
Naza Eastern Motors memperkukuhkan lagi barisan Suzuki di Malaysia menerusi pengenalan tiga model baharu, iaitu Suzuki Jimny AllGrip Plus, Jimny Rhino Plus dan Fronx Sport.
Untuk pasaran Malaysia, Suzuki Jimny AllGrip Plus ditawarkan pada harga bermula RM158,900, manakala Jimny Rhino Plus pula berharga RM173,900.
Bagi rangkaian Fronx, varian Fronx Sport diperkenalkan pada harga RM130,888, sementara Fronx standard kini menerima harga baharu RM118,888. Semua harga adalah atas jalan tanpa insurans.
Antara perkara menarik pada Suzuki Jimny AllGrip Plus ialah harga model ini dikekalkan walaupun menerima beberapa penambahbaikan baharu.
Varian ini masih mengekalkan karakter asas Jimny yang terkenal dengan bentuk kompak, binaan ladder frame dan keupayaan off-road sebenar yang menjadi identitinya sejak sekian lama.
Dari segi mekanikal, model ini menggunakan enjin 1.5 liter empat silinder naturally aspirated yang menghasilkan 100 hp dan tork 130 Nm pada 4,000 rpm.
Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan jenis torque converter bersama sistem AllGrip Pro part-time four-wheel drive yang menawarkan mod 2H, 4H dan 4L untuk pelbagai keadaan pemanduan.
Untuk versi terbaharu ini, Suzuki menambah beberapa ciri keselamatan dan bantuan pemandu yang meningkatkan keselesaan serta keyakinan ketika memandu.
Antara kelengkapan yang ditawarkan termasuk front and rear parking sensors dengan clearance sonar, reverse camera bersama millimeter wave radar, Adaptive Cruise Control dan sistem infotainmen dengan paparan 9 inci.
Dari aspek ADAS pula, SUV ini dilengkapi dengan Dual Sensor Brake Support II, Lane Departure Warning and Prevention, Weaving Alert, Automatic High Beam dan Emergency Stop Signal.
Bagi pembeli yang mahukan penampilan lebih agresif, Suzuki turut memperkenalkan Jimny Rhino Plus. Varian ini menggunakan asas mekanikal yang sama seperti model AllGrip Plus, termasuk enjin 1.5 liter, transmisi automatik empat kelajuan dan sistem AllGrip Pro.
Perbezaan utama terletak pada penampilan luar yang lebih menonjol. Ia menerima rim aloi polished 15 inci, penutup tayar simpanan dengan logo Rhino, gril depan eksklusif, front bumper under garnish, side under garnish, door visors serta mud flap merah pada bahagian hadapan dan belakang.
Selain keluarga Jimny, Naza Eastern Motors turut memperkenalkan Fronx Sport sebagai tambahan baharu dalam rangkaian Fronx.
Model ini disasarkan kepada pengguna bandar yang mahukan SUV kompak dengan gaya lebih sporty tetapi masih menawarkan tahap praktikaliti yang tinggi.
Fronx Sport hadir dengan pelbagai aksesori tambahan seperti front lips, rear spoiler, rear bumper kit, side skirting, side stickers, roof top wrap, rim aloi 17 inci, tayar Continental UltraContact UC7, DVR depan dan belakang serta door visor.
Fronx Sport dibawa masuk sepenuhnya dari Indonesia dan menggunakan enjin petrol 1.5 liter empat silinder naturally aspirated bersama Integrated Starter-Generator (ISG). Unit kuasa ini menghasilkan 103 PS pada 6,000 rpm dan tork 138 Nm pada 4,400 rpm.
Kuasa dihantar ke roda menerusi transmisi automatik enam kelajuan yang turut dilengkapi paddle shifters untuk pengalaman pemanduan yang lebih menyeronokkan.
Dengan bantuan bateri lithium-ion hybrid dan tangki bahan api berkapasiti 37 liter, Suzuki menyatakan model ini mampu menawarkan jarak gerak WLTP melebihi 700 km.
Dari segi pilihan warna, Jimny AllGrip Plus ditawarkan dalam enam pilihan warna, manakala Jimny Rhino Plus hadir dengan tiga pilihan. Fronx pula mempunyai tujuh pilihan warna dan Fronx Sport ditawarkan dalam pilihan Pearl Snow White serta Cool Black.
Ketiga-tiga model menerima warranty kenderaan selama tiga tahun atau 100,000 km, yang mana tiba dahulu. Untuk Fronx Sport, Suzuki turut menawarkan warranty bateri selama lima tahun atau 100,000 km bagi memberikan ketenangan tambahan kepada pemilik.
Sokongan pemilikan disediakan menerusi rangkaian 14 outlet jualan dan 13 pusat servis Suzuki di seluruh Malaysia. Dengan pengenalan varian baharu ini, Suzuki dilihat semakin agresif dalam menawarkan pilihan SUV yang memenuhi keperluan pengguna berbeza, sama ada untuk kegunaan harian, aktiviti luar atau gaya hidup urban moden.
Baca juga: Lampu Minyak Enjin Menyala? Ini Yang Perlu Anda Lakukan
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.