Berita menarik datang bumi Australia apabila Toyota Australia baru-baru ini memperkenalkan prototaip Hiace yang mempunyai sistem enjin pembakaran dalaman menggunakan hidrogen.

Prototaip Hiace Hidrogen ini mempunyai tujuh unit yang akan digunakan dalam program perintis yang bermula pada bulan ini. Berbeza dengan Hiace standard, Hiace  Hidrogen dilengkapi dengan enjin 3.4 liter V6 turbo berkembar yang telah diubahsuai untuk menerima gas hidrogen.

Walau bagaimanapun, prestasinya agak berlainan dari versi asalnya dengan kuasa sekitar 161 hp dan tork 345 Nm. Data ini kelihatan menurun berbanding enjin asal sebelum dipadankan dengan sistem pacuan roda belakang melalui transmisi automatik 10-nisbah.

Hiace Hidrogen ini menggunakan tiga tangki hidrogen serupa yang ada pada Toyota Mirai FCEV. Bagaimanapun, jarak yang dapat ditempuhnya adalah sekitar 200 km untuk setiap tangki hidrogen penuh, jauh lebih rendah berbanding dengan Mirai yang mampu mencapai 650 km.

Kredit Foto: Toyota

Toyota memilih Hiace sebagai model ujian kerana tren kuasanya memberikan impak minimum terhadap muatan dan ruang kabin. Ini juga merupakan pertama kali Toyota menggunakan teknologi pembakaran hidrogen pada enjin yang lebih daripada tiga silinder.

Sebelum ini, teknologi yang sama telah diuji pada enjin GR Yaris dan dipaparkan pada model kereta lumba Corolla Sport dan Crossover Corolla Cross H2 Concept.

Presiden kilang hidrogen Toyota, Mitsumasa Yamagata, menyatakan bahawa pembangunan Hiace Hidrogen memakan masa selama tiga tahun dan mereka berhasrat untuk membuat projek ini menjadi kenyataan secepat mungkin, mengikut laporan CarExpert.

Walau bagaimanapun, Toyota belum membuat keputusan sama ada untuk menjadikan prototaip Hiace hidrogen ini sebagai model produksi sebenar pada masa kini.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.