
“Handsome wei kereta ni!”, “Lawa dohh!”, “Uish, cantik warna dia!” dan “Perghh, GR Corolla kan?!”
Itulah antara reaksi spontan yang keluar daripada mulut sahabat-sahabat penulis ketika pertama kali melihat Toyota GR Corolla ini secara langsung. Belum sempat kereta ini dipandu, imejnya yang dimuat naik di laman media sosial Roda Panas sudah menerima pelbagai pujian. Malah, ada juga yang mahu menetapkan appointment dengan penulis semata-mata untuk melihatnya dari dekat.
Dalam satu ayat, pengalaman pertama melihat Toyota GR Corolla ini boleh digambarkan sebagai jatuh cinta pandang pertama.
Hampir semua yang melihat kereta ini memberikan reaksi positif. Ada yang berpendapat Toyota GR Corolla sudah tampil cukup lengkap dan tidak perlu dimodifikasi lagi. Ada juga yang mengatakan ia sesuai untuk golongan ‘abah-abah’ yang memerlukan sebuah kereta untuk keluarga, tetapi pada masa sama masih mahu menikmati prestasi sebuah kereta sukan.
Tidak kurang juga sahabat penulis yang berkemampuan dan menyatakan hasrat untuk menjadikannya sebagai kereta harian. Persoalannya, adakah sebuah jentera berprestasi seperti Toyota GR Corolla benar-benar sesuai digunakan setiap hari?
Itulah yang ingin penulis rasai sendiri sepanjang sesi pandu uji kali ini.
Seawal jam 10 pagi, penulis tiba di ibu pejabat UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. di Seksyen 15, Shah Alam untuk mengambil Toyota GR Corolla ini.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada Zoe Seng daripada Rantau PR dan Cik Hanis daripada Toyota yang membantu menguruskan proses sesi pandu uji ini.
Pada awalnya, penulis agak risau mengenai tahap keselesaan kabin disebabkan saiz fizikal penulis yang agak besar. Melihat rekaan tempat duduknya yang seakan-akan kerusi bucket dari luar membuatkan penulis terfikir sama ada ruangnya terlalu sempit atau kurang selesa untuk perjalanan jauh.
Namun, tanggapan itu berubah sebaik sahaja penulis duduk di dalamnya. Posisi pemanduan masih boleh disesuaikan dengan baik dan kerusi semi-bucket Brin Naub yang digunakan memberikan sokongan badan yang cukup selesa.
Bagi individu berbadan besar seperti penulis, perkara itu sememangnya memberikan sedikit kelegaan.
Keterujaan mula bertambah sebaik sahaja enjin dihidupkan. Bunyi deruman yang terhasil cukup untuk memberikan gambaran bahawa ini bukan Corolla biasa.
Toyota GR Corolla ini dikuasakan oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo yang menghasilkan kuasa 300 PS pada 6,500 rpm serta tork maksimum 400 Nm antara 3,000 hingga 5,550 rpm.
Kuasa tersebut disalurkan kepada keempat-empat roda menerusi sistem pacuan semua roda GR-FOUR. Pembeli diberikan pilihan antara transmisi manual pintar enam kelajuan iMT atau transmisi automatik lapan kelajuan GR-DAT.
Kedua-dua varian mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 230 km/j. Bagi memastikan prestasi enjin berada pada tahap terbaik, penggunaan petrol minimum RON97 disyorkan.
Sebelum memulakan perjalanan, seperti biasa penulis mengambil sedikit masa untuk menelaah paparan meter dan sistem infotainmen yang disediakan.
Toyota GR Corolla hadir dengan meter digital bersaiz 12.3 inci, paparan head-up, skrin audio 10 inci serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Susun atur paparan cukup mudah difahami dan tidak mengambil masa lama untuk dibiasakan. Maklumat penting berkaitan pemanduan juga dapat dilihat dengan jelas tanpa terlalu mengganggu fokus pemandu.
Keluar sahaja dari ibu pejabat UMW Toyota Motor di Seksyen 15, penulis terus memasuki Lebuhraya Persekutuan untuk merasai sendiri pengalaman mengharungi kesesakan menggunakan kereta berprestasi dengan transmisi manual ini.
Secara jujurnya, pengalaman memandu GR Corolla dalam trafik tidaklah seteruk yang dibayangkan. Pergerakan klacnya agak lembut, penukaran gear lancar dan posisi pemanduan juga selesa.
Walaupun ia sebuah kereta berprestasi tinggi, Toyota masih mengekalkan tahap keselesaan yang munasabah untuk kegunaan harian. Bagi individu berbadan besar seperti penulis, ruang dan posisi pemanduannya masih boleh diterima dengan baik.
Bagi varian automatik GR-DAT pula, GR Corolla 2026 menawarkan mod manual dengan susunan tuil gaya sequential. Tuil perlu ditolak ke hadapan untuk menurunkan gear dan ditarik ke belakang untuk menaikkan gear, sama seperti susunan yang sering digunakan dalam jentera perlumbaan.
Salah satu komponen penting yang membentuk karakter GR Corolla ialah sistem pacuan semua roda GR-FOUR.
Sistem tersebut hadir dengan tiga tetapan utama. Mod Normal menggunakan agihan kuasa 60:40 untuk pemanduan harian, manakala mod Gravel menawarkan agihan 50:50 bagi permukaan yang mempunyai tahap cengkaman lebih rendah.
Mod Track pula mampu mengubah agihan tork secara aktif antara 60:40 hingga 30:70, bergantung kepada input pemandu serta keadaan semasa kenderaan.
Keupayaan pengendaliannya turut diperkukuh menerusi penggunaan Torsen LSD pada gandar hadapan dan belakang. Sistem suspensinya pula menggunakan topang MacPherson di hadapan serta konfigurasi double wishbone di belakang yang menerima talaan khusus daripada bahagian GR.
Gabungan tersebut membantu meningkatkan kestabilan, kawalan serta keyakinan ketika kereta melalui selekoh.
Berbanding model 2023, Toyota GR Corolla 2026 bukan sahaja menerima pilihan transmisi automatik, malah turut hadir dengan beberapa peningkatan penting.
Tork enjinnya meningkat daripada 370 Nm kepada 400 Nm, manakala kuasa maksimum kekal pada 300 PS.
Bahagian hadapan turut direka semula dengan penggunaan gril Matrix v2 bagi membantu meningkatkan aspek aerodinamik dan penyejukan. Ia turut disokong oleh penambahbaikan pada sub-radiator, sistem aliran udara serta kipas penyejuk.
Seiring peningkatan tersebut, harga varian manual turut meningkat daripada RM355,000 kepada RM368,950.
Destinasi penulis pada hari tersebut ialah Banting, Selangor menerusi laluan yang biasa digunakan setiap hari untuk ke tempat kerja.
Bagaimanapun, laluan perjalanan dilencongkan sedikit melalui Lebuhraya Persekutuan kerana Lebuhraya KESAS tidak begitu sesak ketika sesi pandu uji berlangsung.
Sebaik tiba di plaza tol, penulis mengambil peluang untuk merasai sendiri tindak balas dan penghantaran tork yang ditawarkan oleh enjin tiga silinder turbo ini.
Memang mengujakan.
Kuasa disampaikan dengan pantas, pertukaran gear terasa lancar dan setiap tekanan pada pedal pendikit membuatkan kereta ini terasa cukup hidup. Walaupun hanya dinikmati dalam tempoh singkat, karakter prestasinya mudah membuatkan pemandu mahu terus berada di belakang stereng.
Sepanjang perjalanan, ruang kabin GR Corolla boleh dianggap agak senyap. Namun, terdapat sedikit bunyi daripada tayar yang masuk ke dalam kabin.
Perkara itu masih boleh diterima kerana tayar yang digunakan lebih menjurus kepada pemanduan berprestasi tinggi.
GR Corolla dipadankan dengan rim Enkei bersaiz 18 inci dan tayar Yokohama Advan Apex V601 berukuran 235/40R18.
Sistem breknya pula menggunakan cakera berliang dan beralur bersama angkup monoblok empat piston di hadapan serta dua piston di belakang. Gabungan tersebut memberikan tahap keyakinan yang lebih baik, terutama ketika mengawal sebuah jentera dengan prestasi seperti ini.
Setibanya di Banting, penulis singgah sebentar di sebuah masjid sekitar Kampung Bandar untuk menunaikan solat Jumaat.
Pada awalnya, timbul juga sedikit kebimbangan untuk meletakkan kereta ini di ruang parkir biasa. Dari sudut fizikal, GR Corolla kelihatan agak lebar, terutama dengan rekaan badan lebar pada bahagian belakang.
