Kegani Racing Academy mengumumkan musim ketiga SKILLDRVN One Make Race Series serta memperkenalkan SKILLDRVN SWIFT SUPERCUP PRO-SERIES yang bakal bermula pada tahun 2026.
Siri perlumbaan ini menjanjikan pengalaman lebih mencabar dan mengasyikkan buat pelumba muda serta peminat sukan permotoran tempatan.
SKILLDRVN One Make Race Series musim ketiga akan terdiri daripada lima pusingan yang dianjurkan bersama Malaysia Speed Festival (MSF) di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS.
Format perlumbaan ini menampilkan pelumba-pelumba muda yang berlumba menggunakan Suzuki Swift yang telah dimodifikasi bagi memastikan persaingan lebih kompetitif dan kos lebih berpatutan.
Setiap jentera perlumbaan dilengkapi dengan enjin 1.6-liter yang telah ditala semula mengikut spesifikasi.
Jentera yang menggunakan transmisi manual lima kelajuan, serta beberapa komponen perlumbaan seperti roll cage 12 titik, tempat duduk perlumbaan yang diperakui FIA, harness keselamatan, suspensi coil-over khas, pad brek spesifikasi siri, dan rim aloi.
Peserta boleh memilih untuk membeli kereta perlumbaan secara penuh atau menyertai program “arrive-and-drive” yang ditawarkan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, SKILLDRVN One Make Race Series telah menjadi platform penting bagi membentuk bakat baharu dalam sukan permotoran Malaysia.
Dengan bimbingan dan latihan intensif yang merangkumi kelas teori serta sesi latihan di litar, akademi ini membantu mempercepatkan pembelajaran dan mengurangkan kos latihan.
Menurut Kenny Lee, Ketua Pasukan dan Ketua Jurulatih Kegani Racing Academy,
“Format perlumbaan satu jenama ini memberi penekanan kepada kemahiran pemanduan serta pembangunan bakat baharu, sambil memastikan kos kekal berpatutan dan boleh diakses oleh lebih ramai pelumba. Selepas kejayaan dua musim sebelum ini, minat dari peserta baharu semakin meningkat pada tahun ini.”
Musim 2024 menyaksikan pelumba wanita, Loke Yin Yi, dinobatkan sebagai juara keseluruhan SKILLDRVN One Make Race Series.
Beliau membawa pulang hadiah bernilai RM8,500 dalam bentuk produk serta insentif perlumbaan.
Kejohanan ini juga telah menemukan bakat muda yang luar biasa, Kirill Syrapushchynski, seorang pelumba berusia 15 tahun yang muncul sebagai naib juara pada musim debutnya selepas beralih dari sukan karting.
Bermula tahun 2026, Kegani Racing Academy akan melancarkan SKILLDRVN SWIFT SUPERCUP PRO-SERIES sebagai kesinambungan kepada SKILLDRVN One Make Race Series.
Siri perlumbaan ini akan dihadkan kepada 10 pasukan perlumbaan profesional.
Setiap pasukan diwakili oleh seorang pelumba yang dipilih daripada kumpulan bakat terbaik dalam SKILLDRVN One Make Race Series.
Lebih menarik, format baharu ini membolehkan pelumba yang terpilih menandatangani kontrak perlumbaan dengan semua kos operasi ditanggung oleh pasukan.
Kereta perlumbaan dalam siri ini juga akan menerima livery penuh bagi memaksimumkan pendedahan jenama dan penjenamaan pasukan.
Terdapat dua pasukan yang telah mengesahkan penyertaan dalam musim pertama SKILLDRVN SWIFT SUPERCUP PRO-SERIES.
Pasukan tersebut adalah BENDIX ULTIMATE RACING TEAM dan Team PROFIMAX MAX UP.
Kegani Racing Academy turut mendapat sokongan daripada rakan penaja utama.
Antaranya BENDIX, TOTAL ENERGIES, PROFIMAX, ADVANTI RACING, GITI, KJ BRAKE, ZX1, ULTRA RACING, dan LIFESTYLE MOTORSPORTS.
Lee menegaskan bahawa peranan para penaja dalam Program Pembangunan Pemandu adalah amat penting.
“Sokongan yang diberikan bukan sahaja membantu mengurangkan kos penyertaan dalam sukan perlumbaan tetapi juga memastikan pelumba baharu memulakan perjalanan mereka dengan asas yang kukuh, termasuk dari segi peralatan, komponen, sokongan, keselamatan, dan perlindungan yang mencukupi.”
Maklumat lanjut berkaitan akademi anda boleh menghubungi Kenny Lee di talian 012-614 4141 atau Joshua Lee di 012-295 6638.
Anda juga boleh melayari laman Facebook Kegani Racing Academy di https://www.facebook.com/skilldrvn
Anda juga boleh terus berkunjung ke Kegani Racing Services di No: 7, Jalan Serindit 2, Puchong Jaya 47100 Puchong, Selangor.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Baca Juga : Suzuki Swift 2024 Pembaharuan Elegan Dalam Dunia Hatchback Jepun