Automotif

Atlantis Automobili Kini Pengimport dan Pengedar Rasmi Maserati di Malaysia

Share

Atlantis Automobili Terajui Operasi Maserati di Malaysia

Jenama automotif mewah Itali, Maserati, memulakan lembaran baharu di Malaysia apabila Atlantis Automobili Sdn. Bhd. dilantik sebagai pengimport dan pengedar rasminya di negara ini.

Pelantikan tersebut berkuat kuasa sejak 19 Mei 2026, dengan Atlantis Automobili kini bertanggungjawab sepenuhnya terhadap operasi Maserati di Malaysia merangkumi jualan, khidmat selepas jualan, pengalaman pelanggan, pembangunan jenama serta pengurusan rangkaian.

Fokus Kekalkan Keyakinan Pemilik Maserati

Menurut Pengarah Eksekutif Atlantis Automobili Sdn. Bhd., Dato’ Douglas Cheng Heng Lee, keutamaan utama syarikat ketika ini adalah memastikan pengalaman pemilikan pelanggan tidak terjejas susulan perubahan pengedar rasmi berkenaan.

Beliau berkata, Maserati membawa warisan yang dibina menerusi elemen pertukangan, prestasi dan karakter tersendiri, sekali gus meletakkan tanggungjawab besar kepada Atlantis Automobili sebagai wakil baharu jenama tersebut di Malaysia.

Justeru, selain memastikan proses peralihan berjalan lancar, syarikat turut mahu membina asas yang lebih kukuh bagi menyokong perkembangan Maserati dalam jangka masa panjang.

Pemilik Maserati sedia ada juga akan terus menerima sokongan selepas jualan dan khidmat pelanggan, manakala saluran komunikasi khusus akan disediakan bagi menjawab pertanyaan atau memberikan maklumat terkini berkaitan operasi jenama tersebut.

Menurut Dato’ Douglas, pengalaman memiliki sebuah Maserati bukan sekadar berkaitan kenderaan, sebaliknya turut merangkumi hubungan antara pelanggan dan jenama, kualiti perkhidmatan serta keyakinan bahawa sokongan sentiasa tersedia apabila diperlukan.

Malaysia Kekal Pasaran Penting Buat Maserati

Sementara itu, Ketua Maserati Asia Pasifik, Julie Taieb-Doutriaux, berkata Malaysia terus dianggap sebagai antara pasaran penting dalam rangkaian Maserati di rantau Asia Pasifik.

Pelantikan Atlantis Automobili dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Maserati untuk memperkukuh kedudukannya di rantau ini, bukan sahaja dari aspek pertumbuhan jenama tetapi juga pengalaman pemilikan.

Dengan pengalaman Atlantis Automobili dalam sektor automotif serta pendekatan yang memberi penekanan terhadap pelanggan, Maserati menjangkakan kerjasama itu dapat meningkatkan lagi pengalaman pemilik sedia ada dan pelanggan baharu di Malaysia.

Pelaburan Baharu dan Fasiliti Maserati Bakal Menyusul

Atlantis Automobili turut mengesahkan beberapa pelaburan strategik dan penambahbaikan sedang dirancang bagi memperkukuh kedudukan Maserati dalam pasaran tempatan.

Ia termasuk perancangan berkaitan fasiliti baharu, program pelanggan serta beberapa perkembangan lain yang akan diumumkan kemudian.

Dalam masa sama, syarikat itu turut merancang membawa masuk portfolio produk Maserati akan datang ke Malaysia, sekali gus memberi petunjuk bahawa barisan model jenama Trident di pasaran tempatan bakal terus diperluaskan.

Dalam beberapa bulan akan datang, pemilik dan peminat Maserati boleh menjangkakan penekanan yang lebih besar terhadap pengalaman pemilikan, kecemerlangan selepas jualan serta program yang melibatkan komuniti Maserati tempatan.

Dari Grecale Hingga MCPURA

Maserati ketika ini mempunyai portfolio model global yang merangkumi Grecale, GranTurismo dan GranCabrio, selain pilihan model berprestasi tinggi daripada keluarga MC.

Bagi rangkaian elektrifikasi pula, jenama dari Modena itu menawarkan model GranTurismo Folgore, Grecale Folgore dan GranCabrio Folgore sebagai sebahagian daripada portfolio kenderaan elektrik sepenuhnya.

Di bahagian paling berprestasi dalam barisan produknya ialah MCPURA dan MCPURA Cielo yang menggunakan enjin V6 Nettuno berteknologi berkaitan Formula 1.

Turut berada dalam portfolio Maserati ialah GT2 Stradale, model jalan raya yang dibangunkan berasaskan jentera lumba GT2, selain MCXtrema yang dihasilkan dalam jumlah hanya 62 unit khusus untuk kegunaan litar.

Tahun 2026 juga cukup signifikan buat Maserati apabila jenama berusia lebih 112 tahun itu meraikan ulang tahun ke-100 penciptaan logo Trident, simbol yang kekal menjadi identiti Maserati sehingga hari ini.

Atlantis Automobili Turut Kendali Alfa Romeo

Atlantis Automobili merupakan syarikat bersekutu di bawah Atlantis Motor Group, sebuah kumpulan automotif serantau yang menawarkan perkhidmatan merentasi pelbagai bahagian rantaian industri automotif.

Selain Maserati, Atlantis Automobili juga merupakan pengimport dan pengedar rasmi Alfa Romeo di Malaysia.

Buat sementara waktu, operasi jualan dan servis Maserati akan dijalankan di Rhapsody Square, TREC, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, manakala pusat selepas jualan interim beroperasi di Kawasan Perindustrian Temasya, Shah Alam, Selangor.

Dengan pelantikan baharu ini, perhatian seterusnya sudah tentu terarah kepada perancangan Atlantis Automobili untuk Maserati Malaysia, khususnya berkaitan fasiliti kekal, strategi produknya serta model-model baharu yang bakal diperkenalkan kepada pasaran tempatan.

Baca Juga : Dulu Antena, Kini “Shark Fin”. Kenapa?

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.  

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi