Pirelli Perkenal Tayar Cinturato Rosso Seal Inside Untuk Pasaran Malaysia
Pirelli Malaysia secara rasmi memperkenalkan tayar baharu Cinturato Rosso dengan teknologi ‘Seal Inside’, yang direka untuk menawarkan tahap keselamatan, keselesaan dan prestasi yang lebih tinggi bagi kegunaan pemanduan harian.
Model ini dibangunkan khusus untuk pasaran penggantian (replacement market), menyasarkan pemilik sedan moden, crossover dan SUV yang mahukan keseimbangan antara pemanduan selesa dan ciri keselamatan tambahan.

Melalui teknologi ‘Seal Inside’, tayar ini mampu mengekalkan tekanan angin walaupun berlaku kebocoran akibat tertusuk objek seperti paku atau serpihan tajam di jalan raya.
Lapisan bahan pengedap khas pada bahagian dalam tayar akan menutup lubang yang terbentuk, sekali gus membolehkan pemandu meneruskan perjalanan tanpa perlu berhenti segera untuk menukar tayar atau mendapatkan bantuan kecemasan.
Di Malaysia, Cinturato Rosso dengan teknologi ‘Seal Inside’ ditawarkan dalam pelbagai saiz dari 16 hingga 23 inci, menjadikannya sesuai untuk pelbagai jenis kenderaan penumpang termasuk sedan segmen C dan D, crossover kompak serta SUV moden.

Dari segi reka bentuk, tayar ini masih mengekalkan ciri utama siri Cinturato Rosso yang menitikberatkan kesenyapan dan keselesaan pemanduan. Corak bunga tayar beralur penuh bersama reka bentuk rusuk tengah (central rib) membantu meningkatkan kestabilan serta mengurangkan bunyi tayar ketika memandu.
Cinturato Rosso Dibangunkan Dengan Teknologi Virtual dan AI
Pirelli turut memanfaatkan pendekatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang lebih maju dalam menghasilkan tayar ini. Pembangunan Cinturato Rosso Seal Inside menggunakan teknik simulasi virtual dan kecerdasan buatan (AI) bagi mengoptimumkan reka bentuk tayar serta pemilihan bahan.
Melalui kaedah ini, ujian prototaip boleh dilakukan secara digital sebelum penghasilan fizikal, sekali gus mempercepat proses pembangunan dan mengurangkan keperluan pembuatan prototaip sebenar. Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan pembangunan lebih cekap, malah membantu Pirelli memperhalusi prestasi tayar dengan tahap ketepatan yang lebih tinggi.
Dengan gabungan teknologi pengedapan kendiri, keselesaan pemanduan dan proses pembangunan berasaskan AI, Pirelli Cinturato Rosso Seal Inside dilihat sebagai satu lagi langkah ke hadapan dalam inovasi tayar moden yang memberi penekanan kepada keselamatan dan praktikaliti untuk pengguna harian.
Baca Juga : Apa Yang Terjadi Jika Anda Terus Pandu Dengan Tayar Botak?
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






