Automotif

Ruang Udara Sepang Jadi Tumpuan, Pesawat Gulf Air Bakal Terbang Rendah Sempena F1 GP Bahrain

Share

Pesawat Gulf Air Bakal Terbang Rendah Di Sepang Sempena F1

Pengunjung perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Malaysia hujung minggu ini bukan sahaja berpeluang menyaksikan aksi jentera F1 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), malah bakal disajikan dengan pertunjukan udara istimewa melibatkan sebuah pesawat Boeing 787 Dreamliner milik Gulf Air.

Pesawat penumpang itu dijadualkan melakukan penerbangan lintas pada altitud rendah di ruang udara sekitar SIC pada Ahad, 4 Oktober 2026, tidak lama sebelum perlumbaan bermula.

Menurut laporan The Star, aksi berkenaan dijangka berlangsung antara 2.45 petang hingga 3.00 petang

, berdekatan waktu pelepasan perlumbaan. Sesi latihan penerbangan turut dijadualkan berlangsung pada Rabu, 30 September.

Gangguan Trafik Udara Dijangka Minimum

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Zainul Abidin Maslan, berkata operasi tersebut telah diselaraskan lebih awal bagi memastikan kesannya terhadap pergerakan pesawat komersial berada pada tahap minimum.

Menurut beliau, penerbangan rendah Gulf Air akan dilakukan hampir dengan waktu perlumbaan dimulakan dan penyelarasan dalaman telah dibuat bagi memastikan operasi penerbangan pada hari acara berjalan lancar.

CAAM turut memaklumkan bahawa beberapa operasi pesawat pada altitud lebih rendah daripada kebiasaan dijadualkan berlangsung di sekitar Sepang antara 30 September hingga 4 Oktober, khususnya dalam tempoh sekitar 2.00 petang hingga 3.00 petang.

Orang ramai yang berada di kawasan Sepang dan sekitarnya dinasihatkan supaya tidak terkejut sekiranya melihat pesawat terbang pada altitud lebih rendah kerana operasi berkenaan telah diselaraskan bersama pihak berkuasa berkaitan dan tertakluk kepada keperluan keselamatan penerbangan.

Drone Tanpa Kebenaran Dilarang

Dalam masa sama, CAAM turut memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak menerbangkan dron tanpa kebenaran di ruang udara terjejas sepanjang acara berlangsung.

Pengendali dron perlu mendapatkan kelulusan yang diperlukan sebelum sebarang penerbangan dilakukan.

Operasi dron tanpa kebenaran boleh mengganggu keselamatan pesawat yang melakukan penerbangan rendah dan pihak terlibat juga boleh dikenakan siasatan mengikut Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 serta peruntukan undang-undang berkaitan.

Pengguna KLIA Terminal 2 Disaran Datang Lebih Awal

Dalam perkembangan berkaitan, AirAsia turut menjangkakan peningkatan jumlah penumpang serta kesesakan trafik menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA T2) sepanjang hujung minggu perlumbaan.

Penumpang penerbangan antarabangsa disarankan tiba sekurang-kurangnya tiga jam lebih awal, manakala penumpang penerbangan domestik disaran tiba sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu berlepas

.

Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Malaysia dijadualkan berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Oktober 2026.

Sepang sebelum ini pernah menjadi lokasi Grand Prix Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan berkenaan tidak lagi diteruskan dalam kalendar F1 susulan peningkatan kos penganjuran dan yuran pelesenan.

Kehadiran pesawat Gulf Air kali ini dijangka menjadi antara tarikan tambahan sebelum perlumbaan bermula.

Baca Juga : Formula 1 Kembali ke Sepang, Malaysia Jadi Tuan Rumah GP Bahrain 2026

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi