Porsche Malaysia, menerusi Sime Darby Auto Performance, memperkenalkan model terbaharu mereka, Cayenne S E-Hybrid Coupé. Kini boleh didapati di pasaran tempatan. Model ini adalah kenderaan kedua yang dipasang secara tempatan di Malaysia selepas Cayenne. Ia merupakan simbol penting dalam usaha Porsche untuk memenuhi permintaan di rantau ini.
Dengan harga bermula dari RM 728,000, SUV hibrid ini hadir dengan reka bentuk yang lebih segar, prestasi dinamik, dan teknologi terkini, sesuai untuk gaya hidup moden.
Cayenne S E-Hybrid Coupé menampilkan rupa luaran yang atletik dan ekspresif. Pelanggan di Malaysia kini boleh memilih warna seperti Carrara White Metallic, Chromite Black Metallic, atau Dolomite Silver Metallic tanpa kos tambahan. Roda 20 inci Cayenne S Design dalam warna
Vesuvius Grey menambahkan lagi gaya mewah dan sporty kenderaan ini.Sistem pencahayaan HD Matrix LED baharu turut menjadi ciri standard, menawarkan penglihatan dan keselamatan yang optimum dengan lebih daripada 32,000 piksel pada setiap lampu utama.
Di bahagian dalam, kemewahan SUV ini dipertingkatkan dengan stereng GT Sports. Pakej Sport Chrono lengkap dengan jam Porsche Design, serta sistem audio premium BOSE® Surround Sound System.
Untuk keselesaan tambahan, terdapat tempat duduk boleh laras 14 hala dengan memori. Kawalan iklim empat zon. Ioniser udara dalaman. Tirai elektrik pada tingkap sisi belakang. Pengguna juga boleh memilih antara dua warna upholsteri kulit mewah. Iaitu Hitam atau Bordeaux Red, lengkap dengan lambang Porsche di penyandar kepala.
Cayenne S E-Hybrid Coupé dilengkapi sistem bantuan pemandu seperti Adaptive Cruise Control, ParkAssist dengan Surround View, dan integrasi telefon pintar melalui Apple CarPlay®. Bahagian kabin pula menampilkan skrin melengkung 12.6 inci sebagai panel instrumen utama, bersama skrin infotainmen 12.3 inci.
Kedudukan tuil gear automatik di sebelah kiri stereng membebaskan ruang konsol tengah untuk kawalan sistem penyaman udara dalam rekaan panel hitam elegan. Gabungan kawalan mekanikal dan digital memberikan pengalaman pengguna yang intuitif dan praktikal.
Menggabungkan enjin V6 turbo 3.0 liter dengan motor elektrik, sistem hibrid Cayenne S E-Hybrid Coupé menghasilkan kuasa gabungan sebanyak 519 PS. SUV ini mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 4.7 saat dengan kelajuan maksimum 263 km/j.
Bagi pemanduan dalam bandar, mod elektrik menawarkan jarak perjalanan sehingga 90 km, menjadikannya pilihan ideal untuk gaya hidup urban di Malaysia.
Porsche turut memperkenalkan sistem suspensi udara adaptif baharu dengan teknologi dua ruang dan dua injap.
Suspensi ini bukan sahaja meningkatkan keselesaan pemanduan tetapi juga memberikan kestabilan yang lebih baik, sama ada di jalan raya biasa atau permukaan lasak.
Pilihan mod pemanduan seperti Normal, Sport, dan Sport Plus kini menawarkan pengalaman yang lebih berbeza untuk setiap situasi.
Dengan semua kelebihan ini, Cayenne S E-Hybrid Coupé sememangnya sebuah SUV yang menggabungkan keanggunan, teknologi, dan kecekapan. Untuk maklumat lanjut atau membuat tempahan, pelanggan boleh menghubungi Pusat Porsche berhampiran atau melayari laman web rasmi Porsche Malaysia.
Dari Porsche Malaysia
Baca Juga Porsche 911 GT3 Baharu – Gabungan Kuasa Litar dan Gaya Jalanan
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.