Porsche Malaysia melalui Sime Darby Auto Performance (SDAP) secara rasmi memperkenalkan model baharu 911 GT3 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, menandakan kehadiran semula ikon jentera berprestasi ini di Malaysia. Pelancaran ini turut diserikan dengan kehadiran Jörg Bergmeister, Duta Jenama Porsche yang juga legenda perlumbaan dunia.
Buat julung kalinya, pasaran tempatan menerima dua versi serentak iaitu 911 GT3 dengan GT Wing serta 911 GT3 dengan Touring Package bagi mereka yang lebih menggemari gaya klasik dan kemasan elegan. Kedua-dua varian boleh dipadankan dengan pakej khas seperti Weissach Package dan Leichtbau Package, memberikan pelanggan ruang luas untuk pengkhususan mengikut cita rasa serta gaya pemanduan masing-masing.
Jantung utama Porsche 911 GT3 kekal pada enjin 4.0 liter enam silinder naturally aspirated
(NA) yang kini menghasilkan 375 kW (510 PS) dengan tork 450 Nm. Sistem ekzos turut direka semula mengikut piawaian pelepasan moden tanpa mengorbankan karakter bunyi ikonik boxer engine.Dipadankan dengan transmisi PDK 7-kelajuan atau manual GT 6-kelajuan dengan nisbah akhir yang 8% lebih pendek berbanding model sebelumnya, Porsche 911 GT3 mampu memecut 0-100 km/j dalam 3.4 saat (PDK) dengan kelajuan maksimum 311 km/j. Versi manual pula mencatat 3.9 saat dengan kelajuan puncak 313 km/j.
Dari segi visual, Porsche 911 GT3 tampil dengan rekaan hadapan dan belakang yang diperhalusi. Difuser, spoiler lip serta sirip udara di bawah badan membantu menghasilkan daya tekan (downforce) yang lebih stabil. Varian Touring pula mengekalkan garis rekaan klasik tanpa sayap, sebaliknya menggunakan spoiler boleh laras dengan Gurney flap.
Porsche turut memperkenalkan suspensi gandar hadapan double-wishbone dengan lengan teardrop profile yang meningkatkan kestabilan, selain mengurangkan pitching ketika membrek. Inspirasi ini diambil terus daripada 911 GT3 RS.
Konsep lightweight design menjadi teras pembangunan model baharu ini. Rim aluminium ringan standard mengurangkan berat tidak berspring sebanyak 1.5 kg, manakala rim magnesium dalam Weissach Package
dan Leichtbau Package menjimatkan sehingga 9 kg lagi. Bateri lithium-ion ringan turut membantu menjadikan berat keseluruhan serendah 1,420 kg.“Suspensi yang lebih harmoni menjadikan kereta ini lebih stabil di atas litar mahupun jalan biasa. Sistem anti-dive baharu juga memberi kestabilan ketika membrek pada kelajuan tinggi,” jelas Jörg Bergmeister.
Touring Package yang kembali sejak 2017 kini tersedia sejak pelancaran. Ia mengetengahkan logo “911 GT3 Touring” pada gril belakang, serta pilihan sistem tempat duduk belakang opsyenal pertama kali dalam sejarah GT3. Bahagian dalaman dibalut kulit dengan suasana sporty klasik, sesuai untuk pemanduan harian mahupun jalan berliku.
Menurut Walter Röhrl, lagenda rali dan duta Porsche, “Nisbah gear lebih pendek dan talaan stereng lebih baik memberi keyakinan tinggi, terutama di jalan kampung yang berliku.”
Bahagian kabin menampilkan kokpit dua tempat duduk standard dengan rekaan digital terkini, termasuk mod paparan “Track Screen” yang memaparkan hanya data penting seperti tekanan tayar, suhu minyak, serta shift flash pada takometer 9,000 rpm. Pilihan kerusi sports bucket seat CFRP dengan fungsi lipat turut memudahkan akses ke tempat duduk belakang (Touring).
Untuk pemandu litar, Clubsport Package ditawarkan tanpa kos tambahan. Ia termasuk roll cage besi, tali pinggang 6-poin, dan alat pemadam api.
Pemilik 911 GT3 dan GT3 Touring turut berpeluang memiliki jam chronograph eksklusif hasil rekaan Porsche Design, lengkap dengan pergerakan mekanikal COSC-certified WERK 01.200 serta rotor menyerupai rim GT3. Tali jam pula diperbuat daripada kulit dalaman Porsche sebenar.
Porsche 911 GT3 dan 911 GT3 Touring kini boleh didapati di Malaysia pada harga bermula RM2,290,000. Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh mengunjungi Pusat Porsche terdekat.
Baca Juga : Porsche 911 Turbo S Baharu, 711 PS, T-Hybrid Twin-Turbo
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.