
Pelumba berpengalaman, Faidzil Alang, sekali lagi muncul juara keseluruhan MSF Merdeka 111-Lap Race 2026 di PETRONAS Sepang International Circuit, sekali gus mencatat kemenangan dua tahun berturut-turut dalam perlumbaan endurance berprestij itu. Faidzil mula di petak pertama dan mencatat masa terpantas perlumbaan, 2 minit 27.462 saat.
Bersama dua lagi pelumba, Muhamad Nurazmi dan Ariff Hanafiah, trio berkenaan mengemudi jentera #148 Papaya Autohaus Mercedes-Benz A45 untuk melengkapkan kesemua 111 pusingan di litar sepanjang 5.534 kilometer itu.
Mereka bukan sahaja muncul juara keseluruhan, malah turut menjuarai kategori Super Series Limited.
Papaya Autohaus berjaya menamatkan perlumbaan hampir 30 minit lebih awal daripada tempoh maksimum perlumbaan yang dijadualkan.
Tempat kedua keseluruhan pula menjadi milik gandingan Syahrizal Jamaluddin dan Muhammad Hasif yang memandu Toyota GR Yaris, ketinggalan 1 minit 44.184 saat di belakang pemenang.
Sementara itu, trio Kenny Lee, Loke Yin Yi dan Daniel Storkensen daripada Kegani Racing Academy menamatkan perlumbaan di tempat ketiga keseluruhan menggunakan Toyota Levin. Mereka turut muncul juara kategori Super Compatto.
Menurut Faidzil, kemenangan berkenaan merupakan hasil kerjasama seluruh pasukan serta pengalaman panjang mereka bersama Mercedes-Benz A45.
“Kemenangan ini adalah hasil usaha berpasukan. Kami sudah lama berlumba menggunakan A45 dan selepas memperoleh beberapa keputusan yang baik sebelum ini, kami mempunyai data mencukupi untuk mendapatkan talaan kereta yang tepat.
“Kami melakukan empat hentian pit sepanjang perlumbaan. Disebabkan kami tahu perlu melakukan lebih banyak hentian berbanding beberapa pasukan lain, fokus kami hanyalah untuk mengekalkan rentak yang kompetitif dan konsisten,”
katanya.Tambah Faidzil, aspek disiplin turut memainkan peranan penting dalam memastikan jentera mampu bertahan sehingga ke garisan penamat.
“Kami agak yakin kereta ini mampu membawa kami hingga ke garisan penamat, tetapi untuk melakukannya, ketiga-tiga pemandu perlu berdisiplin, memandu dengan berhati-hati dan menjaga kereta.
“Memang satu perasaan yang sangat baik apabila dapat kembali ke podium tertinggi dan memenangi perlumbaan keseluruhan buat kali kedua,” katanya.
Bagi Kegani Racing Academy, kejayaan menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga keseluruhan dan memenangi kelas Super Compatto menjadi pencapaian lebih bermakna selepas pasukan itu berdepan masalah teknikal di pertengahan perlumbaan.
Pasukan berkenaan pernah jatuh sehingga kedudukan kelima selepas kehilangan kira-kira 11 minit bagi menggantikan hos klac yang rosak.
Ketua pasukan yang juga pelumba utama, Kenny Lee berkata, MSF Merdeka Race sentiasa menjadi acara istimewa buat pasukannya.
Kegani memilih strategi memaksimumkan tempoh pemanduan di atas litar dengan hanya melakukan tiga hentian pit.
Namun ketika berada dalam kedudukan selesa, masalah hos klac memaksa pasukan melakukan pembaikan kecemasan.
“Krew mengambil masa 11 minit untuk membawa kami kembali ke trek dan selepas itu saya terus meningkatkan rentak. Kami akhirnya kembali merampas pendahuluan kelas ketika berbaki lapan pusingan,” ujar Kenny.
Edisi 2026 merupakan penganjuran kali kesembilan MSF Merdeka 111-Lap Race, acara yang secara tradisinya dianjurkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan.
Hampir 200 jentera dan 300 peserta mengambil bahagian dalam keseluruhan acara yang melibatkan perlumbaan empat roda menerusi MSF SuperTurismo serta dua roda dalam MotoMSF.
Sebanyak 63 kereta mengambil tempat di grid utama MSF Merdeka 111-Lap Race yang dibahagikan kepada lapan kelas iaitu Super Series Limited, EXN GT86 x BRZ Racing Cup, Super Compatto, Standard Production, Standard Production MAX, Super Production, SWX dan K-Series Battle.
Selain perlumbaan 111 pusingan, sebanyak 61 kereta turut menyertai Merdeka 75 Cup, perlumbaan endurance selama 75 minit yang merangkumi kategori Saga Cup, MyVi Cup, CamPro Cup dan Tuner Production.
Sebanyak 13 kereta pula mengambil bahagian dalam Skilldrvn One Make Race Series.
Saingan dua roda menyaksikan Dhiraj Tan dan Sankaran Shamugam muncul juara keseluruhan MotoMSF Merdeka 33-Lap Endurance Race.
Mereka menamatkan perlumbaan dalam keadaan cuaca panas dengan kelebihan lebih seminit di hadapan pencabar terdekat.
Menariknya, kemenangan tersebut diraih menggunakan jentera Supersport 600cc, sekali gus membuktikan kepentingan strategi, perancangan serta kerja berpasukan dalam perlumbaan endurance motosikal.
Juara tahun lalu, Mohd Fahmi Abdul Wahaf, yang kali ini bergandingan bersama Mohd Radzi Omar menggunakan jentera Ducati, menamatkan saingan di tempat kedua, ketinggalan 1 minit 08 saat.
Tempat ketiga keseluruhan pula menjadi milik Ng Wei Shyang dan Ke Huanni yang masing-masing menunggang Honda CBR600RR.
Perlumbaan itu turut menyaksikan penyertaan bekas pelumba Red Bull MotoGP Rookies Cup dan CEV Moto3, Amirul Hafiq Azmi, yang kembali berlumba selepas memberi tumpuan kepada bidang kejurulatihan.
Prinsipal MSF, Adian Yein Khalid, berkata penganjuran tahun ini sekali lagi mendapat sokongan kukuh daripada pasukan, pelumba, rakan kerjasama dan penaja.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan, pelumba, rakan kerjasama dan penaja yang terus menjadikan acara ini antara perlumbaan paling dinantikan setiap tahun.
“MSF Merdeka 111-Lap Race merupakan salah satu tunjang utama perlumbaan akar umbi di Malaysia. Tahun ini acara ini berjaya menarik lebih ramai pelumba serantau dan antarabangsa.
“Melangkah ke hadapan, kami percaya ia juga mampu menjadi platform kukuh untuk menguji dan melahirkan bakat baharu,” katanya.
MSF Merdeka Race dianjurkan oleh Kelab Sukan Motor MSF Malaysia, sebuah kelab rasmi berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan ahli gabungan Motorsports Association of Malaysia (MAM).
Keseluruhan
Super Series Limited
EXN GT86 x BRZ Racing Cup
Super Compatto
Standard Production
Standard Production MAX
Super Production
K-Series Battle
SWX
Baca Juga : Kenapa Brek Cakera Motosikal Mempunyai Lubang?
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.