Pada usia 62 tahun, Karamjit Singh, legenda rali negara, sekali lagi membuktikan kehebatannya dengan menjuarai MIRC Rally of Asahan 2024, pusingan kedua kejohanan Malaysia Iconic Rally Championship (MIRC).
Dengan Subaru Impreza WRX dari pasukan MRU Motorsport. Karamjit bersama juruarahnya, Vivek Ponnusamy, mendominasi rali dengan memenangi 7 daripada 9 ujian khas (SS) yang berlangsung.
Laluan Mencabar di Ladang Kelapa Sawit
Bertempat di Pekan Asahan, Jasin, Melaka, rali ini berlangsung di laluan berbatu kerikil dan tanah liat sekitar ladang kelapa sawit di Nyalas Estate dan Felda Tun Ghaffar Bukit Senggeh.
Dengan tiga SS yang diulang sebanyak tiga kali, peserta perlu menempuh lebih 100 km laluan penuh cabaran. Aksi bermula seawal jam 8.30 pagi di Kompleks Japerun Asahan dan berakhir pada jam 3 petang, tetapi hanya 10 daripada 17 kereta berjaya menamatkan perlumbaan.
Kredit – Paultan
Dominasi Karamjit dan Saingan Sengit
Karamjit dicabar hebat oleh Haji Sutan Mustafa Salihin yang turut memandu Subaru Impreza WRX GDB bersama juruarah Kamrul Anuar Mohd Razzali. Walaupun mengalami tayar pecah di SS3. Karamjit terus mengukuhkan kedudukan dengan kelebihan dua minit di hadapan Haji Sutan yang memenangi dua SS. Kedua-dua pelumba membawa pulang trofi untuk kategori M12 (2,000 cc ke atas) dan kelas pacuan 4WD.
Tempat ketiga pula menjadi milik pasukan dari Perlis, Azrul Azhar Norbakari dan juruarah Muhamad Firdaus Musa, yang memandu Proton Satria 1.8 NA pacuan roda hadapan. Kejayaan ini mengejutkan ramai kerana mereka beraksi dalam kategori M11 (1,800 hingga 2,000 cc) dan 2WD.
Ads
Kejutan Lain dan Drama Laluan
Kejutan turut datang daripada Dinie Nazmie bersama juruarah Nazam Shah Sulaiman, yang menduduki tempat keempat keseluruhan dengan Proton Satria 1.6 NA. Dinie juga merangkul juara kelas M10 (sehingga 1,600 cc) dan naib juara kategori 2WD.
Bagaimanapun, cabaran rali ini tidak lepas daripada drama. Pasukan Saladin Rallying yang diwakili dua jentera terpaksa menarik diri awal. Prototaip Mini Deus 1.8L turbo 4WD yang dipandu Saladin Mazlan terkandas di SS1. Manakala Satria Neo anaknya, Ibrahim Saladin, mengalami kerosakan lengan suspensi di SS2 dan masalah timing belt di SS3.
Kreativiti juga diuji apabila juruarah pasukan Purnama Rally Team, Teh Yie Sing, terpaksa duduk di bonet kereta selepas Proton Satria 1.6 mereka patah lengan suspensi. Aksi serupa dilakukan oleh juruarah Shahrol Zainal dari pasukan Sucmuci Motorsport. Mereka ‘bertenggek’ di pintu kereta selepas Iriz 1.6 turbo pasukannya mengalami masalah sama di SS9.
Ads
Kredit – Paultan
Pelumba Antarabangsa dan Memori Manis
Rali ini turut menyaksikan penyertaan pelumba antarabangsa. Nikeeta Takkale dari India berjaya menamatkan cabaran di tempat ke-10 bersama Proton Satria Neo. Sementara itu, pelumba Indonesia, Arjianshah Musa, terpaksa menarik diri kerana masalah logistik pada jentera Rally2 Skoda Fabia Evo miliknya.
Tidak dilupakan, kejayaan manis untuk Hashrul Jamaludin dari pasukan Purnama Rally Team. Selepas dua rali yang mengecewakan, dia berjaya menduduki tempat ke-9 keseluruhan dengan Proton Satria 1.3 dan bergelar juara kategori M9 (sehingga 1,300 cc).
MIRC Rally of Asahan 2024 sekali lagi mengukuhkan statusnya sebagai medan mencabar dengan aksi dramatik dan penuh warna. Dari veteran seperti Karamjit Singh hingga pelumba muda. Rali ini membuktikan bahawa semangat dan kecekalan sentiasa menjadi tunjang kejayaan di dunia sukan rali.
Dalam pembangunan yang mengambil masa hampir tiga tahun, litar lumba Horizon Beranang akhirnya melihat cahaya mata pada tahun 2023. Idea yang dicanangkan pada tahun 2022, akhirnya membuahkan pusat latihan dan perlumbaan sukan permotoran yang diimpikan ramai.
Mohd Najwan Halimi, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Selangor, dengan penuh semangat menjelaskan bahawa litar ini akan menjadi titik tumpuan utama bagi peminat sukan permotoran.
“Inisiatif ini direalisasikan melalui usaha Horizon Motorsport dengan sokongan padu kerajaan Selangor melalui Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Ia menjadi wadah yang sempurna bagi pelumba tempatan untuk berkembang dan memperjuangkan impian mereka dalam arena perlumbaan.”
Kredit: mediatwohweels.com
Beliau menekankan bahawa litar ini bukan sekadar tempat untuk berlumba, tetapi juga menjadi tempat latihan yang cemerlang untuk bakat-bakat baru.
“Kami berharap agar pengurusan litar ini diserahkan kepada mereka yang berpengalaman dan profesional dalam bidang sukan permotoran. Ini adalah langkah penting untuk memastikan kesinambungan sukan ini dan juga untuk mendorong penemuan bakat-bakat baru yang berpotensi.”
Dengan jarak trek lumba sejauh 1 kilometer dan 12 variasi litar yang berbeza, Horizon Beranang menjanjikan pengalaman perlumbaan yang menarik bagi semua peringkat pelumba.
“Ketika litar ini siap sepenuhnya, kami yakin bahawa ia akan menjadi mercu tanda penting dalam dunia sukan permotoran di Selangor. Penggemar sukan ini boleh menghubungi Horizon Motorsport untuk maklumat lanjut mengenai penggunaan litar ini,” tambahnya dengan penuh keyakinan.
Dalam usaha memastikan ketelusan dan integriti semasa menjalankan tugas, anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal dilengkapi dengan kamera badan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memaklumkan langkah ini bertujuan memperkukuhkan keberkesanan penguatkuasaan, terutamanya dalam kes-kes melibatkan kenderaan berat.
Menurut laporan Bernama
Penggunaan kamera badan ini adalah inisiatif yang telah disarankan oleh Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli. Langkah ini bukan sahaja untuk meningkatkan keselamatan dan integriti pegawai bertugas tetapi juga untuk melindungi imej JPJ di mata masyarakat.
“Penggunaan kamera badan ini penting untuk memastikan imej dan integriti JPJ sentiasa terpelihara. Pada masa yang sama, ia juga melindungi anggota kita sendiri.
Kadangkala pegawai JPJ menjadi sasaran kritikan, penghinaan, dan tuduhan yang tidak berasas. Dengan adanya kamera badan, segala tindakan penguatkuasaan dapat dirakam sebagai bukti sekiranya diperlukan,” ujar Loke.
Operasi JPJ Di Malaysia
Sokongan Pelbagai Pihak
Langkah ini juga mendapat sokongan Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi. Beliau menyatakan bahawa penggunaan alat tersebut mampu meningkatkan tahap integriti dalam kalangan pegawai.
Ia turut membantu meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap JPJ selain mengurangkan salah faham yang sering berlaku semasa proses penguatkuasaan.
