Setelah pelbagai spekulasi mengenai penglibatan Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. dalam Malaysia Autoshow 2025, syarikat tersebut mengesahkan bahawa mereka tidak akan menyertai acara berkenaan atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.
Sebaliknya, Mforce memilih untuk menumpukan perhatian kepada perancangan jangka masa panjang yang lebih signifikan.
Mforce Motoshow 2026
Sebagai langkah strategik, Mforce akan menganjurkan acara eksklusif sendiri iaitu Mforce Motoshow 2026.
Acara ini dirangka bagi menghargai para pelanggan setia dan memperkukuh lagi kepercayaan masyarakat terhadap jenama tersebut.
Selain mempamerkan barisan model semasa, Mforce juga bakal melancarkan model baharu serta memperkenalkan prototaip motosikal yang dirancang untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Aktiviti Menarik Untuk Semua Golongan
Acara ini dijangka menarik kehadiran pemilik motosikal Mforce, bakal pembeli dan pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.
Pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti sesi pandu uji, pertunjukan aksi ekstrem (stunt show), serta ruang khas untuk aktiviti perkhemahan bagi merapatkan hubungan dalam kalangan komuniti pemilik motosikal.
Mforce menegaskan komitmen mereka dalam menawarkan produk berkualiti, perkhidmatan terbaik dan aktiviti sosial yang memperkukuhkan ikatan komuniti.
Kejayaan pada Malaysia Autoshow 2024 menjadi bukti pencapaian syarikat, apabila mereka menyewa satu dewan penuh di MAEPS dan berjaya melancarkan 18 model baharu dalam satu hari.
Selain itu mereka juga mempamerkan lebih 80 model motosikal yang dirancang memasuki pasaran.
Secara keseluruhan, lebih 200 motosikal telah dipertontonkan, menjadikan pameran mereka antara yang paling menonjol sepanjang acara tersebut.
Terima Kasih Kepada Semua Pihak
Mforce turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelanggan, institusi kewangan, rakan niaga, rakan media dan peminat motosikal atas sokongan berterusan.
Ads
Syarikat bertekad untuk terus memperkenalkan model-model terbaik dan memperluas platform interaksi bersama peminat menerusi penganjuran acara-acara eksklusif pada masa hadapan.
Peneraju Pasaran Tempatan & Serantau
Mforce bukan sahaja mendominasi pasaran tempatan, malah turut mengeksport ke negara-negara serantau seperti Thailand, Vietnam, Indonesia dan Taiwan.
Perkembangan ini membuktikan kemampuan mereka untuk bersaing di peringkat antarabangsa sambil mengekalkan kualiti dan inovasi.
Sunlight Power: Rakan Strategik Dalam Operasi
Melengkapkan kekuatan ekosistem ini ialah Sunlight Power Sdn. Bhd., ditubuhkan pada 2017 oleh individu yang sama.
Ads
Sebagai fasiliti pemasangan motosikal terbesar di Pulau Pinang, Sunlight Power bertanggungjawab memastikan setiap motosikal yang dikeluarkan mencapai standard tertinggi dari segi mutu dan ketahanan.
Simbol Inovasi dan Ketukangan Tempatan
Gabungan antara Mforce dan Sunlight Power menjadi lambang kepada inovasi dan perkhidmatan terbaik dalam industri dua roda negara.
Secara tidak langsung memperkukuh lagi kedudukan mereka sebagai peneraju sebenar dunia permotoran Malaysia.
Ditubuhkan pada tahun 2008 oleh Dato’ Sri Tan Lean Heah, Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. kini merupakan antara pengedar motosikal paling berprestasi di Malaysia.
Mforce mewakili jenama antarabangsa seperti Benelli, Keeway, Morbidelli, Benda, QJMotor, SYM, Brixton, Moto Morini, Cyclone, Voge dan Yadea, selain dua jenama tempatan – SM Sport dan WMOTO.
Sempena majlis perasmian Mforce SmartShop W H S Motor Sdn. Bhd. di Banting, QJMOTOR Malaysia melancarkan sebuah model baharu yang pasti mencuri perhatian penunggang muda iaitu QJMOTOR SRK250R.
Model sportbike 249cc ini bukan sekadar tampil agresif, malah membawa teknologi moden dengan harga mampu milik.
Harga Promosi & Varian Warna
Bagi 1,000 pemilik terawal, SRK250R ditawarkan pada harga pengenalan RM9,988.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).
Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Red Silver, Blue dan Black, kesemuanya dengan grafik sporty yang menonjolkan identiti agresif jentera ini.
Enjin & Prestasi
Di sebalik rekaan tajamnya, SRK250R digerakkan oleh enjin silinder tunggal, 4-injap, DOHC, penyejukan cecair yang mampu menghasilkan 20.5kW (27.5hp) pada 9,500rpm serta 22.5Nm tork pada 7,250rpm.
Dengan konfigurasi bore x stroke 72.0mm x 61.2mm, ia dipadankan bersama kotak gear 6-kelajuan dan klac basah berbilang plat untuk penukaran gear yang lancar.
Sistem suntikan bahan api EFI pula memastikan respons pendikit lebih tepat dan efisiensi bahan api lebih baik.
Rekaan & Dimensi
SRK250R dibina dengan dimensi kompak yang sesuai untuk penunggang Asia.
Panjang motosikal ini adalah 2,010mm, lebar 770mm, tinggi 1,125mm, dengan jarak roda 1,360mm.
Tempat duduk pada ketinggian 780mm memberi posisi menunggang sporty tetapi masih mesra harian.
Dengan berat hanya 162kg dan tangki bahan api 12.5 liter, ia cukup seimbang untuk kegunaan bandar mahupun untuk perjalanan jarak jauh.
Suspensi & Brek
Bahagian hadapan dilengkapi fork terbalik (USD) manakala belakang menggunakan monoshock boleh laras untuk kawalan yang lebih baik di selekoh.
Kuasa henti pula datang daripada brek cakera 300mm di depan dan 240mm di belakang, lengkap dengan ABS dwi-saluran.
Tayar 110/70-R17 di hadapan dan 140/60-R17 di belakang memastikan cengkaman stabil sama ada di jalan basah atau kering.
Teknologi & Kelengkapan
Sebagai sportbike moden, QJMOTOR SRK250R hadir dengan ciri yang menyenangkan penunggang:
Paparan meter digital penuh warna
Sistem lampu LED penuh (depan, belakang & isyarat)
Lampu hazard & windscreen statik
Port pengecasan USB Type-A & Type-C
Sistem Bluetooth terbina dalam dengan fungsi panggilan telefon serta integrasi WhatsApp – unik untuk kelasnya.
Jaminan & Sokongan
Setiap pembelian hadir dengan jaminan pengeluar 2 tahun tanpa had perbatuan, selain kemudahan membeli alat ganti tulen secara atas talian melalui Mforce Bike Holdings.
Ini memberi keyakinan tambahan kepada pemilik yang risau soal penyelenggaraan.
Pakej Entry-Level yang Berbaloi
Dengan harga bawah RM10k, rekaan sporty, kuasa hampir 28hp dan kelengkapan moden termasuk ABS serta Bluetooth, QJMOTOR SRK250R hadir sebagai pakej lengkap untuk penunggang muda yang mahu naik taraf dari kapcai ke sportbike.
Ia bukan sekadar motosikal harian, tetapi tiket masuk ke dunia “big bike” dengan gaya, teknologi dan sokongan selepas jualan yang diyakinkan oleh Mforce.
Aveta Malaysia telah mencipta sejarah apabila berjaya menganjurkan acara penyerahan motosikal terbesar di Malaysia. Ia secara rasmi diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.
Acara gilang-gemilang ini dianjurkan bersama pengedar sah Aveta, CKT Motor, dan berlangsung di Seberang Perai, Pulau Pinang.
Sebanyak 168 unit motosikal Aveta diserahkan kepada pemilik baharu dalam majlis tersebut. Melibatkan model Vanguard 250 dan Nova 160. Acara ini bukan sahaja menjadi tanda aras baharu buat Aveta. Malah turut membuktikan penerimaan luar biasa rakyat Malaysia terhadap produk-produk terbaharu mereka.
Sejak pelancarannya awal tahun ini, kedua-dua model tersebut telah mencatatkan lebih daripada 10,000 tempahan di seluruh negara. Menunjukkan peningkatan pengaruh dan keyakinan pengguna terhadap jenama Aveta dalam industri dua roda tempatan.
