Automotif

Toyo Tires Perkenal Tayar Proxes Comfort

Share

Proxes Comfort, Fokus Keselesaan Premium untuk Kereta Penumpang dan SUV

Toyo Tires terus memperkukuh kehadirannya dalam segmen tayar premium dengan pelancaran Proxes Comfort, sebuah tayar generasi baharu yang dibangunkan khusus untuk memenuhi keperluan keselesaan, kestabilan dan keselamatan kenderaan moden termasuk kereta penumpang dan SUV.

Seiring peningkatan penggunaan kenderaan moden dan elektrifikasi, pemandu di Malaysia kini memberi keutamaan kepada aspek keselamatan, kecekapan serta keselesaan pemanduan harian.

Data Car Fuel Type Summary (2000–2025) menunjukkan kadar penggunaan kenderaan elektrifikasi meningkat lebih 300% dalam tempoh empat tahun, sekali gus mengubah jangkaan terhadap prestasi tayar yang digunakan.

Proxes Comfort

Menurut Tan Song Chye, Presiden dan Pengarah Urusan Toyo Tyre Sales And Marketing Malaysia Sdn. Bhd., Toyo Tires merancang untuk memperkenalkan tiga model baharu di bawah siri Proxes dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Proxes Comfort menjadi model pertama dilancarkan di bawah pelan strategik ini, sekaligus menandakan hala tuju baharu pembangunan produk Toyo Tires di Malaysia.

Proxes Comfort dibangunkan di Jepun dengan penekanan terhadap kesesuaian untuk keadaan jalan dan cuaca di Malaysia.

Ia direka dengan tiga ciri utama yang menjadi keperluan pemandu di Malaysia iaitu cengkaman maksimum ketika jalan basah, kestabilan ketika mengambil selekoh, serta keselesaan pemanduan untuk perjalanan jarak jauh.

Tayar ini menggunakan gabungan kompaun tapak termaju, struktur dalaman diperkukuh serta corak tapak yang dioptimumkan.

Hasilnya, Proxes Comfort menawarkan kestabilan pada kelajuan tinggi serta prestasi membrek yang lebih konsisten dalam keadaan jalan basah dan jalan kering.

Profil tayar yang dioptimumkan membantu mengurangkan tekanan pada bahagian bead dan tepi belt, memastikan sentuhan tayar dengan permukaan jalan lebih sekata.

Ini menyumbang kepada kestabilan yang lebih baik ketika menukar lorong, mengambil selekoh tajam serta pemanduan lebuh raya dalam tempoh lama, termasuk ketika membawa beban.

Melalui teknologi Dynamic Taper Design, alur tapak direka supaya mengekalkan tekanan sentuhan yang lebih sekata.

Ini dapat mengoptimumkan pengagihan tekanan serta menyokong kestabilan membrek dan pengendalian dalam situasi hujan lebat, trafik berhenti-gerak dan brek kecemasan.

Berbanding model terdahulu Proxes CF2, Proxes Comfort mencatatkan jarak membrek 8% lebih pendek dalam keadaan kering dan 13% lebih pendek dalam keadaan basah, sekali gus menegaskan fokusnya terhadap aspek keselamatan pemanduan.

Proxes Comfort kini ditawarkan dalam 14 saiz dengan diameter rim antara 16 hingga 19 inci, dengan lebih banyak saiz akan diperkenalkan.

Kebanyakan varian hadir dengan penarafan Extra Load (XL), sesuai untuk keperluan berat kenderaan BEV, HEV dan PHEV.

Sebanyak 11 saiz adalah EV-ready, dengan penilaian keselesaan tunggangan dan tahap bunyi 5/5.

Disasarkan untuk Segmen B, C dan E

Direka terutamanya untuk kenderaan segmen B, C dan E, Proxes Comfort sesuai untuk pemandu yang kerap melakukan perjalanan jarak jauh dan banyak menghabiskan masa di lebuh raya.

Harga runcit yang disyorkan bermula dari RM279 hingga RM698, bergantung kepada saiz.

Baca Juga : Tayar Biasa vs. Tayar EV – Apa Perbezaannya dan Kenapa Ia Penting?

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi