
Thunder Motorcycles secara rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi penampilan sulungnya di Art of Speed 2026 (AOS 2026) yang berlangsung di MAEPS, Serdang.
Jenama motosikal custom itu diasaskan pada 2020 oleh pembina motosikal terkenal dari Jepun, Noro Yuji-san bersama pakar custom dari China, Ka-san.
Kehadiran Thunder Motorcycles menawarkan pilihan baharu kepada peminat motosikal bergaya bobber yang mahukan penampilan sebuah jentera custom, tetapi tidak mahu berdepan kos tinggi serta proses pengubahsuaian selepas pembelian.
Thunder Motorcycles dibangunkan dengan matlamat menggabungkan budaya motosikal custom Jepun bersama kejuruteraan moden.
Setiap model dihasilkan terus dari kilang dengan gaya bobber klasik, namun masih mengekalkan aspek kebolehpercayaan, kualiti dan praktikaliti untuk kegunaan harian.
Pendekatan itu membolehkan pemilik menikmati karakter sebuah motosikal yang kelihatan seperti dibina khas tanpa perlu melakukan pengubahsuaian besar atau mendapatkan komponen tambahan.
Operasi Thunder Motorcycles di Malaysia diterajui oleh Bike Continent Sdn Bhd selaku pengedar eksklusif jenama berkenaan, diketuai Pengarah Urusannya, Ronnie Chen.
Proses import dan homologasi pula dikendalikan oleh Mofaz Motosikal Sdn Bhd bagi memastikan setiap motosikal memenuhi piawaian serta peraturan yang ditetapkan di Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjangnya, Thunder Motorcycles sudah melantik tujuh pengedar sah di seluruh negara.
Rangkaian itu menawarkan perkhidmatan jualan motosikal, alat ganti tulen, penyelenggaraan profesional serta sokongan selepas jualan kepada pelanggan.
Baca Juga : Lambretta Malaysia Umum Perancangan Besar Tahun 2026
Thunder Motorcycles turut merancang untuk menambah lebih banyak pengedar sah di beberapa lokasi lain dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Langkah tersebut dilaksanakan bagi memudahkan lebih ramai pelanggan mendapatkan akses kepada produk dan perkhidmatan Thunder Motorcycles.
Bersempena kemasukannya ke pasaran tempatan, Thunder Motorcycles turut mengumumkan kerjasama strategik bersama Art of Speed Malaysia.
Kerjasama itu diumumkan oleh Pengasas dan Pengarah Festival Art of Speed, Asep Ahmad Iskandar bersama Ronnie Chen.
Sebagai tarikan utama, pasukan Art of Speed menghasilkan sebuah Thunder LS250-S custom satu-satunya yang menampilkan hasil kreativiti dan kemahiran komuniti motosikal custom tempatan.
Motosikal khas tersebut dijadikan hadiah utama bagi aktiviti Kembara Passport sepanjang AOS 2026, sekali gus memberi peluang kepada seorang peserta untuk memilikinya.
Acara berkenaan turut menyaksikan penyerahan unit Thunder LS250-S custom satu kepada satu yang pertama di Malaysia kepada pemilik masing-masing.
Thunder LS250-S tampil dengan reka bentuk bobber klasik yang rendah, minimalis dan menyerlahkan karakter motosikal custom.
Antara ciri utamanya ialah fork hadapan jenis springer gaya 74 yang memberikan penampilan vintaj, selain sistem ekzos buatan tangan yang ditala untuk menghasilkan bunyi lebih garau.
Model itu turut menggunakan kerangka khas bagi mendapatkan kedudukan tunggangan rendah serta meningkatkan kestabilan ketika ditunggang pada kelajuan tinggi.
Sproket roda belakang bersaiz besar pula digunakan untuk membantu menghasilkan tindak balas tork pada putaran rendah, selain memberikan profil sisi yang lebih agresif.
Penampilan retro LS250-S dilengkapkan dengan rim jejari, tayar Shinko Saw-Tooth, tangki bahan api jenis peanut serta tempat duduk solo yang rendah.
Menurut Ronnie Chen, kemasukan Thunder Motorcycles bukan sekadar untuk memperkenalkan sebuah lagi jenama motosikal baharu di Malaysia.
Sebaliknya, syarikat itu mahu membina komuniti yang mengetengahkan gaya hidup Thunder menerusi peluasan rangkaian pengedar serta pengukuhan sokongan selepas jualan.
Dengan identiti reka bentuk Jepun, rangkaian pengedar yang semakin berkembang dan pendekatan motosikal custom dari kilang, Thunder Motorcycles dilihat berpotensi menarik perhatian peminat motosikal gaya hidup dan bobber di Malaysia.
Baca Juga : Thunder Custom LS250-S Rasmi Dilancarkan di Malaysia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.