Menurut Steven Lim, Pengarah Urusan Kumpulan Aveta: “Hari ini bukan sekadar penyerahan motosikal – ia adalah satu perayaan inovasi, komuniti dan visi Aveta untuk menetapkan penanda aras baharu dalam industri. Kami amat berbesar hati berkongsi kejayaan ini bersama para penunggang, pengedar dan rakan kongsi kami.”
Turut hadir memeriahkan acara ialah YB Dato’ Haji Rashidi Bin Zinol, EXCO Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar Pulau Pinang.
Bersama beberapa pemimpin kerajaan dan komuniti. Kehadiran mereka mengiktiraf kepentingan pencapaian Aveta bukan sahaja kepada syarikat. Malah, kepada landskap automotif nasional.
Komitmen Aveta – Kualiti, Khidmat & Komuniti
Aveta kekal komited untuk menghasilkan motosikal yang berkualiti tinggi, berprestasi dan dipercayai. Selari dengan keperluan penunggang masa kini.
Melalui rangkaian pengedar dan pusat servis yang kian berkembang, serta inisiatif Aveta Care on Wheels. Perkhidmatan servis dari pintu ke pintu, pelanggan kini boleh menikmati pengalaman pemilikan yang lebih lancar dan menyenangkan.
Tunggang Dengan Selamat. Tunggang Dengan Bangga. Aveta Sentiasa Bersama Anda.
Honda Malaysia mengumumkan satu kemaskini produk secara proaktif yang melibatkan kira-kira 36,000 unit model Honda Civic, Civic Type R, dan CR-V. Kemaskini ini bertujuan untuk memperbaiki masalah pada komponen Electric Power Steering (EPS) yang didapati berpotensi menyebabkan masalah bunyi dan kelekatan pada stereng.
Masalah ini berpunca daripada worm wheel EPS yang mungkin mengembang dan menyebabkan lapisan gris menjadi lebih nipis. Mengakibatkan bunyi abnormal atau stereng yang terasa ketat ketika memandu.
Model yang terlibat dalam kemaskini ini termasuk Honda Civic bagi tahun model 2022 hingga 2024. Civic Type R bagi tahun model 2023 hingga 2024 dan Honda CR-V bagi tahun model 2024.
Honda Malaysia
Menegaskan bahawa keselamatan pelanggan adalah keutamaan mereka oleh itu kemaskini ini dilaksanakan secara proaktif bagi memastikan semua kenderaan yang terlibat berada dalam keadaan terbaik untuk kegunaan pengguna.
Untuk makluman, model-model lain yang kini dikeluarkan dan dijual oleh Honda Malaysia tidak terkesan dengan kemaskini produk ini.
Bagi memudahkan pelanggan yang terjejas, Honda Malaysia akan mengeluarkan surat pemberitahuan yang mengandungi butiran kemaskini produk ini. Pelanggan yang menerima surat tersebut diminta untuk menghubungi mana-mana pengedar sah Honda. Ini bagi membuat janji temu bagi pemeriksaan dan pembaikan, jika perlu.
Semua kos pemeriksaan, pembaikan atau penggantian bahagian yang terlibat akan ditanggung sepenuhnya oleh Honda Malaysia, tanpa sebarang caj kepada pelanggan.
Honda Malaysia juga telah menjadualkan stok gantian untuk tersedia secara berperingkat bermula Disember 2024. Dengan cara ini, syarikat berupaya memastikan semua kenderaan yang terkesan dapat diselenggara dengan segera.
Maklumat Lanjut
Bagi pemilik kenderaan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau menyemak status kenderaan mereka, boleh menghubungi Talian Bebas Tol Honda Malaysia di 1-800-88-2020 atau melayari laman web di productrecall.honda.com.my.
Mereka juga boleh berhubung dengan mana-mana pengedar sah Honda untuk bantuan lanjut.
Secara keseluruhan, langkah ini adalah komitmen Honda Malaysia untuk memastikan kualiti dan keselamatan kenderaan mereka sentiasa terjamin. Serta memudahkan proses bagi pelanggan yang terlibat.
Honda Malaysia sekali lagi memohon maaf atas segala kesulitan yang mungkin timbul dan berharap kemaskini ini dapat dilakukan dengan lancar demi keselamatan dan kepuasan pelanggan.
BYD Tech Discovery Himpun Teknologi EV Terkini
BYD Malaysia bersama DENZA dan BYD Sime Motors melancarkan BYD Tech Discovery, sebuah jelajah teknologi EV pertama di...