Aksi Perlumbaan Malam Kembali Menyala
Festival perlumbaan paling ikonik negara, Malaysia Speed Festival (MSF), kembali menghangatkan kalendar permotoran tempatan dengan pusingan kedua yang diberi nama “Saturday Night Fever”.
Dengan sokongan rasmi daripada Tourism Malaysia, perlumbaan akan berlangsung di South Track Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 19 dan 20 April 2025.
Sudah pasti bakal menjanjikan suasana perlumbaan waktu malam yang mendebarkan serta penuh adrenalin.

Menjulang Warisan Sukan Permotoran Negara
Bermula sejak 2010, MSF telah menjadi antara platform paling konsisten dalam memartabatkan sukan permotoran di peringkat akar umbi.
Memasuki tahun ke-15, MSF terus berpegang kepada objektif asalnya — menyediakan ruang perlumbaan yang mampu milik, selamat dan menyeronokkan buat komuniti peminat automotif tanah air.
Untuk pusingan kali ini, MSF kembali ke akar tradisinya di South Circuit yang lebih mesra penonton.
Perlumbaan kategori SuperTurismo akan dimulakan seawal jam 6:00 petang hingga lewat tengah malam.
Kategori SuperBikes pula akan berlangsung keesokan harinya (Ahad) di laluan yang sama.
Lebih menarik ini adalah perlumbaan pertama kali dalam sejarah MSF superbike dilangsungkan di litar ini.

Sokongan Tourism Malaysia: Permotoran sebagai Tarikan Pelancongan
MSF edisi kali ini menerima sokongan padu daripada Tourism Malaysia, selaras dengan kempen Visit Malaysia 2026.
Usaha ini bukan sahaja bertujuan memperkasa ekosistem sukan permotoran tempatan, malah sebagai medium untuk memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi sukan bermotor utama di Asia Tenggara.

“Kami amat teruja dengan sokongan daripada Tourism Malaysia. Ini bukan sahaja membuka peluang pendedahan lebih luas kepada komuniti pelumba tempatan, malah menarik perhatian pelumba dan peminat antarabangsa,” kata Adian Yein, Prinsipal MSF.
Tambah beliau, MSF bukan asing dalam kalangan pelumba luar negara, dengan penyertaan daripada Singapura, Thailand, Indonesia, Hong Kong, Jepun dan juga benua Eropah.
Barisan Pelumba Elit dan Ikonik
Malaysia Speed Festival tidak pernah ketandusan bakat hebat.
Dalam pusingan pertama kategori SuperBikes, antara nama besar yang mencuri tumpuan termasuk Azlan Shah (bekas pelumba ARRC).
Selain itu Naomichi Uramoto (juara All Japan J-GP2 2016), Adam Norrodin (pelumba WorldSBK), dan Zulfahmi Khairuddin (bekas pelumba MotoGP dan pengasas ZK Racing).
Bagi kategori SuperTurismo, kehadiran legenda seperti Faidzil Alang, yang mencatat masa peribadi terbaik baharu di Sepang dengan catatan 2:16, turut memeriahkan perlumbaan.
Tidak ketinggalan, juara Gazoo Racing GT Cup Asia 2024, Taj Izrin Aiman, yang juga pelumba simulasi profesional, menambah dimensi baharu kepada pertandingan ini.

MSF Myvi Cup — Si Kecil Lincah, Kini Di Litar
Tahun ini turut menandakan kemunculan kategori baharu yang menarik perhatian.
Kategori tersebut adalah MSF Myvi Cup, yang memberi tumpuan kepada jentera ikonik rakyat Malaysia, Perodua Myvi.
Perlumbaan ini bakal menjadi tumpuan dalam pusingan kedua.
Tambahan pula dengan penganjuran di litar selatan yang lebih pantas, padat dan mencabar pada waktu malam.
Baca Juga : Malaysia Speed Festival Umumkan Pengenalan Myvi Cup dalam MSF Superturismo
Akses Untuk Semua — Motorsports Milik Rakyat
Mengukuhkan reputasi sebagai platform inklusif, MSF mengekalkan struktur kategori yang teratur serta bayaran penyertaan yang berpatutan.
Menurut Adian, ini adalah asas kepada kejayaan MSF yang berjaya menggabungkan pelumba profesional dan amatur dalam satu persekitaran kompetitif yang selamat.

“MSF bukan sekadar perlumbaan. Ia adalah jambatan antara dunia permotoran profesional dengan komuniti peminat. Inilah yang menjadikan MSF istimewa,” katanya.
Jom Ke Sepang — Tiket Bermula RM35
Pusingan 2 Malaysia Speed Festival akan diadakan pada 19 April (kategori SuperTurismo).
Manakala pada 20 April pula (kategori SuperBikes) di South Circuit Litar Antarabangsa Sepang.
Akses ke paddock boleh dibeli di pintu masuk pada hari acara dengan harga RM35 sehari.
Manakala tempat duduk Grandstand ditawarkan secara percuma.
Untuk peminat permotoran, inilah masa terbaik untuk menyaksikan keghairahan perlumbaan pada waktu malam di tanah air — MSF 2025.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
BRABUS Rocket GTC Deep Red 2026, 0–100 km/j 2.6 Saat!

BRABUS Rocket GTC Deep Red 2026 Roadster Hibrid 1,000hp
BRABUS tidak pernah berkompromi dalam soal prestasi mahupun gaya. Model baharu Rocket GTC Deep Red 2026 ini menzahirkan falsafah tersebut. Model ini menggabungkan kuasa hibrid 1,000hp, teknologi aerodinamik paling halus, serta rekaan roadster tanpa bumbung sepenuhnya daripada red exposed-structure carbon fiber.
Dengan reka bentuk yangh rendah dan lebar, setiap inci bahagian kereta ini dibina untuk mencipta “1-Second-Wow” impresi yang serta-merta memukau sesiapa sahaja yang memandangnya.

Rekaan Luar: Carbon Deep Red, Aero Maksimum
Badan Rocket GTC Deep Red dibina sepenuhnya menggunakan prepreg autoclave process disalut kemasan lut sinar berwarna merah khas. Dari hadapan, splitter BRABUS Rocket direka untuk menyalurkan downforce ke gandar depan, manakala ruang udara besar memastikan penyejukan radiator dan brek yang optimum.

Bahagian sisi pula menyalurkan udara ke panel kuarter belakang lebar sehingga mencapai 198.5 cm di gandar belakang.

Di belakang, pandangan dramatik dihidupkan dengan spoiler “ducktail”, diffuser serat karbon, serta empat muncung ekzos titanium dengan pencahayaan LED merah. Semua ini diuji dalam terowong angin bagi memastikan kestabilan pemanduan pada kelajuan tinggi.

Kuasa & Prestasi: Hybrid “Space Race”
Di bawah hud karbon, enjin V8 4.5 liter twin-turbo BRABUS Rocket 1000 menghasilkan 796hp dan 1,250Nm (dihadkan 1,050Nm untuk transmisi). Motor elektrik 204hp (150kW) dengan transmisi dua kelajuan menambah lagi daya, digerakkan oleh bateri lithium-ion 6.1kWh.

Jumlah kuasa sistem mencapai 735kW / 1,000hp dan 1,820Nm, tetapi dihadkan kepada 1,620Nm untuk melindungi komponen. Digandingkan dengan transmisi automatik sport 9-kelajuan dan sistem pacuan semua roda, roadster ini mampu:
0–100 km/j: 2.6 saat
0–200 km/j: 9.5 saat
0–300 km/j: 23.6 saat
Kelajuan maksima (Vmax): 317 km/j (197 mph)
Walaupun sekuat roket, ia masih kekal sebagai sebuah roadster berprestasi tinggi dengan penggunaan bahan api kombinasi 12.9 l/100km dan pelepasan CO₂ 291 g/km.

Bunyi & Jiwa: Ekzos V8 Dengan Kawalan Injap
Sistem ekzos keluli tahan karat BRABUS direka dengan katalis berprestasi tinggi dan penapis partikel, membolehkan enjin bernafas lebih bebas. Ia turut menawarkan kawalan injap aktif dimana pemandu boleh memilih mod “Coming Home” yang senyap, atau membuka injap sepenuhnya untuk menikmati ngauman penuh V8 twin-turbo.
Diiringi visual ekzos titanium bercahaya merah, setiap nyalaan bukan sekadar bunyi, tetapi satu persembahan teater mekanikal.

Rim & Suspensi: “Brabusized”
Rocket GTC Deep Red dilengkapi rim Monoblock P Platinum Edition dengan aero-blade karbon yang direka untuk mengalirkan haba brek keluar dengan lebih efisien.
Hadapan: 21” (275/35 ZR 21 Continental SportContact 7)
Belakang: 22” (335/25 ZR 22 Continental SportContact 7)
Suspensi sport dengan pelarasan ketinggian 10–20mm memastikan kedudukan badan rendah, profil tajam, dan pengendalian yang setimpal dengan prestasi 1,000hp.

Interior: “Masterpiece” Deep Red
Masuk ke dalam kabin, konsep “Masterpiece” Brabus diterjemahkan dengan kemasan kulit penuh berwarna merah, jahitan “Shell quilting” yang teliti, serta embossed logo Double-B dan ROCKET GTC pada tempat duduk.

Lantai, ruang simpanan, hingga but belakang semuanya dilapisi kulit berkualiti tinggi dengan perincian jahitan tangan. Kontras sporty hadir melalui kemasan karbon Signature, pedal, stereng, dan sill pintu bercahaya. Malah, butang kawalan dan gril pembesar suara disiapkan dengan kemasan “Shadow Gray” matte, melengkapkan rasa eksklusif.

Dengan bumbung fabrik elektro-hidraulik yang boleh dibuka, kabin ini menjadi pentas gaya hidup eksklusif yang elegan, agresif, dan unik.
Eksklusiviti & Harga
Rocket GTC Deep Red melakukan debut di Pebble Beach sempena Monterey Car Week, pentas paling berprestij untuk hypercar. Harga rasmi: €830,422 (sekitar USD967,000 / RM4.3 juta sebelum cukai Malaysia).

Jumlah unit? Sangat terhad, dipercayai dalam dua digit rendah sahaja, menjadikannya antara roadster hibrid paling rare di dunia.
Spesifikasi Utama BRABUS Rocket GTC Deep Red 2026
Kuasa sistem: 735kW / 1,000hp
Tork sistem: 1,820Nm (dihadkan 1,620Nm)
0–100 km/j: 2.6s
0–200 km/j: 9.5s
0–300 km/j: 23.6s
Kelajuan maksima: 317 km/j
Penggunaan bahan api: 12.9 l/100km
Emisi CO₂: 291 g/km
Enjin petrol: V8 4.5L twin-turbo, 796hp, 1,250Nm (dihadkan 1,050Nm)
Motor elektrik: 204hp, transmisi 2-kelajuan, bateri 6.1kWh
Rim/Tayar: 21” depan / 22” belakang, Continental SportContact 7
Suspensi: BRABUS sport spring, boleh laras 10–20mm
Ekzos: Titanium dengan kawalan injap & tip LED merah
Badan: Roadster serat karbon Deep Red, aerodinamik penuh
Harga: €830,422 (≈ USD967,000)

BRABUS Rocket GTC Deep Red 2026 dibina untuk pelanggan eksklusif, model ini menandakan satu lagi bukti bahawa BRABUS masih menguasai seni “Born Wild. And Free.”
Baca Juga : #SoAMG – Pelancaran Model Prestasi Terkini Mercedes-AMG
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Yamaha EZ115 2025 Tampil Tiga Warna Baharu, Harga RM5,698

Yamaha EZ115 2025 Tampil Tiga Warna Baharu, Harga RM5,698
Yamaha Malaysia memperkenalkan tiga warna baharu bagi model kapcai popular, Yamaha EZ115, yang kini tampil lebih segar dan moden untuk tahun 2025.
Pilihan warna Biru, Kelabu dan Hijau itu memberi sentuhan baharu kepada model mampu milik ini, sekali gus menyasarkan penunggang muda yang mahukan motosikal ringkas tetapi bergaya.
Model berkenaan mula dijual di semua pengedar sah Yamaha seluruh negara bermula 15 Disember 2025, dengan harga RM5,698 tidak termasuk pendaftaran dan insurans.
Pembeli turut menerima kunci cakera keselamatan Yamaha bernilai RM100 sebagai hadiah tambahan.
Enjin 114cc Jimat & Mudah Diselenggara
Yamaha EZ115 dikuasakan enjin 114cc silinder tunggal SOHC dengan penyejukan udara, menghasilkan 6.4 kW pada 7,000 rpm serta tork 9.5 Nm pada 5,500 rpm.
Walaupun berkapasiti kecil, kuasa yang ditawarkan memadai untuk kegunaan harian seperti ulang-alik kerja, penghantaran ringan dan perjalanan dalam bandar.
Model ini terkenal dengan penyelenggaraan yang mudah serta penggunaan bahan api yang menjimatkan, menjadikannya pilihan sesuai untuk golongan muda, pekerja baharu dan mereka yang ingin motosikal kos rendah.
Praktikal Dengan Ruang Simpanan Luas
Satu kelebihan Yamaha EZ115 ialah ruang simpanan bawah tempat duduk yang luas. Pengguna boleh menyimpan peralatan asas seperti baju hujan, sarung tangan atau botol air tanpa masalah. Tempat duduk motosikal ini tersebut boleh dibuka dengan kunci utama, memudahkan akses tanpa perlu kunci tambahan.
Saiznya yang kompak dan ringan turut menjadikan EZ115 mudah dikawal, terutama untuk penunggang baharu yang memerlukan motosikal stabil dan tidak berat.
Pilihan Sesuai Untuk Motosikal Pertama
Dengan gabungan harga mampu milik, kos penjagaan rendah serta penggunaan petrol yang cekap, Yamaha EZ115 dilihat sebagai pilihan ideal untuk:
Penunggang muda lepasan SPM
Pekerja baharu yang mahukan motosikal harian
Pengguna yang memerlukan kapcai ringan dan mudah dikendalikan
Mereka yang inginkan motosikal praktikal tanpa ciri rumit
Secara keseluruhan, Yamaha EZ115 2025 tampil lebih menarik menerusi tiga warna baharu, sambil mengekalkan kelebihan yang membuatkan model ini diterima ramai: jimat, mudah jaga dan tahan lasak.

