Mazda memperkenalkan generasi ketiga CX-5 dengan pendekatan yang lebih matang, moden dan praktikal.
Model ini disasarkan khusus buat keluarga muda yang mahukan SUV bergaya, luas dan lengkap dengan teknologi terkini.
Dengan lebih 4.7 juta unit terjual sejak debut pada 2011, CX-5 adalah antara model paling penting global buat Mazda, dan versi terbaharu ini membawakan penambahbaikan ketara dari segi reka bentuk, keselesaan serta teknologi dalaman.
Secara fizikal, CX-5 kini lebih besar: panjangnya 4,690mm, lebar 1,860mm dan tinggi 1,695mm.
Peningkatan jarak roda sebanyak 115mm menjanjikan ruang dalaman yang lebih selesa, terutama untuk penumpang belakang dengan ruang kaki, kepala dan bahu yang ditambah baik.
Mazda turut memikirkan aspek praktikal seperti pintu belakang kini boleh dibuka lebih luas bagi memudahkan pemasangan kerusi kanak-kanak.
Manakala ruang but telah bertambah kepada 583 liter lebih besar daripada Honda CR-V dan hampir setanding Kia Sportage.
Bahagian dalaman pula tampil jauh lebih moden.
Antara perubahan terbesar adalah skrin sentuh infotainmen 15.6 inci berasaskan sistem Google yang juga pertama bagi Mazda dilengkapi fungsi seperti Android Auto, Apple CarPlay dan aplikasi seperti Google Maps, Netflix dan Amazon Prime apabila kenderaan diparkir.
Paparan pemandu 10.25 inci turut boleh menjalankan aplikasi Google.
Pengguna kini boleh menyesuaikan paparan utama dengan widget pilihan sendiri, hasil maklum balas terus daripada pemilik sebelum ini.
Tiada lagi tombol kawalan fizikal, ruang konsol tengah kini lebih lapang dan dimanfaatkan dengan pad pengecas tanpa wayar.
Reka bentuk luar mengekalkan bahasa rekaan KODO tetapi kini dengan bonet yang lebih panjang dan garisan badan yang lebih tajam, diinspirasikan daripada konsep SP 2023.
Lengkungan roda direka lebih menonjol, menjadikan profil CX-5 kelihatan lebih stabil dan mantap di jalan raya.
Di bawah bonet, CX-5 baharu kini menggunakan enjin petrol hibrid ringan 2.5L e-Skyactiv G berkuasa 139hp, menggantikan enjin 2.0L, 2.5L petrol dan 2.2L diesel sebelum ini.
Pilihan pacuan semua roda (AWD) masih ditawarkan, dan talaan semula pada sistem stereng serta suspensi memberikan pengalaman pemanduan yang lebih santai terutamanya untuk perjalanan jauh.
Mazda CX-5 serba baharu dijangka mula dijual pada harga sekitar £30,000 mengekalkan kedudukan kompetitif dalam segmen SUV keluarga.
Dengan pakej reka bentuk premium, teknologi infotainmen yang benar-benar kontemporari, CX-5 kini tampil sebagai pesaing utama dalam kelasnya.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Baca Juga : Continental UltraContact UX7, Tayar SUV Baharu yang Lebih Selamat, Tahan Lama dan Senyap