Pameran automotif paling dinanti-nantikan tahun ini, Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2025, bakal kembali memeriahkan Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Pameran kali ini tampil dengan skala lebih besar dengan barisan nama-nama legenda dari Jepun yang pasti mengujakan penggemar dunia modifikasi tempatan.
Edisi 2025 ini bukan sekadar membawa masuk jentera ikonik dari negara matahari terbit, malah turut menghimpunkan tokoh-tokoh paling berpengaruh dalam budaya “tuning” global.
Antara yang mencuri tumpuan ialah kehadiran enam figura tersohor dunia modifikasi Jepun Smokey Nagata dari Top Secret, Wataru Kato dari Liberty Walk, Isami Amemiya dari RE Amemiya, Takahiro Kataoka dari KUHL Racing, Hisaaki Murakami dari J’s Racing, serta Hiroshi Tamura, individu yang dianggap sebagai “Father of the modern GT-R.”
Menambahkan lagi keistimewaan, setiap tokoh ini membawa bersama hasil kerja paling ikonik mereka.
Antaranya termasuk Top Secret VR32 Stealth GT-R yang menggunakan enjin R35 dan menghasilkan 1,072hp.
Ferrari F40 Liberty Walk yang kontroversi kerana diubah suai hingga dikeluarkan dari senarai rasmi Ferrari.
Serta RE Amemiya 3ROTAR NA-7 sebuah Mazda RX-7 tiga rotor dengan hanya bumbung asal yang dikekalkan.
Tidak kurang menarik, pengunjung juga boleh melihat lebih dekat replika Skyline KDR30 bergaya Super Silhouette dengan liveri Tomica.
Ini adalah model konsep GT-R masa depan dari CREWCH yang dinamakan R356C, dan ALESS Century Complete WL.
Jenterra ini adalah sebuah sedan mewah 518hp lengkap dengan kit aero ROZEL dan sistem suspensi udara.
Tahun ini juga menyaksikan pengenalan zon baharu khas untuk modifikasi tempatan Malaysia’s Finest Tuners (MFT).
Zon ini berfungsi sebagai pentas rasmi untuk tuner Malaysia mempamerkan bakat dan kreativiti mereka kepada audiens serantau.
Ia turut menjadi langkah strategik untuk menggalakkan kolaborasi lebih erat antara komuniti modifikasi Malaysia dan Jepun, ke arah pengiktirafan yang lebih luas di peringkat antarabangsa.
Selain jentera, pelbagai aktiviti sampingan turut dirancang bagi memastikan pengalaman pengunjung lebih menyeronokkan.
Antaranya termasuk pertandingan Auto Styling yang akan dinilai oleh tuner Jepun sendiri, pertunjukan koleksi kereta rare dari seluruh negara, pertandingan cosplay bertemakan automotif (Car-Meets-Cosplay
), dan zon Mini TAS bersama The Model Car Show Malaysia untuk peminat tegar diecast.Lebih istimewa, akan berlangsung pelancaran eksklusif model diecast Toyota Supra MK4 versi Chase dan Super Chase.
Turut serta persembahan seni langsung daripada Zameer Pentbrush, artis tempatan yang terkenal dengan lukisan pentbrush automotif.
Sebagai sebahagian daripada kempen Road to TASKL 2025, dua acara pemanas badan turut dianjurkan.
Yang pertama ialah Festival Malaysia GT-R pada 2 Ogos di Gamuda Cove, dengan aktiviti seperti sesi ‘Meet & Greet’ bersama Hiroshi Tamura, serta anugerah khas seperti Best Tuning, Best Design dan Tamura’s Choice.
Tiket berharga RM399 termasuk baju eksklusif, pelekat khas GT-R dan Midnight Club, tiket masuk TASKL 2025, beg cenderamata, sijil dan makan tengah hari.
Satu lagi acara ialah FL5 Official Track Day & Mega Gathering yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.
Acara ini turut menampilkan aksi time attack dan perarakan model Honda Civic Type R FL5 bersama komuniti pemilik tempatan.
TASKL 2025 juga tidak ketinggalan menjadi penaja utama bagi Kejohanan Ekuestrian Piala Perdana Menteri CSI yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Polo Club pada 25 hingga 27 Julai ini.
Kolaborasi ini dilihat sebagai gabungan unik antara dunia permotoran berprestasi tinggi dengan sukan berkuda yang menekankan keanggunan, kekuatan dan disiplin.
Untuk mereka yang ingin menyertai TASKL 2025 ini, harga tiket ditawarkan pada kadar mampu milik iaitu RM48 untuk dewasa sehari.
RM30 untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun.
RM120 untuk pakej keluarga (2 dewasa + 2 kanak-kanak), serta RM120 untuk pas dewasa tiga hari.
Kanak-kanak bawah lima tahun masuk percuma, manakala pemegang kad OKU serta penjaga layak menerima diskaun 50 peratus.
Tiket boleh didapati di laman rasmi www.tokyoautosalonkl.com serta saluran media sosial rasmi TASKL.
Baca Juga : Siapakah Smokey Nagata dan Daripada Mana Asalnya Top Secret Japan?
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.