BYD baru-baru ini memperkenalkan teknologi termaju melalui hypercar elektriknya, Yangwang U9, yang memiliki keupayaan unik – melompat sendiri. Termasuk ketika bergerak secara autonomi. Walaupun ciri ini nampaknya mengagumkan, persoalan tetap timbul: sejauh mana ia benar-benar praktikal?
Dalam sebuah video pemasaran yang dikeluarkan oleh BYD, Yangwang U9 dipertontonkan melaksanakan aksi lompatan melalui halangan.
Apa yang lebih menarik, semua ini dilakukan tanpa pemandu, sepenuhnya dikawal oleh teknologi pemanduan autonomi kereta tersebut. Video itu menunjukkan U9 melalui trek lurus dengan tiga halangan berbeza.
Halangan pertama ialah lubang berisi air sepanjang 2.5 meter. Ketika menghampiri lubang itu pada kelajuan 120 km/j, kereta ini melompat dengan cara yang unik. Bahagian depan terlebih dahulu memampatkan dan melantun sebelum diikuti oleh bahagian belakang. Setelah berada di udara sejauh enam meter, roda kereta melanjutkan ke bawah untuk pendaratan lembut.
Seterusnya, kereta ini menghadapi barisan paku setinggi 3.5 cm, yang sekali lagi dilepasi dengan lompatan yang sempurna. Halangan terakhir ialah kawasan debu berwarna sepanjang empat meter, yang dilalui dengan mudah sambil meninggalkan awan pelangi di belakangnya.
Keupayaan lompatan ini disokong oleh sistem kawalan badan DiSus-X yang canggih, digabungkan dengan teknologi pemanduan autonomi BYD. Selain melompat, sistem ini juga membolehkan U9 melakukan pelarasan ketinggian pada setiap sudut, menghasilkan pergerakan seperti ‘menari’. Ciri ini tidak hairan memandangkan U9 dilengkapi empat motor dengan kuasa keseluruhan 960 kW. Membolehkannya mencapai 0-100 km/j dalam hanya 2.36 saat.
Namun, persoalan praktikaliti tetap timbul. Adakah keupayaan melompat ini benar-benar memberikan manfaat dalam situasi harian? Mungkin ia berguna untuk mengelak halangan kecil seperti bonggol jalan atau membawa kereta pulang dalam keadaan kehilangan satu roda, tetapi manfaat lebih besar masih belum jelas.
Walaupun dilengkapi teknologi canggih, U9 masih belum mampu menyaingi rekod kelajuan model elektrik lain di litar perlumbaan. Pada November tahun lalu, ia mencatat masa 7 minit 17.9 saat di Litar Nürburgring, ketinggalan di belakang Xiaomi SU7 Ultra (6:46.87) dan Rimac Nevera (7:00.03).
Dengan kelajuan maksimum kurang daripada 280 km/j semasa ujian itu, teknologi suspensinya tidak memberikan kelebihan ketara seperti yang diharapkan untuk hypercar bernilai ¥1.68 juta (±RM840,000).
BYD bukan asing kepada ciri-ciri unik. Sebelum ini, SUV Yangwang U8 yang mampu terapung dalam air selama 30 minit turut mencuri perhatian. Namun, seperti U9, teknologi ini lebih menyerlah sebagai gimik daripada sesuatu yang benar-benar relevan dalam penggunaan seharian.
Walaupun Yangwang U9 menunjukkan kecanggihan kejuruteraan BYD, sukar untuk menafikan bahawa daya tarikannya lebih tertumpu pada aspek promosi berbanding manfaat praktikal. Bagi peminat teknologi, ia pasti mengagumkan. Tetapi bagi pembeli yang mencari nilai praktikal, persoalan utama ialah sama ada inovasi seperti ini benar-benar berbaloi untuk dimiliki.
Dari Car Expert
Baca Juga BYD M6 EV MPV 2024 – Kini di Malaysia, Dari RM109,800
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.