran Global dan Harga

Persoalan yang lebih besar ialah sama ada Toyota akan menjual model ini di luar Asia Tenggara.

Di Jepun,kereta ini dijangka dijual pada harga sekitar $25,000 (anggaran RM115,000), namun untuk pasaran luar, terutamanya Amerika Syarikat, cabaran besar adalah mematuhi peraturan keselamatan dan undang-undang tempatan, yang boleh meningkatkan kos pembangunan dan kejuruteraan.

Ini menjadikan harga jualan S-FR di pasaran luar lebih mahal.

Walaupun harga anggaran untuk pasaran Jepun adalah sekitar $28,000 (anggaran RM129,000), pasaran global perlu menunjukkan sokongan yang mencukupi bagi kereta sports bersaiz kecil ini, terutama ketika model-model seperti Miata dan GR86 mempunyai angka jualan yang sederhana.

Tarikh Dijangka Dikeluarkan: Akhir 2026

Dengan kerjasama antara Toyota dan Daihatsu, serta perkembangan terbaru daripada Vision Copen, model S-FR berpotensi menjadi realiti dalam tempoh terdekat.

Dijangka akan dipasarkan pada penghujung tahun 2026,  ia pastinya akan mencuri perhatian sebagai kereta sports kompak yang kompetitif dan mempunyai prestasi hebat.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi