Marc Marquez dari Sepanyol, juara dunia MotoGP sebanyak enam kali, akan menyertai Ducati Factory Team pada tahun 2025 dan bergandingan dengan juara bertahan Francesco Bagnaia.
Marquez, yang kini menunggang untuk Gresini – pasukan satelit Ducati yang disertainya pada awal 2024 selepas 11 musim bersama Honda – akan menggantikan pelumba Itali, Enea Bastianini, dengan kontrak dua tahun, seperti yang diumumkan oleh pasukan tersebut pada hari Rabu.
Marquez, 31 tahun, belum memenangi sebarang perlumbaan sejak Oktober 2021 dan kini berada di tempat ketiga dalam kedudukan keseluruhan setakat pertengahan musim ini.
Marc Marquez – Ducati Gresini Team
“Saya sangat gembira dapat memakai warna merah Ducati Factory Team dalam MotoGP musim depan,” kata Marquez. “Saya gembira dapat mengambil langkah besar ini pada 2025 dan berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh Ducati kepada saya.”
Ads
Kedatangan Marquez ke pasukan juara dunia itu telah dijangkakan selepas pengumuman pada hari Isnin. Pelumba yang sedang meningkat naik, Jorge Martin, akan menyertai Aprilia dari Ducati-Pramac, satu lagi pasukan satelit Ducati.
Marquez, dengan 136 mata, kini berada di tempat ketiga dalam kedudukan Kejuaraan Dunia Pelumba MotoGP 2024. Di belakang Martin yang mengumpul 171 mata dan Bagnaia dengan 153 mata.
Toyota akhirnya membuka tirai jentera baharu mereka untuk musim Supercars 2026 dengan sebuah Toyota GR Supra V8 yang dijangka bakal mengubah landskap perlumbaan touring paling berprestij di Australia.
Model ini membuat kemunculan rasmi di acara pelancaran Bathurst 1000 di Sydney, mengesahkan desas-desus yang berlegar sejak prototaip tanah liat dipamerkan pada 2024.
Supra bukanlah nama asing dalam dunia jentera prestasi.Model versi perlumbaan ini telah lama bertarung di Jepun melalui siri SUPER GT, tetapi versi khas Supercars yang digelar “Supracar” menandakan kali pertama ia berentap secara rasmi di bawah regulasi Gen3 di Australia.
Lebih menarik, kereta ini dibangunkan dengan asas pacuan belakang tulen, seiring DNA asal Supra.
Mengikut piawaian Gen3, Toyota memilih untuk membekalkan GR Supra Supercar dengan enjin 5.2 liter V8 quad-cam. Toyota GR Supra V8 ini direka khas bagi memastikan ia menepati peraturan kapasiti antara 5.2 hingga 5.7 liter, sekaligus memberi keseimbangan antara kuasa maksimum dan ketahanan untuk perlumbaan jarak jauh.
Ujian awal telah dijalankan di fasiliti Altona, Melbourne dengan Neil Crompton memegang stereng, manakala program ujian penuh seluruh Australia dijadualkan bermula tidak lama lagi. Penonton juga berpeluang melihatnya lebih dekat pada Bathurst 1000 bulan depan.
Menurut Sean Hanley, Naib Presiden Jualan, Pemasaran dan Operasi Francais Toyota Australia:
“Hari ini cukup bersejarah untuk Toyota, GR dan juga arena Supercars. Ia adalah hasil bertahun-tahun perancangan serta dedikasi pasukan kami. GR Supra ini akan menjadi tambahan yang sangat mengujakan di atas grid.”
Hanley turut menekankan bahawa penglibatan Toyota dalam perlumbaan adalah sebahagian daripada pembangunan kenderaan jalanan mereka. Sejak penyertaan antarabangsa pertama pada Mobilgas Round Australia Rally 1957, sukan permotoran sentiasa menjadi nadi kepada jenama Toyota.
Untuk musim debut 2026, Toyota akan bekerjasama dengan dua nama besar Supercars – Walkinshaw Andretti United (WAU) dan Brad Jones Racing (BJR). WAU, yang kini bersama Ford, akan menurunkan dua unit Supra, manakala BJR yang berpindah dari Chevrolet akan mengendalikan empat unit tambahan. Secara keseluruhan, enam buah GR Supra akan menghiasi grid.
Dengan kemasukan Toyota, Supercars bakal menyaksikan persaingan tiga pengeluar serentak buat pertama kali sejak 2019, menyertai Ford Mustang dan Chevrolet Camaro. Ini bukan sahaja menambah warna dalam saingan, malah menjanjikan pertempuran yang lebih sengit dan menarik untuk peminat.
Pelancaran Toyota GR Supra V8 Supercars ini jelas memberi isyarat bahawa Toyota serius untuk mencabar dominasi sedia ada. Dari Bathurst hingga ke Adelaide, “Supracar” dijangka menjadi tumpuan bukan sahaja kerana kuasa V8 yang menggema, tetapi juga kerana ia membawa kembali semangat legenda Supra ke gelanggang perlumbaan paling ikonik Australia.
Dalam dunia modifikasi kereta Jepun, satu nama yang sangat berpengaruh adalah Kazuhiko “Smokey” Nagata.
Terkenal dengan kepantasan kereta-kereta modifikasinya yang melampaui batas, Nagata dikenali kerana menghasilkan asap tayar yang tebal semasa memecut pada kelajuan yang sukar dipercayai.
Kisah seorang anak petani dari Hokkaido yang menjadi legenda kelajuan dunia ini bukan sahaja luar biasa.
Nagata berasal dari latar belakang sederhana, di mana keluarganya bekerja di ladang di Hokkaido, kawasan utara Jepun yang terkenal dengan pergunungan bersalji.
Minatnya terhadap kereta bermula sejak usia muda, dan seawal 16 tahun, beliau membeli sebuah Mitsubishi Galant GTO yang dibaikinya sendiri dengan bantuan seorang eksekutif Toyota tempatan.
Bagaimanapun, kegemarannya memandu secara haram menyebabkan beliau dibuang sekolah, walaupun beliau kemudiannya ditawarkan kerja di pusat servis Toyota yang sama.
Kariernya di sana berakhir apabila beliau tertangkap menghabiskan waktu kerja untuk mengubahsuai keretanya sendiri.
Berbekalkan minat yang mendalam, Nagata berhijrah ke Tokyo dan menyertai syarikat Trust, pengeluar jenama GReddy yang terkenal.
Di sini, beliau mula dengan tugasan membungkus alat ganti, tetapi kemahirannya dalam modifikasi kereta mula menarik perhatian, sehingga beliau dinaikkan pangkat untuk membantu pasukan lumba syarikat tersebut.
Selepas waktu kerja, beliau diam-diam menghasilkan alat ganti untuk keretanya sendiri, dan ini menarik minat rakan-rakan pelumba jalanan yang lain.
Nama “Top Secret” bagi jenama beliau muncul apabila pihak pengurusan Trust menyedari kegiatan Nagata namun memilih untuk memejamkan mata kerana bakatnya yang luar biasa.
Pada tahun 1991, Nagata akhirnya meninggalkan Trust dan menubuhkan syarikatnya sendiri, Top Secret, yang kini dikenali di seluruh dunia sebagai simbol modifikasi ekstrem.
Untuk membuktikan kehebatannya, Nagata mula menunjukkan kereta-keretanya di Auto Salon Tokyo, tetapi bukan itu sahaja.
Beliau turut menguji kelajuan ciptaannya di lebuh raya Tokyo, tempat beliau melakukan pelbagai aksi memecut yang akhirnya membawa nama Top Secret ke peringkat antarabangsa.
Salah satu aksi yang paling dikenang adalah ketika beliau membawa Toyota Supra dengan enjin RB26DETT ke Britain, di mana beliau mencapai kelajuan hampir 200 mph di lebuh raya A1.
Akibat aksi ini, beliau ditahan oleh polis Britain dan dilarang memandu di negara tersebut.
Salah satu ciptaan Nagata yang paling ikonik ialah Toyota Supra V12.
Beliau menggunakan enjin V12 Toyota Century yang dimodifikasi untuk menghasilkan lebih dari empat kali ganda kuasa asalnya.
Dengan kelajuan tertinggi mencecah 222 mph di litar Nardo Ring, Supra ini bukan sekadar modifikasi biasa.
Supra ini menjadi ikon kepada dunia kereta Jepun yang terus diingati sehingga kini.
Satu lagi elemen ikonik dalam kereta-kereta Top Secret adalah warna emasnya yang tersendiri.
Hanya kereta yang disahkan secara peribadi oleh Nagata layak mendapat penghormatan warna ini, simbol kepada kecemerlangan dan prestasi.
Model seperti Nissan GT-R R35 dengan kuasa 1,100 hp adalah antara yang menampilkan warna emas ini.
Walaupun Nagata tidak lagi melakukan aksi berisiko tinggi seperti dahulu, beliau masih aktif dalam industri modifikasi.
