Automotif

PROTON Pamer Teknologi Mobiliti Pintar Masa Depan di KLIMS 2026

Share

PROTON Perkenal Hala Tuju Mobiliti Pintar Melalui Teknologi HEV Baharu

PROTON tampil dengan pendekatan lebih futuristik di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 menerusi tema “PROTON AHEAD: Intelligence That Connects People”, yang mengetengahkan pelbagai teknologi pintar bagi meningkatkan pengalaman pemanduan rakyat Malaysia.

Menerusi ruang khas PROTON Intelligent Mobility Zone, pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat hala tuju teknologi masa depan jenama nasional itu, merangkumi pembangunan sistem hibrid, teknologi keselamatan, kejuruteraan trenkuasa, seni bina elektronik kenderaan serta pengalaman kabin digital yang lebih pintar dan berhubung.

Teknologi HEV Baharu Jadi Tumpuan

Antara tarikan utama ialah demonstrasi teknologi Hybrid Electric Vehicle (HEV) terkini PROTON yang dibangunkan bagi menggabungkan kecekapan enjin hibrid khusus (Dedicated Hybrid Engine – DHE) dengan transmisi hibrid khusus (Dedicated Hybrid Transmission – DHT).

Sistem ini direka untuk memberikan pemanduan yang lebih lancar, senyap dan cekap terutama ketika pemanduan bandar, kesesakan lalu lintas serta situasi berhenti dan bergerak.

Salah satu ciri utama teknologi ini ialah EV Mode, yang membolehkan kenderaan bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dalam keadaan tertentu. Sistem pintar tersebut turut berupaya menukar mod operasi secara automatik antara EV Mode, Series Mode, Parallel Mode dan Direct Drive (ICE Mode) mengikut kelajuan, keperluan kuasa serta tahap bateri bagi memastikan penggunaan tenaga yang optimum.

Enjin Hibrid Direka Untuk Kecekapan Maksimum

Jantung kepada sistem tersebut ialah enjin hibrid 1.5 liter yang dibangunkan khusus untuk aplikasi hibrid. Ia menghasilkan kuasa maksimum 82kW dan tork 136Nm, selain menawarkan nisbah mampatan tinggi 14:1 serta keserasian dengan petrol RON95.

Lebih menarik, enjin ini direka untuk mencapai kecekapan haba maksimum sehingga 46.5 peratus, dibantu teknologi seperti pembakaran kitaran Atkinson, sistem EGR sejukan air dan pam air elektrik pintar bagi mengurangkan penggunaan bahan api serta pelepasan emisi.

Bagi sistem transmisi pula, ia menggunakan konfigurasi motor berkembar P1 dan P3. Motor P1 berfungsi untuk menghidupkan enjin serta menjana tenaga, manakala motor P3 bertindak sebagai sumber pemanduan utama dan membantu proses pemulihan tenaga ketika membrek atau nyahpecutan.

Gabungan komponen ini bersama modul kawalan kuasa berkecekapan tinggi direka untuk menawarkan pengurusan tenaga yang lebih responsif dan pintar dalam penggunaan harian.

PROTON Mahu Teknologi Lebih Dekat Dengan Pengguna

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ir. Rashid Musa, teknologi yang dipamerkan di KLIMS 2026 mencerminkan langkah penting syarikat dalam memperkukuh pembangunan mobiliti pintar.

“Kami mahu pengunjung melihat sendiri bagaimana teknologi yang dibangunkan bukan sahaja canggih, malah direka berdasarkan keperluan sebenar pemandu Malaysia. PROTON AHEAD adalah mengenai masa depan mobiliti yang menghubungkan manusia, perjalanan dan aspirasi,” katanya.

Selain teknologi HEV, ruang PROTON Intelligent Mobility Zone turut mempamerkan pelbagai inovasi lain termasuk Advanced Driver Assistance Systems (ADAS), enjin i-GT, seni bina elektronik Electrical & Electronic Architecture (EEA), konsep Modular Vehicle Cockpit serta sistem infotainmen pintar IHU Smart Cockpit.

Kesemua teknologi ini menjadi asas kepada pembangunan generasi baharu kenderaan PROTON yang lebih selamat, cekap dan berhubung.

Barisan Model Lengkap dan X50 Modifikasi

Di samping pameran teknologi, PROTON turut membawa barisan model semasanya yang merangkumi Proton Saga, S70, X50, X70 Sport Edition dan X90.

Turut menjadi perhatian ialah sebuah Proton X50 yang telah diubah suai khas dengan imej lebih sporty dan agresif, menyerlahkan potensi SUV kompak yang menjadi antara model paling popular dalam portfolio PROTON.

Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai aktiviti interaktif di ruang pameran termasuk paparan visual LED 3D, interaksi bersama robot, aktiviti media sosial berhadiah serta lawatan teknologi berpandu yang disediakan untuk komuniti terpilih.

Pandu Uji dan Tawaran Istimewa Sempena KLIMS 2026

Sepanjang KLIMS 2026, model-model terpilih seperti Proton Saga, S70, X50, X70 dan X90 turut disediakan untuk sesi pandu uji bagi membolehkan pengunjung merasai sendiri prestasi, keselesaan dan teknologi yang ditawarkan.

Pada masa sama, pelanggan yang membuat tempahan di lokasi pameran bakal menikmati tawaran eksklusif sempena KLIMS 2026, selain peluang memenangi pelbagai ganjaran menerusi aktiviti media sosial yang dianjurkan oleh PROTON sepanjang acara berlangsung.

Baca Juga : Proton Perkenal e.MAS 7 Premium Plus, EV Dengan Tempat Duduk Urut dan Jarak 450km

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi