Peugeot 205 GTI yang mengangumkan.
Apabila berbicara tentang Rowan Atkinson, ramai mungkin terbayangkan Mr. Bean dengan aksinya yang lucu atau agen rahsia Johnny English yang serba kelam-kabut.
Namun, tidak ramai yang tahu bahawa pelakon ini juga seorang petrolhead yang tegar.
Beliau memiliki koleksi kereta yang mengagumkan, dan kini salah satu daripadanya, sebuah Peugeot 205 GTI, bakal dijual.
Dan percayalah, kereta ini sememangnya satu permata yang menarik perhatian!
Peugeot 205 GTI ini merupakan model ‘Phase 1.5’, pernah dimiliki oleh Atkinson yang hanya memandunya sejauh 300 batu sahaja sejak beliau membelinya.
Walaupun odometer kereta ini menunjukkan angka 71,000 batu, Atkinson menjaga kereta ini dengan begitu rapi seolah-olah baru keluar dari kilang.
Dengan warna Alpine White yang masih berkilau, rim aloi ‘pepper-pot’ yang klasik, dan keadaan keseluruhan yang seakan-akan baru, kereta ini tampak seperti koleksi tuxedo Johnny English yang sentiasa dalam keadaan tip-top.
Di bawah hudnya, terdapat enjin 1.6 liter empat silinder yang berkemungkinan besar masih mampu menjana kuasa hampir 115bhp.
Enjin ini juga mempunyai daya pecutan 0-62mph dalam 9.8 saat dan kelajuan maksimum sekitar 121mph.
Nombor-nombor ini mungkin kedengaran biasa bagi standard kereta moden.
Namun dengan berat hanya sekitar 850kg, tidak sukar untuk memahami mengapa Peugeot 205 GTI ini dianggap sebagai salah satu ‘hot hatch’ terhebat sepanjang masa.
Namun, tarikan utama kereta ini adalah di bahagian dalamannya.
Ruangan dalaman hadir dengan tempat duduk kain berjalur merah yang klasik, permaidani velour yang mewah, konsol tengah dengan butang yang masih utuh.
Dengan Stereng yang begitu mengancam, anda mungkin tersilap sangka kereta ini baru sahaja dikeluarkan dari bilik pameran Peugeot.
Keadaan dalamannya yang terjaga rapi menambah nilai estetika dan nostalgik bagi sesiapa yang menghargai reka bentuk klasik.
Baca Juga : Sebesar Apartment! Hummer H1 Milik Sheikh Emiriah Arab Bersatu Adalah SUV Terbesar Di Dunia!
Setakat ini, harga panduan bagi kereta ini belum lagi dikeluarkan, tetapi kebanyakan model Peugeot 205 GTI yang berada dalam keadaan baik di pasaran cenderung untuk berada dalam lingkungan £20,000 hingga £30,000.
Jadi, tidak mustahil untuk kereta milik Atkinson ini mencapai harga yang sama, jika tidak lebih tinggi.
Bagi peminat kereta klasik dan penggemar Atkinson, ini adalah peluang untuk memiliki secebis sejarah automotif yang unik.
Sebuah Peugeot 205 GTI dengan kisah dan pemilik yang istimewa – satu kombinasi yang pasti menggoda hati ramai peminat kereta di luar sana.
Kredit Artikel : TopGear
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.