Beliau masih aktif mengubahsuai model JDM klasik dan moden.
Pengaruh beliau yang mendalam dalam dunia modifikasi JDM menjadi inspirasi kepada generasi baru yang meminati prestasi kelajuan yang ekstrem.
DNagata telah mengukir namanya dalam sejarah automotif Jepun dan dunia.
Beliau meninggalkan legasi yang mungkin tidak akan ditandingi oleh mana-mana tuner automotif lain.
Kepada anda yang ingin melihat secara dekat Nissan GTR R35 daripada Top Secret dan berjumpa sendiri dengan Smokey Nagata, anda boleh hadir ke Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur pada hujung minggu ini.
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan EGO Gear Pro, model skuter automatik baharu yang direka khusus untuk penggunaan harian. Pelancaran ini berlangsung di Yamaha Automatic World Roadshow di Mayang Mall Kuala Terengganu, sebuah acara yang menghimpunkan barisan skuter automatik Yamaha untuk tontonan umum.
EGO Gear Pro dibangunkan sebagai sebuah skuter yang mudah ditunggang, selesa dan praktikal untuk kegunaan harian. Golongan muda mungkin menjadi sasaran utama, namun ciri-ciri yang ditawarkan sebenarnya menjadikan model ini sesuai untuk semua lapisan umur termasuk warga emas yang mahukan sebuah skuter ringan, jimat minyak dan senang dijaga.
Kekuatan utama EGO Gear Pro terletak pada enjin 125cc BLUE CORE Hybrid. Teknologi hybrid ini membantu mengurangkan penggunaan minyak, menghasilkan getaran lebih rendah dan memberikan prestasi yang lebih lancar.
Untuk situasi seperti menaiki bukit atau membawa pembonceng, model ini dilengkapi dengan sistem Power Assist, iaitu bantuan kuasa tambahan ketika memecut dari keadaan berhenti.
Sistem Smart Motor Generator (SMG) pula memastikan enjin dihidupkan dengan lebih senyap dan mudah, hanya sekali tekan. Teknologi ini juga membuatkan ciri Stop & Start System menjadi lebih smooth, sesuai untuk penunggang yang banyak bergerak dalam kawasan bandar atau trafik perlahan.
Dengan saiz tangki petrol 5.1 liter, ia mampu memberikan jarak perjalanan harian yang memadai tanpa perlu kerap berhenti mengisi minyak.
Dari segi reka bentuk, EGO Gear Pro mengekalkan bentuk yang ringkas dan ringan. Ini menjadikan ia mudah dikawal terutama ketika melalui kawasan sempit atau parkir. Lampu hadapan LED memberikan pencahayaan yang lebih jelas pada waktu malam, manakala lantai kaki anti-slip membantu mengurangkan risiko tergelincir ketika hujan.
Yamaha turut menawarkan tiga pilihan warna iaitu Stellar White, Navy Green, dan Cosmic Blue, menjadikannya pilihan menarik untuk semua golongan penunggang.
Sebagai sebuah skuter bandar, EGO Gear Pro memberi tumpuan kepada keselesaan dan kemudahan. Di bawah tempat duduk terdapat ruang simpanan 18.6 liter, cukup besar untuk menyimpan beg kecil, barangan harian atau alat keselamatan tambahan. Tempat duduk baharu direka untuk lebih empuk dan selesa, sama ada untuk penunggang mahupun pembonceng.
Di bahagian belakang, terdapat pemegang dengan rak rata, membolehkan barangan diikat dengan mudah praktikal untuk mereka yang sering membeli barang atau menggunakan skuter sebagai pengangkutan utama.
EGO Gear Pro turut menyokong Y-Connect, aplikasi telefon pintar Yamaha. Dengan aplikasi ini, penunggang boleh melihat notifikasi panggilan, mesej, status bateri telefon, data penggunaan minyak dan peringatan penyelenggaraan.
Ia juga boleh menunjukkan lokasi parkir terakhir, berguna untuk kawasan parkir yang sesak.
Selain itu, model ini hadir dengan Answer Back System, iaitu fungsi yang membantu menjejak skuter melalui bunyi atau lampu. Meter LCD pula menawarkan paparan yang terang dan mudah dibaca.
EGO Gear Pro dijual pada harga RM6,198 tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Ia kini boleh didapati di semua pengedar Yamaha seluruh negara.
GR Yaris MORIZO RR: DNA Nürburgring Dalam Bentuk Edisi Terhad
Toyota Gazoo Racing (TGR) secara rasmi memperkenalkan edisi khas GR Yaris MORIZO RR. Model prototaip...