Mercedes-Benz GLA Nightfall Edition GLA 200 dan GLA 250 4MATIC Harga Dari RM258,888
Mercedes-Benz Malaysia telah memperkenalkan Mercedes-Benz GLA Nightfall Edition, sebuah edisi khas bagi SUV kompak premium tersebut yang hadir dengan rekaan lebih sporty melalui Night Package.
Model ini ditawarkan dalam dua varian iaitu GLA 200 Nightfall Edition dan GLA 250 4MATIC Nightfall Edition, masing-masing tampil dengan elemen rekaan lebih gelap serta kemasan AMG Line bagi menyerlahkan imej lebih agresif.
Menurut Mercedes-Benz Malaysia, edisi ini direka untuk menawarkan kombinasi rekaan yang lebih dinamik, teknologi yang lebih moden serta praktikaliti SUV kompak premium bagi pelanggan di Malaysia.
Mercedes-Benz GLA 200 Nightfall Edition
Varian asas bagi edisi khas ini ialah GLA 200 Nightfall Edition, yang dikuasakan dengan enjin 1.33 liter turbo empat silinder dengan output 163 hp dan 270 Nm tork.
SUV kompak ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 8.9 saat dengan kelajuan maksimum 210 km/j.

Dari segi penampilan, model ini hadir dengan AMG Line exterior dan Night Package, yang menampilkan pelbagai elemen kemasan hitam berkilat pada gril hadapan, bumper serta komponen luaran lain.
GLA 200 Nightfall Edition menggunakan rim AMG 19 inci 5-twin-spoke light-alloy, yang memberikan imej lebih sporty dan dinamik.

Di bahagian dalam, kabin dilengkapi AMG Line interior, roof liner hitam, serta stereng sport multifungsi berbalut kulit nappa. Tempat duduk pula menggunakan gabungan ARTICO man-made leather dan MICROCUT microfibre, lengkap dengan jahitan kontras kelabu serta tali pinggang keledar berwarna kelabu.

Model ini turut dilengkapi THERMOTRONIC automatic climate control serta Parking Package dengan kamera 360 darjah, yang menyokong sistem Active Parking Assist untuk memudahkan proses parkir.
Mercedes-Benz GLA 250 4MATIC Nightfall Edition
Bagi varian lebih berkuasa, GLA 250 4MATIC Nightfall Edition menggunakan enjin 2.0 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 224 hp dan 350 Nm tork.
Model ini turut dibantu sistem mild hybrid 48V dengan motor elektrik tambahan, serta dilengkapi sistem pacuan semua roda 4MATIC.

Prestasinya membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 6.8 saat, dengan kelajuan maksimum 240 km/j.
Dari segi luaran, varian ini tampil lebih agresif dengan penggunaan rim AMG 20 inci multi-spoke alloy.

GLA 250 4MATIC Nightfall Edition turut dilengkapi lampu hadapan MULTIBEAM LED, yang menawarkan teknologi pencahayaan adaptif termasuk Adaptive High Beam Assist, Active Light Function dan ULTRA RANGE high beam untuk tahap penglihatan lebih baik ketika pemanduan malam.

Bahagian kabin pula mengekalkan spesifikasi hampir sama seperti GLA 200 Nightfall Edition, termasuk AMG Line interior, upholsteri ARTICO / MICROCUT, trim aluminium serta stereng sport kulit nappa.
Spesifikasi Ringkas Mercedes-Benz GLA Nightfall Edition
| Model | GLA 200 Nightfall Edition | GLA 250 4MATIC Nightfall Edition |
|---|---|---|
| Enjin | 1.33L Turbo | 2.0L Turbo |
| Kuasa | 163 hp | 224 hp |
| Tork | 270 Nm | 350 Nm |
| 0-100 km/j | 8.9 saat | 6.8 saat |
| Kelajuan maksimum | 210 km/j | 240 km/j |
| Rim | 19 inci AMG | 20 inci AMG |
| Lampu | LED | MULTIBEAM LED |
| Sistem pacuan | FWD | AWD (4MATIC) |
Harga Mercedes-Benz GLA Nightfall Edition di Malaysia
| Model | Harga (OTR tanpa insurans) |
|---|---|
| Mercedes-Benz GLA 200 Nightfall Edition | RM258,888 |
| Mercedes-Benz GLA 250 4MATIC Nightfall Edition | RM295,888 |

Harga yang dinyatakan adalah atas jalan tanpa insurans bagi Semenanjung Malaysia dan termasuk cukai jualan 10%.
Baca Juga : Mercedes-Benz Malaysia Rai Pemilik Setia Menerusi 100,000 KM Club Milestone Night
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






