Automotif

Malaysia Speed Festival Umumkan Pengenalan Myvi Cup dalam MSF Superturismo

Share

Myvi Cup

Kita selalu dengar Perodua Myvi digelar “raja jalan raya” kerana jumlahnya yang melimpah dan kerenah pemandunya yang kadang-kadang luar biasa. Kini model paling laris di Malaysia ini akan merebut gelaran “raja litar” dengan pengenalan Myvi Cup dalam Malaysia Speed Festival (MSF).

Mengikuti jejak kejayaan Saga Cup yang diperkenalkan pada 2014. Myvi Cup merupakan kategori baharu yang akan ditampilkan dalam MSF Superturismo. Bermula Pusingan 6 yang dijadualkan pada 10 November di Litar Antarabangsa Sepang Petronas.

Myvi Cup ini sepenuhnya merupakan inisiatif dari MSF dan terbuka kepada semua model Perodua Myvi yang dijual di Malaysia, dengan pelbagai kapasiti enjin. Terdapat dua subkategori dalam Myvi Cup iaitu

Pro dan Casual. Ia akan ditentukan berdasarkan penilaian pemandu oleh pihak penganjur perlumbaan.

Keselamatan

Seperti Saga Cup, parameter penting kenderaan perlu dikekalkan, dengan hanya komponen tertentu sahaja dibenarkan untuk ditukar atau dinaik taraf atas tujuan keselamatan. Semua kereta juga wajib dilengkapi dengan senarai peralatan keselamatan yang diwajibkan oleh penganjur.

Untuk memastikan persaingan kekal seimbang, beberapa aspek akan dikawal ketat. Contohnya, brek hadapan mesti mengekalkan kaliper dan rotor cakera asal, manakala brek dram belakang juga perlu dikekalkan. 

Komponen seperti rotor cakera brek, pad brek, kasut brek, dan hos brek boleh digantikan dengan alat ganti aftermarket, tetapi mesti mengekalkan dimensi asal.

Enjin pula mesti mengekalkan blok enjin standard di luar dengan throttle body dan manifold inlet asal. Komponen ini boleh diubah suai, namun penampilan luarannya mesti kekal standard. Tidak dibenarkan menambah item tambahan seperti injektor bahan api tambahan dan hos.

Peserta juga perlu menggunakan ECU asal kenderaan, tetapi dibenarkan untuk flash ECU atau menambah unit kawalan tambahan. Namun, ECU standalone tidak dibenarkan sama sekali.

Kotak Gear

Kotak gear asal Perodua Myvi mesti digunakan, dengan hanya nisbah Final Drive dibenarkan untuk diubah. Walaupun nisbah gear boleh diubah suai, sistem Dog Engagement dan gear Sequential tidak dibenarkan. Semua kereta juga mesti kekal dalam konfigurasi pacuan roda hadapan, dan penggunaan Limited-Slip Differential (LSD) tidak dibenarkan.

Adian Yein Khalid, Prinsipal MSF Superturismo, berkata: “Falsafah perlumbaan di MSF sentiasa bertujuan untuk menjadikan persaingan lebih mudah diakses dan mampu disertai oleh orang ramai, dan Saga Cup telah terbukti sangat berjaya dengan lebih daripada 75 buah kereta dan hampir 200 pemandu menyertai setiap pusingan.”

“Myvi adalah model paling popular di Malaysia hari ini dan telah bertahun-tahun berada di puncak sehingga digelar sebagai raja jalan raya. Oleh itu, pengenalan Myvi Cup adalah langkah semulajadi untuk membawa lebih banyak kepelbagaian dalam sukan permotoran,” tambahnya.

Myvi Cup pasti bakal menjadi medan baru untuk pelumba-pelumba di Malaysia bersaing dengan gaya tersendiri di atas litar.

Baca Juga Trend Pembelian Kereta – Permintaan Tinggi untuk Model Myvi

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.