Proton melancarkan Jelajah Proton e.MAS 7, satu acara bersejarah yang menggabungkan inovasi dengan semangat eksplorasi.
Acara ini diadakan di Centre of Excellence (COE), di mana baton jelajah diserahkan daripada Jelajah Dunia Geely E5 kepada Proton e.MAS 7. Sebuah kenderaan elektrik (EV) yang bakal mengharungi perjalanan epik di seluruh Malaysia.
Proton e.MAS 7 tidak sekadar mempamerkan kehebatan teknologi tetapi juga membawa misi untuk memperkenalkan kenderaan EV ini kepada rakyat Malaysia.
Jelajah ini dijadualkan meliputi lebih daripada 2,000 kilometer merentasi pelbagai landskap, daripada jalan pantai hingga ke kawasan pergunungan, menunjukkan prestasi dan ketahanan EV ini dalam pelbagai keadaan jalan.
Jelajah ini bermula pada 5 Oktober 2024, dengan Proton e.MAS 7 akan menjelajah ke setiap negeri di Malaysia. Fasa pertama meliputi Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor. Seterusnya, perjalanan diteruskan ke Pahang, Terengganu, dan Kelantan sebelum bergerak ke Perak, Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis. Jelajah ini akan diakhiri di Malaysia Timur, dengan Sabah dan Sarawak sebagai destinasi terakhir.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, menyatakan bahawa matlamat jelajah ini adalah untuk memberikan rakyat Malaysia peluang untuk merasai sendiri bagaimana Proton e.MAS 7 mengendalikan pelbagai keadaan jalan dan cuaca unik di negara kita.
Beliau juga menambah bahawa jelajah ini bukan sekadar mempamerkan kehebatan teknologi Proton, tetapi juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan dengan komuniti dan pelanggan.
Bagi yang tidak sabar untuk melihat kenderaan ini secara langsung, Proton e.MAS 7 dan pasukan PRO-NET akan dipamerkan di beberapa lokasi utama seperti di Putrajaya pada 25 September dan di Shah Alam pada 26 September.
Sebelum ini, model kembar Proton e.MAS 7, Geely E5, telah berjaya mengharungi perjalanan sejauh 3,700 kilometer dari China ke Malaysia, menghadapi pelbagai cabaran termasuk Taufan Yagi.
Prestasi Geely E5 dalam menghadapi keadaan ekstrem ini menunjukkan kebolehpercayaan dan ketahanan teknologi yang digunakan. Ini juga memberi jaminan yang sama terhadap Proton e.MAS 7.
Dengan kolaborasi erat bersama Geely. Model ini dilengkapi dengan teknologi terbaik dunia, menjadikannya penyelesaian mobiliti lestari yang direka khas untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia.
Selain itu, usaha Proton dalam memperluas penerimaan EV di negara ini turut disokong oleh kerjasama strategik dan perkongsian ilmu pengetahuan bagi menangani pelbagai cabaran yang dihadapi dalam segmen kenderaan elektrik.
Proton e.MAS 7 tidak hanya membawa visi masa depan yang lebih hijau. Tetapi juga menunjukkan bagaimana teknologi dan inovasi dapat menjadi alat untuk mengubah landskap automotif di Malaysia. Jelajah ini pasti akan mencipta kesan yang berkekalan terhadap masa depan mobiliti di negara kita.
Dari Careta
Baca Juga PROTON Meluaskan Sayap ke Mesir
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.