Porsche 911 GT3 RS, kereta lumba jalanan yang sudah terkenal dengan prestasi luar biasa. Kini mendapat peningkatan baru melalui kit Manthey Racing. Kit ini memberikan peningkatan besar pada aerodinamik, suspensi, dan brek, menjadikan 911 GT3 RS sebuah jentera trek yang tiada tandingan.
Kit Manthey Racing ini memberi fokus utama kepada penambahbaikan aerodinamik. Sayap belakang yang sudah sedia besar kini dinaik taraf dengan elemen karbon fiber DRS yang baru.
Serta plat sisi yang lebih besar untuk meningkatkan daya turun (downforce). Tambahan pula, elemen “shark fin” karbon fiber dari Porsche 963 diperkenalkan. Bukan sahaja menambah kestabilan ketika mengambil selekoh tetapi juga mengalirkan udara panas menjauhi enjin.
Bahagian hadapan pula menerima spoiler yang direka semula dengan elemen pengukuh karbon fiber serta Gurney flaps baharu di atas arka roda. Tambahan dua dive planes di hadapan roda meningkatkan daya turun pada gandar depan. Bahkan, roda juga dilengkapi penutup aerodinamik karbon fiber untuk mengurangkan rintangan angin.
Hasilnya? Porsche mendakwa kit ini mampu menghasilkan lebih daripada 1,000 kg daya turun pada kelajuan 285 km/j. Menjadikan kereta ini lebih mencengkam trek tanpa mengorbankan kelajuan.
Untuk menampung peningkatan daya turun, Manthey Racing melakukan penalaan semula pada suspensi coil-over separa aktif. Kadar spring dinaikkan sebanyak 30% pada gandar depan dan 15% pada gandar belakang. Sistem damper juga dinaik taraf dengan unit kawalan baharu serta sensor tambahan untuk memastikan pelarasan lebih responsif.
Pengendalian boleh disesuaikan melalui tiga mod pemanduan: Normal, Sport, dan Track. Mod Track membolehkan pemandu membuat pelarasan manual yang lebih halus untuk pengalaman pemanduan optimum.
Sistem brek juga menerima peningkatan dengan saluran brek keluli tahan karat untuk memberikan rasa pedal yang lebih responsif. Bagi kereta dengan pakej brek seramik komposit, pad brek perlumbaan pilihan disediakan untuk prestasi konsisten pada pelbagai suhu.
Bagi pemilik yang ingin mempamerkan kit Manthey ini, terdapat pelbagai pilihan aksesori tambahan. Ini termasuk sill pintu karbon fiber bercahaya dengan logo Manthey, lampu projektor LED, pelekat khas pada roda, dan lencana Manthey pada pintu. Sebuah mata penunda untuk kegunaan di trek juga boleh dipasang pada bahagian depan atau belakang.
Kit Manthey Racing ini dijangka tersedia di luar Eropah mulai Mac 2025. Harga bermula pada sekitar $79,973 (kira-kira RM368,000) tanpa kos pemasangan di pusat servis Porsche.
Dengan kombinasi aerodinamik, suspensi, dan brek yang dipertingkatkan, Porsche 911 GT3 RS dengan kit Manthey Racing menjanjikan pengalaman trek yang benar-benar mengagumkan. Ia bukan sekadar kereta, tetapi sebuah karya seni untuk pencinta kelajuan.
Dari Car and Driver
Baca Juga Porsche Carrera Cup Asia 2024, Kejayaan Alessandro Ghiretti di Shanghai
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.