Automotif

Kerjasama Baru Cycle & Carriage Dan Stellantis Malaysia Dengan Penambahan Jenama Peugeot

Share

Pengembangan Portfolio dengan Penambahan Peugeot

Cycle & Carriage, jenama automotif terkenal di Malaysia yang telah lama berdiri selama 125 tahun, kini mengumumkan kerjasama terbaharu dengan Stellantis Malaysia.

Kerjasama ini membuka lembaran baru dalam sejarah syarikat dengan penambahan jenama Peugeot di bawah payung Stellantis ke dalam portfolio mereka.

Langkah ini bukan sahaja memperluas pilihan untuk pelanggan, tetapi juga mengukuhkan kedudukan kedua-dua pihak dalam pasaran automotif Malaysia.

Langkah Strategik untuk Pertumbuhan Pasaran

Kerjasama dengan Stellantis Malaysia merupakan langkah strategik bagi Cycle & Carriage untuk memperkukuh dan memperluas pasaran mereka.

Stellantis Malaysia, sebagai entiti rasmi yang menguruskan pemasaran, jualan, dan selepas jualan jenama Peugeot di Malaysia, menyediakan peluang kepada Cycle & Carriage untuk menjual pelbagai jenama di bawah satu bumbung.

Ini sejajar dengan matlamat Cycle & Carriage untuk memberikan pengalaman pemilikan kenderaan yang luar biasa kepada pelanggan mereka.

Baca Juga : Peugeot Bakal Integrasikan ChatGPT Dalam Model Akan Datang

Thomas Tok, CEO Cycle & Carriage, menyatakan kegembiraannya mengenai kerjasama ini.

“Kami teruja untuk memulakan babak baru dengan Stellantis Malaysia. Dengan pengalaman 125 tahun dalam industri automotif, kami yakin dapat menawarkan pilihan produk yang lebih luas dan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan kami. Kerjasama ini juga selari dengan strategi kami untuk memperluas capaian pasaran dan meningkatkan nilai pemegang saham,” katanya.

Perkembangan Infrastruktur dan Perkhidmatan

Jamie Morais, Pengarah Urusan Stellantis Malaysia, juga mengzahirkan kegembiraannya atas kerjasama ini.

“Hari ini menandakan pencapaian penting bagi Stellantis Malaysia. Kami teruja menyambut rakan dealer baru dalam rangkaian kami yang semakin berkembang. Reputasi cemerlang Cycle & Carriage sangat sesuai dengan nilai-nilai kami, dan kami menantikan untuk menetapkan standard baru dalam industri,” kata Jamie.

Sebagai permulaan, dua bilik pameran Cycle & Carriage di Cheras dan Batu Caves akan mula mempamerkan dan menjual jenama Peugeot pada suku keempat 2024.

Rancangan untuk mengembangkan jenama lain di bawah Stellantis Malaysia juga sedang dalam perancangan, termasuk pengembangan ke utara dan selatan Semenanjung Malaysia menjelang 2025.

Ini menandakan satu lagi pencapaian penting bagi kedua-dua pihak dalam rantau ini.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi