Pasaran motosikal tempatan terus berkembang dengan kehadiran satu lagi pemain baharu dari China, apabila Kove Moto secara rasmi membuat kemunculan sulung di Malaysia menerusi acara Kove Brand and New Model Launch 2025 yang berlangsung di KEV Advenduro, Rawang. Pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan jenama baharu, tetapi turut menandakan permulaan era baharu bagi motosikal berprestasi tinggi yang ditawarkan pada harga mampu milik.
Walaupun baru ditubuhkan pada tahun 2017, Kove Moto bukan nama asing dalam dunia dua roda global. Diasaskan oleh seorang peminat perlumbaan tegar di China, jenama ini tampil dengan falsafah “Focus on Performance” membina motosikal yang ringan, berkuasa dan dibangunkan untuk prestasi.
Dengan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D), rekabentuk serta pembuatan di bawah satu bumbung, Kove menonjol sebagai antara jenama baru yang agresif. Sejak penubuhannya, Kove sudah membina reputasi kukuh di pentas antarabangsa dengan penyertaan dalam perlumbaan besar seperti Dakar Rally
dan World Supersport Championship, sekali gus membuktikan kemampuan teknologi serta kejuruteraan mereka setanding pengeluar global lain.Kini, kehadirannya di Malaysia membuka peluang baharu untuk penunggang tempatan merasai kejuruteraan China yang dibangunkan khusus untuk pasaran antarabangsa dan bukan sekadar jenama ‘murah’, tetapi sebuah pengeluar yang fokus pada prestasi dan daya tahan.
Untuk pasaran tempatan, Kove Moto akan dikendalikan oleh MDua Motor Sdn Bhd, subsidiari kepada AFY Mobility Industries (AMI). Syarikat ini dilantik sebagai pengedar tunggal dan eksklusif bagi semua model Kove di Malaysia.
Kerjasama strategik ini bukan sahaja melibatkan urusan pengedaran, tetapi turut memastikan pelanggan mendapat jaminan perkhidmatan selepas jualan menyeluruh, termasuk penyediaan alat ganti asli, waranti rasmi dan khidmat teknikal bertauliah.
Walaupun kesemua model Kove yang diperkenalkan ketika ini adalah import sepenuhnya (CBU), pihak AMI memaklumkan bahawa rancangan untuk pemasangan tempatan (CKD) sedang dirangka bagi masa hadapan. Langkah ini dijangka dapat menurunkan harga jualan dan memperkukuh sokongan perkhidmatan di seluruh negara, seiring piawaian global jenama Kove.
Model pertama yang mencuri tumpuan ialah Kove 450R, jentera naked empat silinder yang menjadi bualan di serata dunia sejak diperkenalkan. Dikuasakan oleh enjin 443cc, empat silinder sebaris, model ini mampu menghasilkan 65.3hp dan tork 40Nm, dengan berat hanya 164kg menjadikannya antara motosikal paling ringan dan berkuasa dalam kelasnya.
Gabungan itu membolehkan Kove 450R mencapai kelajuan maksimum 205km/j, memberikan pengalaman tunggangan agresif dan lincah, sesuai untuk penunggang yang mencari adrenalin tulen di jalan raya mahupun di litar.
Selain reka bentuk sporty dengan lampu depan LED yang tampak moden, 450R turut dilengkapi paparan digital penuh, sistem brek cakera berkembar serta suspensi hadapan terbalik (USD fork). Dengan harga RM33,888 (tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans), model ini jelas menawarkan pakej prestasi tinggi pada nilai luar biasa.
Turut diperkenalkan ialah Kove 800X GT, model pengembaraan (adventure) yang dibina untuk ketahanan dan keselesaan jarak jauh. Ia dikuasakan oleh enjin dwi-silinder sebaris 799cc, menghasilkan 97hp dan tork 80Nm, dipadankan dengan sistem throttle elektronik (ride-by-wire) serta pilihan multi riding mode.
Untuk keselesaan optimum, Kove 800X GT menggunakan suspensi KYB berkualiti tinggi, tangki bahan api besar untuk perjalanan jauh, dan sistem brek ABS dwi-saluran. Berat kering sekitar 195kg memastikan pengendalian kekal stabil walaupun ketika membawa beban tambahan.
Model ini juga direka dengan ergonomik pengembaraan tempat duduk dua lapis, pelindung angin tinggi serta tayar dwi-guna untuk pelbagai jenis permukaan jalan.
Harga jualan rasmi ditetapkan pada RM48,888, dan sebagai penghargaan kepada pelanggan awal, 20 pembeli pertama akan menerima set kotak sisi (pannier box) eksklusif secara percuma.
Bagi peminat yang ingin melihat sendiri kehebatan Kove, semua model termasuk 450 Rally, 450R dan 800X GT kini boleh didapati di AMI Bumirai Showroom, PJ222 Petaling Jaya.
Kehadiran Kove Moto di Malaysia menjadi simbol permulaan baharu dalam landskap dua roda negara. Ia bukan sekadar memperkenalkan jenama baharu, tetapi menawarkan alternatif sebenar kepada penunggang yang mencari motosikal berprestasi tinggi tanpa perlu membayar harga premium.
Dengan strategi jangka panjang AMI dan reputasi global Kove yang semakin kukuh, jenama ini dilihat berpotensi besar untuk menjadi antara pemain utama dalam segmen sport naked dan adventure di rantau Asia Tenggara.
Harga Rasmi Kove Malaysia (2025):
Kove 450R: RM33,888
Kove 800X GT: RM48,888
Kove 450 Rally: Harga mengikut varian
Baca Juga : Kove 250RR Menakluk Pasaran Supersport dengan Prestasi dan Gaya
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.