Namun, selepas mencubanya sendiri, saiz tersebut tidak terlalu menyukarkan proses parkir. Ruang parkir biasa masih praktikal untuk digunakan dan dimensi kereta ini mudah dijangka dari tempat duduk pemandu.
Selesai menunaikan solat, perjalanan diteruskan melalui beberapa jalan kampung sekitar Banting untuk merasai sendiri tindak balas sistem suspensinya di atas permukaan jalan yang kurang rata.
Tidak dinafikan, talaan suspensinya terasa sedikit keras. Namun, perlu difahami bahawa GR Corolla merupakan sebuah kereta berprestasi yang memerlukan talaan suspensi sesuai untuk kestabilan dan kawalan pada kelajuan tinggi.
Bagi penulis, tahap kekerasan tersebut bukanlah masalah besar. Unsur keselesaan masih wujud dan kereta ini masih selesa digunakan di atas jalan biasa.
Selepas selesai melalui laluan kampung, penulis meneruskan perjalanan kembali ke pejabat untuk merekodkan semua maklumat yang diperoleh sepanjang sesi pandu uji.
Dalam perjalanan pulang, penulis sempat merasai sendiri penghantaran kuasa GR Corolla pada kelajuan yang sedikit lebih tinggi, namun masih dalam lingkungan had kelajuan kebangsaan.
Tekanan pada pedal pendikit terus disambut dengan kuasa yang pantas. Daya G yang terhasil dapat dirasai dengan jelas, manakala kawalan badan kekal stabil dan meyakinkan.
Suspensi talaan GR dengan topang MacPherson di hadapan, double wishbone di belakang serta Torsen LSD pada kedua-dua gandar memainkan peranan penting dalam memastikan kereta kekal seimbang, khususnya ketika melalui selekoh.
Selain prestasi enjin dan pengendalian, sistem penyejukan GR Corolla turut menerima beberapa peningkatan.
Kipas penyejuk berprestasi tinggi digunakan untuk mengoptimumkan aliran udara dan memastikan suhu enjin kekal terkawal, termasuk ketika kereta dipandu secara agresif.
Varian automatik turut dilengkapi penyejuk minyak transmisi ATF yang menggunakan gabungan sistem berasaskan air dan udara untuk mengekalkan suhu transmisi pada tahap optimum.
Rekaan fender hadapan yang lebih lebar bukan sahaja memberikan penampilan lebih berotot, malah membantu menguruskan aliran udara bagi meningkatkan kestabilan serta kawalan.
Pada bahagian hadapan, gril Matrix v2 bersama sub-radiator yang ditambah baik membantu mengurangkan rintangan udara. Udara turut disalurkan dengan lebih terus bagi meningkatkan kecekapan penyejukan dan memastikan suhu enjin kekal optimum.
Satu lagi elemen yang mudah menarik perhatian ialah sistem ekzos tiga muncung yang menjadi identiti utama GR Corolla.
Konfigurasi tersebut bukan sekadar untuk penampilan. Ia membantu menyokong output enjin yang lebih tinggi, selain menghasilkan bunyi ekzos yang lebih garang.
Sistem ini dilengkapi injap dan aktuator ekzos yang akan terbuka bagi mengurangkan tekanan balik ketika enjin menghasilkan kuasa tinggi. Pada putaran enjin lebih rendah, sistem tersebut turut membantu menghasilkan karakter bunyi yang lebih jelas dan mengujakan.
Begitulah pengalaman sehari bersama Toyota GR Corolla. Rasa keterujaannya masih kekal walaupun selepas kereta dipulangkan.
Ia mempunyai rupa yang menarik perhatian, prestasi yang mengujakan serta karakter pemanduan yang membuatkan pemandu mahu terus berada di belakang stereng. Pada masa sama, Toyota GR Corolla masih menawarkan keselesaan dan praktikaliti yang membolehkannya digunakan sebagai sebuah kereta harian.
Untuk pasaran Malaysia, Toyota GR Corolla 1.6 M/T ditawarkan pada harga RM368,950, manakala varian 1.6 A/T pula berharga RM378,950.
Perbezaan harga antara kedua-dua varian ialah RM10,000. Pembeli boleh memilih sama ada mahu mengekalkan pengalaman pemanduan manual sepenuhnya atau mendapatkan kemudahan transmisi automatik lapan kelajuan GR-DAT.
Baca Juga : Toyota SYI Outrun 2026 Himpun Lebih 7,500 Peserta, RM200,000 Disumbang Kepada NCSM
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.