
Jenama peralatan keselamatan motosikal global yang semakin kukuh di Malaysia LS2, memperkenalkan barisan produk baharu yang merangkumi tiga model topi keledar full face serta satu jaket ringan untuk kegunaan harian.
Pelancaran ini berlangsung sempena program Mforce TOP 68 Dealers’ Educational Tour Sales Campaign di Taizhou, China, menandakan komitmen LS2 dalam meningkatkan keselamatan dan keselesaan penunggang di Malaysia. Model yang diperkenalkan terdiri daripada LS2 FF817 CHALLENGER II, LS2 FF818 STORM III, LS2 FF820 RAPID III, dan jaket LS2 BREEZE.
Model paling premium dalam barisan ini ialah LS2 FF817 CHALLENGER II, sebuah topi keledar yang direka khusus untuk penunggang notosikal touring dan motosikal berkuasa tinggi.
Topi keledar ini menggunakan material HPFC (High Performance Fiberglass Composite)
yang merupakan gabungan gentian kaca berketahanan tinggi namun kekal ringan.Ciri keselamatan turut diberi perhatian melalui Emergency Release System, Reinforced Chin Strap, Metal Security Plate serta pensijilan ECE 22.06. Seperti model flagship lain, topi keledar ini hadir dengan Pinlock 120 XLT MaxVision, sun-visor terbina di bahagian dalam serta pelapik COOLMAX yang menawarkan pengurusan kelembapan optimum. Bagi penunggang jarak jauh, ini adalah antara model paling lengkap di pasaran.
Bagi penunggang yang inginkan keselesaan dan ciri praktikal untuk kegunaan dalam bandar atau lebuh raya, LS2 FF818 STORM III merupakan pilihan pertengahan dengan harga yang lebih mesra poket. Ia dibina menggunakan material KPA (Kinetic Polymer Alloy).
Model ini dilengkapi visor tahan calar, sun-visor boleh laras serta Pinlock 70 MaxVision. Sistem pengudaraan turut dipertingkat melalui bukaan udara atas dan dagu bersaiz lebih besar. Dengan harga bermula RM788, ia menawarkan harga yang berpatutan namun dengan kombinasi keselamatan dan keselesaan yang terbaik.
Model FF820 RAPID III pula hadir sebagai pilihan urban-touring yang lebih ringkas. Menggunakan bahan HPTT (High Pressure Thermoplastic Technology)
, ia mempunyai berat lebih ringan iaitu 1,350 ±50g dan disasarkan untuk penunggang harian yang mahukan topi keledar full face asas tetapi tetap patuh piawaian ECE 22.06.Walaupun berada dalam segmen harga lebih rendah dengan harga permulaan RM422, model ini masih menawarkan ciri penting seperti Channelled EPS, Breath Deflector, visor tahan UV dan tahan calar serta Quick Release System.
Selain topi keledar, LS2 turut memperkenalkan jaket LS2 BREEZE, pilihan ideal untuk penunggang di negara yang mempunyai iklim tropika. Jaket ini menggunakan fabrik 600D Oxford dan panel jaring besar, ia menawarkan aliran udara maksimum ketika tunggangan cuaca panas.
Jaket ini dilengkapi pelindung bahu dan siku yang boleh tanggal (EN1621-1 Tahap 1), serta serasi dengan pelindung dada LS2 CE dan pelindung belakang tahap 2. Dengan harga RM369, ia menjadi pilihan ideal untuk penunggang lelaki dan wanita yang mengutamakan keselamatan ketika menunggang.
Kesemua model ini bakal memasuki pasaran Malaysia dalam masa terdekat melalui rangkaian pengedar sah Mforce dan CFMOTO di seluruh negara. Dengan pilihan warna solid dan bercorak, LS2 menyasarkan penunggang urban, touring, harian serta mereka yang mencari perlindungan premium pada harga kompetitif.
Ditubuhkan pada 2007 oleh Jiangmen Pengcheng Helmet Ltd., LS2 berkembang pesat sebagai salah satu jenama topi keledar global paling dikenali. Pematuhi piawaian antarabangsa seperti ECE 22.06, DOT dan FIM, LS2 dikenali kerana inovasi material seperti HPFC dan KPA, penggunaan visor anti-kabus, pelapik antibakteria serta reka bentuk aerodinamik yang sesuai untuk tunggangan harian mahupun profesional.
Di Malaysia, LS2 terus mencatat pertumbuhan kukuh dalam kalangan komuniti motosikal daripada penunggang kapcai, skuter maxi, hingga pemilik jentera berkapasiti besar yang mementingkan perlindungan keselematan tetapi masih kekal keselesaan.
Baca Juga : Tips Memilih Topi Keledar Mengikut Gaya Tunggangan Anda
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.