Automotif

Polis Kedah Seru Rakyat Bantu Tangani Mat Rempit Melalui Media Sosial

Share

Polis Kedah menggesa orang ramai untuk bekerjasama dalam usaha mengekang kegiatan lumba haram dan samseng jalanan, atau lebih dikenali sebagai ‘mat rempit’. Caranya? Dengan menularkan gambar kenderaan yang diubah suai melalui media sosial. 

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, berkata usaha ini penting bagi mengekang aktiviti tidak bermoral yang telah lama berleluasa di negeri itu.

Beliau berkata, semua pihak perlu berganding bahu dalam menangani masalah ini yang sering mengganggu keselamatan pengguna jalan raya. 

Menurutnya, masyarakat boleh memainkan peranan penting dengan merakam gambar kenderaan yang tidak mematuhi spesifikasi undang-undang, terutamanya motosikal yang diubah suai untuk lumba haram.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh – fotoBERNAMA

Kata Datuk Fisol

“Saya nak warga Kedah, sila ambil gambar jika nampak kenderaan sama ada kereta, motosikal, malah basikal yang telah diubah suai. Contohnya, motosikal dengan tayar ‘sotong’, brek yang dibuang, atau karburetor dinaik taraf untuk merempit. Ambil gambar dan viralkan di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut menekankan bahawa jika kenderaan tersebut dilihat berada di atas jalan raya, tindakan pantas daripada masyarakat diperlukan dengan mengambil gambar agar pihak polis boleh mengesan pemilik kenderaan tersebut, malah hingga ke rumah mereka.

Dalam usaha menguatkuasakan tindakan tegas, Fisol berkata arahan penguatkuasaan telah dikeluarkan kepada semua ibu pejabat polis daerah di Kedah. Dengan penekanan khas kepada bahagian trafik dan jabatan lain yang berkenaan. 

Kerjasama dari masyarakat adalah kunci dalam memastikan masalah ini dapat ditangani dengan berkesan. Sekaligus mengelakkan insiden buruk yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Barang Rampasan

Selain itu, Fisol juga memaklumkan bahawa polis telah melupuskan 330 item rampasan, termasuk 242 ekzos, 77 lengan ayun, lima karburetor, serta enam item lain di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Tindakan pelupusan ini dilakukan setelah arahan mahkamah dikeluarkan di bawah Seksyen 407 Kanun Prosedur Jenayah. 

Rampasan keseluruhan pada tahun ini berjumlah 1,412 item. Di mana 302 item telah dilupuskan pada 11 Julai lalu selepas keputusan mahkamah dibuat.

Kes Lain

Bagi kes berkaitan narkotik pula, Fisol turut memaklumkan bahawa barangan rampasan bernilai RM2.9 juta melibatkan 2,826 kertas siasatan akan dilupuskan esok oleh sebuah syarikat yang dilantik di Negeri Sembilan. 

Pelupusan ini melibatkan barangan rampasan sejak tahun 2013 hingga 2022.

Inisiatif ini diharap dapat mengurangkan kes jenayah jalanan dan narkotik, serta memberi impak positif kepada keselamatan di jalan raya.

Dari TheSun

Baca Juga Video Tular Supercar Gumball 3000, Polis Bukit Aman Beri Amaran

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.