Isi Kandungan
ToggleSistem brek merupakan antara komponen terpenting dalam kenderaan anda.
Ia bukan sahaja memastikan kelancaran perjalanan anda, malah mampu menyelamatkan nyawa anda dalam situasi kecemasan.
Walaupun penyelenggaraan sistem brek tidak memerlukan kekerapan yang sama seperti penukaran minyak enjin, ia tetap perlu diperiksa secara berkala untuk memastikan ia berfungsi dengan baik.
Salah satu komponen utama sistem brek ialah pad brek.
Ia memainkan peranan penting dalam menghasilkan geseran pada piring cakera melalui tekanan daripada kaliper.
Namun begitu, pad brek juga mempunyai jangka hayat tertentu, dan tanda-tanda tertentu akan muncul apabila tiba masanya untuk anda menukarnya.
Berikut adalah tanda-tanda yang perlu anda perhatikan:
Sekiranya anda mendengar bunyi seperti geseran, kisaran, atau berdenting setiap kali menekan brek, ini adalah petanda awal pad brek anda mungkin telah rosak.
Bunyi ini biasanya berlaku apabila permukaan pad brek menjadi tidak rata, menyebabkan geseran pada piring cakera tidak sempurna.
Jangan abaikan tanda ini – segera ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut bagi mengelakkan kerosakan yang lebih serius.
Apakah kenderaan anda mengambil masa lebih lama untuk berhenti walaupun anda sudah menekan brek sepenuhnya?
Jika ya, ini mungkin petanda bahawa sistem brek anda berada dalam keadaan kurang baik.
Piring cakera yang terlalu panas akibat geseran tidak sempurna daripada pad brek boleh menyebabkan keadaan ini.
Anda mungkin juga merasa gegaran pada pedal brek. Segera dapatkan pemeriksaan bagi mengelakkan risiko kemalangan.
Apabila anda menekan brek tetapi kenderaan cenderung membelok ke satu sisi, ini bermakna pad brek anda mungkin sudah haus secara tidak sekata.
Keadaan ini sering berlaku apabila kaliper brek tersumbat, menyebabkan pad brek tersekat pada satu sisi.
Pad brek yang bergesel secara berterusan ini bukan sahaja menyebabkan kehausan tidak sekata tetapi juga meningkatkan risiko kemalangan.
Jika anda kurang mahir memeriksa brek sendiri, anda boleh meminta mekanik untuk memeriksanya setiap kali anda menukar minyak enjin secara berkala.
Pemeriksaan ini sangat penting untuk memastikan keselamatan anda di jalan raya.
Walaupun mungkin ada caj tambahan untuk pemeriksaan ini, kosnya jauh lebih murah daripada risiko yang mungkin anda hadapi jika brek gagal berfungsi.
Memastikan sistem brek anda sentiasa berada dalam keadaan baik adalah tanggungjawab setiap pemandu.
Jangan abaikan tanda-tanda awal kerosakan, kerana nyawa anda dan pengguna jalan raya lain bergantung kepada kecekapan sistem brek kenderaan anda.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Baca Juga : Yamaha TMAX Tech MAX 2025, Skuter Sport Premium Bertaraf Baharu