Dengan harga RM5,698 dan nilai tambah seperti kunci keselamatan percuma, EZ115 kekal sebagai kapcai pilihan untuk golongan muda yang mencari motosikal pertama, atau sesiapa sahaja yang mahukan kenderaan harian yang mudah dijaga dan diselenggara.
Baca Juga : Yamaha Perkenal EGO Gear Pro, Lebih Jimat & Praktikal
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Toyota GR Supra V8 Bakal Gegar Perlumbaan Supercars 2026

Toyota GR Supra V8 Masuk ke Arena Supercars
Toyota akhirnya membuka tirai jentera baharu mereka untuk musim Supercars 2026 dengan sebuah Toyota GR Supra V8 yang dijangka bakal mengubah landskap perlumbaan touring paling berprestij di Australia.
Model ini membuat kemunculan rasmi di acara pelancaran Bathurst 1000 di Sydney, mengesahkan desas-desus yang berlegar sejak prototaip tanah liat dipamerkan pada 2024.

Toyota GR Supra : Dari Ikon Jalan Raya ke Litar Perlumbaan
Supra bukanlah nama asing dalam dunia jentera prestasi.Model versi perlumbaan ini telah lama bertarung di Jepun melalui siri SUPER GT, tetapi versi khas Supercars yang digelar “Supracar” menandakan kali pertama ia berentap secara rasmi di bawah regulasi Gen3 di Australia.
Lebih menarik, kereta ini dibangunkan dengan asas pacuan belakang tulen, seiring DNA asal Supra.

Enjin V8 Baharu yang Disesuaikan dengan Gen3
Mengikut piawaian Gen3, Toyota memilih untuk membekalkan GR Supra Supercar dengan enjin 5.2 liter V8 quad-cam. Toyota GR Supra V8 ini direka khas bagi memastikan ia menepati peraturan kapasiti antara 5.2 hingga 5.7 liter, sekaligus memberi keseimbangan antara kuasa maksimum dan ketahanan untuk perlumbaan jarak jauh.
Ujian awal telah dijalankan di fasiliti Altona, Melbourne dengan Neil Crompton memegang stereng, manakala program ujian penuh seluruh Australia dijadualkan bermula tidak lama lagi. Penonton juga berpeluang melihatnya lebih dekat pada Bathurst 1000 bulan depan.

Toyota Gazoo Racing – Visi & Warisan
Menurut Sean Hanley, Naib Presiden Jualan, Pemasaran dan Operasi Francais Toyota Australia:
“Hari ini cukup bersejarah untuk Toyota, GR dan juga arena Supercars. Ia adalah hasil bertahun-tahun perancangan serta dedikasi pasukan kami. GR Supra ini akan menjadi tambahan yang sangat mengujakan di atas grid.”
Hanley turut menekankan bahawa penglibatan Toyota dalam perlumbaan adalah sebahagian daripada pembangunan kenderaan jalanan mereka. Sejak penyertaan antarabangsa pertama pada Mobilgas Round Australia Rally 1957, sukan permotoran sentiasa menjadi nadi kepada jenama Toyota.

Kerjasama dengan Pasukan Tempatan
Untuk musim debut 2026, Toyota akan bekerjasama dengan dua nama besar Supercars – Walkinshaw Andretti United (WAU) dan Brad Jones Racing (BJR). WAU, yang kini bersama Ford, akan menurunkan dua unit Supra, manakala BJR yang berpindah dari Chevrolet akan mengendalikan empat unit tambahan. Secara keseluruhan, enam buah GR Supra akan menghiasi grid.
Tiga Pengeluar, Pertama Kali Sejak 2019
Dengan kemasukan Toyota, Supercars bakal menyaksikan persaingan tiga pengeluar serentak buat pertama kali sejak 2019, menyertai Ford Mustang dan Chevrolet Camaro. Ini bukan sahaja menambah warna dalam saingan, malah menjanjikan pertempuran yang lebih sengit dan menarik untuk peminat.

Menanti Deruman Pertama
Pelancaran Toyota GR Supra V8 Supercars ini jelas memberi isyarat bahawa Toyota serius untuk mencabar dominasi sedia ada. Dari Bathurst hingga ke Adelaide, “Supracar” dijangka menjadi tumpuan bukan sahaja kerana kuasa V8 yang menggema, tetapi juga kerana ia membawa kembali semangat legenda Supra ke gelanggang perlumbaan paling ikonik Australia.
Baca Juga : Toyota GR Supra A90 Final Edition, Titik Noktah Sebuah Legenda
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!