Perlaksanaan Segera
Anthony Loke turut menjelaskan bahawa pihaknya telah meminta Kementerian Pengangkutan untuk berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi memastikan perolehan alat ini dapat dilaksanakan segera.
Beliau berharap agar langkah ini dapat direalisasikan secepat mungkin. Dengan sasaran melengkapkan anggota JPJ dengan peralatan tersebut sebelum penghujung tahun ini.
“Kami sedang berusaha mendapatkan peruntukan yang diperlukan agar kamera badan ini dapat diperoleh dalam tempoh terdekat. Saya berharap semua anggota JPJ akan dilengkapi dengan kamera badan pada tahun ini juga,” katanya.
Contoh Kamera Badan
Dengan pengenalan teknologi ini, JPJ dijangka dapat menjalankan tugas penguatkuasaan dengan lebih efisien dan profesional. Langkah ini bukan sahaja memberi perlindungan kepada anggota bertugas tetapi juga memastikan setiap tindakan yang diambil dapat dipantau dan dipertanggungjawabkan.
Dalam masa yang sama, kepercayaan orang ramai terhadap jabatan ini dijangka akan meningkat. Menjadikan JPJ lebih dihormati sebagai badan penguatkuasa yang telus dan berintegriti.
Pada 20 Julai lalu, Kawasaki Motors, sebahagian daripada Kumpulan Kawasaki Heavy Industries telah mengadakan demonstrasi umum pertama untuk motosikal berteknologi enjin pembakaran dalaman hidrogen (ICE).
Acara ini diadakan di Litar Suzuka, Bandaraya Suzuka Jepun, dan disaksikan oleh ramai peminat automotif serta media.
Reka Bentuk dan Kejuruteraan Termaju
Motosikal ICE hidrogen ini dibangunkan sebagai sebahagian daripada kajian yang bermula pada Mac 2023, dengan ujian pertama dijalankan pada tahun ini.
Model ini menggunakan Enjin Empat Sejajar 998 cm3 Supercharged dari Kawasaki Ninja H2.
Enjin tersebut telah diubahsuai untuk membolehkan suntikan langsung bahan api hidrogen ke dalam silinder.
Selain itu, casis motosikal ini direka khas untuk menampung kanister bahan api hidrogen dan sistem bekalan bahan api yang diperlukan.
Keunikan Teknologi Pembakaran Hidrogen
Motosikal ini menggunakan teknologi pembakaran hidrogen yang menghasilkan deruman bunyi dan getaran yang memberikan pengalaman memuaskan kepada penunggang.
Berbeza dengan enjin pembakaran dalaman tradisional, motosikal ini hanya mengeluarkan air sebagai produk sampingan, menjadikannya pilihan yang lebih mesra alam.
Inisiatif Karbon Neutral Kawasaki Motors
Sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk menyokong teknologi hijau, Kawasaki Motors sedang giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan bagi merealisasikan penggunaan motosikal dengan enjin hidrogen ini.
Mereka mensasarkan untuk memperkenalkan motosikal ini kepada pasaran pada awal 2030 sebagai satu pilihan mesra alam kepada penunggang.
Komitmen Kawasaki Terhadap Teknologi Hijau
Kawasaki Motors juga merupakan ahli penuh dalam HySE (Hydrogen Small mobility & Engine technology), sebuah persatuan penyelidikan yang memfokuskan kepada teknologi hidrogen.
Persatuan ini sedang menjalankan penyelidikan asas mengenai enjin hidrogen, sistem pengisian bahan api hidrogen, dan sistem bekalan bahan api bagi menghasilkan kenderaan mobiliti kecil berkuasa hidrogen, termasuk motosikal.
Dengan inisiatif ini, mereka berharap dapat menyumbang kepada kebahagiaan dan kepuasan semua pihak yang terlibat dalam perjalanan mereka ke arah masa depan yang lebih hijau.
SYM VFE 185i Tiba Dengan Ciri Premium & Harga Menarik
Gelombang baharu dalam segmen moped berkapasiti tinggi kini bermula dengan kemunculan SYM VFE 185i, model...