111 Lap, 5 Jam Tanpa Henti, Siapa Bakal Juara MSF Merdeka Race 2025?

Share

PETRONAS-MSF Merdeka Race 2025: 111 Pusingan, 400 Jentera, Aksi Paling Sengit!

31 Ogos 2025 bakal mencatat sejarah baharu buat dunia perlumbaan tempatan apabila PETRONAS-MSF Merdeka Race 2025 powered by Petronas Primax menganjurkan perlumbaan “endurance” 111 pusingan.

Lebih 400 buah kereta dan motosikal dijangka berentap di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC) hujung minggu ini.

Acara kali ini menandakan edisi ke-8 perlumbaan Merdeka MSF, yang kini menjadi salah satu acara motorsport paling dinantikan dalam kalendar perlumbaan negara.

Evolusi Perlumbaan: Dari 88 ke 111 Lap

Kategori utama MSF SuperTurismo Merdeka 111 Endurance Race terus berkembang dari tahun ke tahun bermula dengan 88 lap, naik ke 99 lap pada 2024, dan kini menjadi 111 lap dengan jangka masa perlumbaan sekitar lima jam

.

Ganjaran tunai menanti pemenang:

  • RM5,000 untuk juara keseluruhan

  • RM3,000 untuk naib juara keseluruhan

  • RM2,000 untuk tempat ketiga keseluruhan

Selain itu, hadiah wang tunai juga disediakan bagi setiap kategori (enam kelas perlumbaan) dengan jumlah hingga RM3,500 untuk pemenang kategori.

MotoMSF Superbikes: Endurance Penuh Bergaya

Bagi peminat dua roda, MotoMSF Superbikes turut tampil dengan format baharu.

Dari hanya 12 lap sebelum ini, ia kini menjadi 33 lap endurance dengan dua pelumba dan dua motosikal bagi setiap pasukan.

Perlumbaan ini akan berlangsung sekitar 90 minit dengan hentian pit wajib.

Hadiah wang tunai lebih lumayan ditawarkan:

  • RM8,000 (Juara)

  • RM5,000 (Naib juara)

  • RM3,000 (Tempat ketiga)

  • RM2,000 (Tempat keempat)

  • RM1,500 (Tempat kelima)

Sokongan Padu Daripada Penaja

Menurut Adian Yein Khalid, Principal MSF, PETRONAS Primax meneruskan penajaan sebagai Rakan Media, bersama sokongan jenama lama seperti EXN Lube, Rennplatz, Vision Motorsports, Momentum Autosport dan Energizer Car Batteries.

Untuk tayar rasmi, perlumbaan kereta akan menggunakan Giti Tires, manakala Pirelli menjadi pilihan rasmi bagi kategori MotoMSF Superbikes.

“Sudah menjadi tradisi kami untuk mempertingkatkan cabaran setiap tahun. MSF bukan sahaja mengekalkan falsafah perlumbaan mampu milik, tetapi juga menambah baik struktur, progres dan kompetitif para peserta,” jelas Adian.

American V-Twin Cup Turut Panaskan Trek

Buat pertama kalinya, American V-Twin Cup by Prodigy Racing akan berlangsung pada perlumbaan kali ini.

Perlumbaan pusingan ketiga itu menampilkan jentera “American Iron” seperti Harley-Davidson dan Indian Motorcycles berkuasa hingga 2,000cc, seberat 250kg yang kebiasaanya untuk “cruising” di lebuh raya, kini diuji dalam perlumbaan sengit selama tujuh lap.

Perlumbaan Tambahan: Dari Campro Cup ke MyVi Cup

Selain acara utama, turut berlangsung ialah perlumbaan 40 minit + 1 lap untuk empat kelas:

  • SuperSeries

  • Tuner Production

  • SkillDRVN One-Make Race

  • Campro Cup

Sementara itu, 75 minit + 1 lap akan dipersembahkan oleh perlumbaan Sage Cup dan MyVi Cup yang sememangnya menjadi tumpuan penggemar kereta tempatan.

Jadual Perlumbaan MSF Merdeka Race 2025 Ahad – 31 Ogos 2025

  • 11.00 pagi – American V-Twin Cup by Prodigy Racing

  • 12.00 tengah hari

    – MotoMSF Superbikes 33 Lap Endurance
  • 5.00 petang – MSF SuperTurismo Merdeka 111 Endurance Race

Akses untuk orang ramai dibuka dari 10.00 pagi hingga 11.00 malam dengan tiket berharga RM35 (termasuk akses paddock & pit).

Kanak-kanak bawah 12 tahun masuk percuma. Pelbagai food truck dan jualan barangan rasmi juga disediakan.

Baca Juga : Model “RARE” Perodua Nautica

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.  

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi