Automotif

Cara Memohon Lesen Memandu Fizikal Di JPJ Sebelum Ke Luar Negara

Share

Mahu Memandu Di Luar Negara? Pastikan Lesen Fizikal Dibawa Bersama

Sekarang ini ramai pemandu Malaysia sudah terbiasa menggunakan lesen digital menerusi aplikasi MyJPJ.

Dalam negara memang mudah, buka telefon dan lesen sudah ada di tangan. Tapi kalau anda bercadang untuk memandu di luar negara, jangan terus anggap lesen digital sahaja sudah mencukupi.

Bagi urusan tertentu di luar negara, anda mungkin masih memerlukan Lesen Memandu Fizikal Malaysia, terutama apabila berurusan dengan pihak berkuasa atau syarikat sewa kereta.

Jadi, bagaimana cara untuk mendapatkan kad lesen memandu fizikal tersebut dan, yang paling penting, di manakah ia boleh diambil?

Permohonan Dan Pengambilan Dibuat Di Kaunter JPJ

Untuk mendapatkan salinan kad fizikal memandu, anda perlu hadir sendiri ke kaunter JPJ bagi membuat permohonan.

Bawa bersama dokumen pengenalan diri serta bukti perjalanan atau urusan ke luar negara. Antara dokumen yang boleh dikemukakan termasuk pasport, tiket penerbangan atau dokumen perjalanan lain yang berkaitan.

Fi yang dikenakan untuk pengeluaran salinan kad fizikal ialah RM20.

Selepas urusan permohonan dan bayaran selesai, kad fizikal berkenaan perlu diambil di kaunter JPJ. Ia bukan dokumen yang dihantar secara automatik ke alamat rumah anda.

Sekiranya anda merancang untuk memandu di luar negara, sebaiknya urusan mendapatkan kad fizikal dilakukan lebih awal.

Elakkan menunggu sehingga saat akhir dan berikan tempoh yang mencukupi sebelum tarikh perjalanan bagi memastikan segala urusan dapat diselesaikan dengan lancar.

Kenapa Masih Perlukan Kad Fizikal?

Walaupun lesen digital melalui MyJPJ sudah menjadi kebiasaan di Malaysia, sistem tersebut tidak semestinya digunakan atau diterima oleh pihak berkuasa negara lain.

Begitu juga apabila menyewa kereta. Syarikat sewa kereta di luar negara mungkin meminta anda menunjukkan Kad asal dalam bentuk fizikal sebelum menyerahkan kunci kereta.

Bayangkan sudah bayar kereta sewa, hotel pun sudah ditempah dan itinerary road trip sudah siap, tetapi tersangkut di kaunter hanya kerana tiada dokumen yang mereka mahu.

Jangan Keliru Dengan International Driving Permit

Satu lagi perkara penting, kad fizikal Memandu Malaysia bukan International Driving Permit (IDP). Dua benda ini mempunyai fungsi berbeza. Bergantung kepada negara yang anda kunjungi, anda mungkin perlu membawa IDP bersama lesen memandu Malaysia.

Sebab itu sebelum terbang, semak dahulu syarat memandu di negara destinasi dan juga syarat yang ditetapkan oleh syarikat kereta sewa yang anda gunakan.

Jangan tunggu sampai sudah berada di negara orang baru nak Google sama ada lesen memandu Malaysia diterima atau tidak.

Baca Juga: “Dummy Button” Masih Ada Pada Kereta Baru, Kenapa?

Senang Cerita, Settle Sebelum Terbang, kalau anda bakal melakukan road trip atau memang bercadang menyewa kereta di luar negara, masukkan urusan lesen sekali dalam checklist sebelum perjalanan.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.  

Related Post
Published by
Izzat Danial A Shabri