BMW Malaysia membuat penampilan bergaya di Malaysia Autoshow 2025 dengan memperkenalkan bintang terbarunya dalam barisan 3 Series – BMW 330Li M Sport.
Model jarak roda panjang ini bukan sekadar tampil segar, malah menyambung legasi 50 tahun keunggulan BMW 3 Series. Ia mendefinisikan keseronokan pemanduan premium sejak 1975.
Kredit – BMW Malaysia
Ikon Bertukar Wajah, Tetap BMW
Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-50 3 Series, BMW 330Li M Sport hadir dengan reka bentuk yang lebih segar dan kontemporari. Dari luar, ia tampil dengan gril kidney ikonik berkemasan Pearl Chrome dan lampu hadapan LED adaptif yang lebih tajam.
Cukup untuk buat sesiapa yang tengok berpaling dua kali. Bahagian sisi menonjolkan siluet yang elegan. Dengan jarak roda yang dipanjangkan untuk memberi ruang kaki tambahan kepada penumpang belakang – gaya dan keselesaan, dua dalam satu.
Skrin melengkung bersambung – Kredit – BMW Malaysia
Kabin Futuristik, Pengalaman Lebih Digital
Masuk ke dalam, anda akan terus disambut dengan BMW Curved Display — gabungan skrin instrumen 12.3 inci dan skrin infotainmen 14.9 inci. Kedua-duanya dikuasakan oleh BMW Operating System 8.5.
Ia bukan saja nampak canggih, tapi juga sangat mesra pengguna. Sistem QuickSelect memastikan anda tak perlu menggali menu untuk cari fungsi utama seperti hiburan atau navigasi.
Ads
Panel instrumen baharu dengan saluran udara yang lebih kemas, kawalan berkemasan galvanik, serta elemen kristal Crafted Clarity pada gear shifter dan iDrive controller. Semua ini menjadikan kabin 330Li M Sport terasa sangat mewah. Dan untuk peminat audio, sistem bunyi Harman Kardon dengan 16 pembesar suara bakal memanjakan telinga anda di setiap perjalanan.
Driver Assistant dari BMW
Pemanduan Mantap, Bantuan Pintar
BMW 330Li M Sport tak lupa DNA asalnya – pemanduan yang tajam dan mengujakan. Dengan sistem Kawalan Pemanduan Aktif, Bantuan Parkir Plus dan Petunjuk Tekanan Tayar. Anda dapat gabungan prestasi dan keselamatan yang optimum. Sama ada membelah lebuh raya atau menyusur selekoh tajam, BMW ini kekal stabil dan yakin.
Tiga pilihan warna yang ditawarkan — Carbon Black, M Brooklyn Grey, dan Arctic Race Blue — cukup untuk memuaskan citarasa berbeza. Pilihan upholsteri Leather Vernasca Mocha atau Cognac pula menambahkan sentuhan sofistikated kepada ruang dalaman.
Bukan Sekadar Kereta – Ini Pengalaman Pemilikan
BMW Malaysia juga mengetengahkan inisiatif Relax. We Care., satu pendekatan menyeluruh terhadap pengalaman pemilikan kenderaan premium. Dari servis proaktif menggunakan data sensor masa nyata, hingga jaminan lima tahun tanpa had perbatuan. Setiap sudut pemilikan dilitupi. Ada juga perlindungan tambahan untuk model elektrik, termasuk jaminan bateri selama lapan tahun.
Ads
BMW ConnectedDrive pula memastikan kenderaan anda sentiasa dikemas kini dengan perisian terbaru, tanpa perlu ke pusat servis. Sementara itu, BMW Roadside Assistance sedia membantu anda 24/7 – dari tunda ke kereta ganti hingga ke penginapan hotel jika perlu.
Kokpit pemandu 3 Series
Tawaran Eksklusif di Malaysia Autoshow 2025
Berita baik buat yang mengidamkan BMW baharu – sempena Malaysia Autoshow 2025. Tempahan dari 1 hingga 31 Mei akan menikmati setahun tambahan untuk BMW Service Inclusive, bersama subsidi insurans motor bernilai RM5,000 untuk tahun pertama (di bawah program Easy Drive). Tawaran ini sah untuk model terpilih termasuk 3 Series, 5 Series, 7 Series dan BMW X.
Mudah Miliki, Senang Urus
Dengan pelan pembiayaan Easy Drive, anda boleh memiliki BMW 330Li M Sport serendah RM3,607 sebulan (80% pinjaman, tempoh lima tahun). Kalau nak lebih fleksibel, pelan Straight-Line pula menawarkan bayaran sekitar RM3,785 sebulan dengan kadar faedah serendah 0.5%. Tambahan pula, pelanggan turut layak untuk program BMW Protection+ – melindungi anda daripada pelbagai risiko termasuk kemalangan, kehilangan kenderaan, banjir, calar, dan lebih lagi.
Harga dan Servis
BMW 330Li M Sport Baharu ditawarkan pada harga atas jalan (tanpa insurans) RM320,800. Tambahan pakej Servis & Pembaikan Inklusif BMW selama lima tahun pula berharga RM26,400 – satu pelaburan untuk ketenangan minda.
Voxan kembali menjadi tumpuan dunia apabila motosikal elektrik mereka berjaya memecahkan empat rekod kelajuan di Salt Flats, Bonneville, Utah.
Projek yang merupakan hasil kerjasama antara pengeluar Perancis, Voxan, dan pelumba Louis-Marie Blondel.
Rekod ini memperlihatkan keupayaan motosikal elektrik yang semakin mencabar dominasi motosikal konvensional.
Kelajuan Luar Biasa Tanpa dan Dengan Fairing
Rekod kelajuan tersebut dicatatkan dalam dua kategori iaitu motosikal dengan fairing dan tanpa fairing melalui permulaan ‘flying start’ untuk jarak satu kilometer dan satu batu.
Blondel berjaya membawa motosikal tanpa fairing ke kelajuan 168.712mph bagi jarak satu kilometer.
Dengan pemasangan fairing, kelajuan maksimum meningkat kepada 180.065mph, menjadikan ia rekod tertinggi daripada empat pencapaian.
Kredit Foto : Website motorcyclenews
Rekod Kelajuan untuk Jarak Satu Batu
Selain itu, untuk jarak satu batu, motosikal berkuasa 107bhp ini, yang menggunakan teknologi Lithium-ion dan motor axial flux magnet kekal, berjaya mencapai 168.593mph tanpa fairing, dan 180.035mph dengan fairing.
Pencapaian ini membuktikan keupayaan motosikal elektrik untuk beroperasi pada kelajuan tinggi, sama ada dalam konfigurasi aerodinamik atau terbuka.
Ulang Tahun Ke-15 Kerjasama Voxan dan Venturi
“Empat rekod dunia baharu ini adalah hadiah hebat sempena ulang tahun ke-15 kerjasama kami,” ujar Gildo Pastor, Presiden Kumpulan Venturi yang memiliki Voxan.
Ini merupakan satu pencapaian yang amat bermakna bagi kedua-dua pihak dalam perjalanan mereka membangunkan motosikal elektrik berprestasi tinggi.
Sejarah Rekod Kelajuan Voxan Bersama Max Biaggi
Kerjasama antara Voxan dan Universiti Ohio State pertama kali mendapat perhatian global pada tahun 2021 apabila Max Biaggi, juara dunia sebanyak enam kali, memecahkan beberapa rekod kelajuan motosikal elektrik menggunakan model Wattman dari Voxan.
Biaggi, dengan kehebatannya, mencatatkan purata kelajuan dua hala melebihi 283mph dan dalam satu sesi, beliau memecut sehingga 292.2mph.
RW-5: Generasi Terbaru dengan Prestasi Lebih Hebat
Kini, motosikal Voxan RW-5, hasil pembangunan daripada Wattman yang digunakan Biaggi, terus membuktikan bahawa masa depan motosikal prestasi tinggi semakin cerah dengan teknologi elektrik.
Voxan bukan sekadar membuktikan kemampuan, tetapi turut menetapkan penanda aras baharu untuk motosikal elektrik di masa akan datang.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Manaus, ibu kota negeri Amazonas di Brazil, terkenal dengan keindahan alam semula jadinya yang dikelilingi oleh hutan hujan Amazon yang luas.
Satu aspek unik yang menjadikan Manaus berbeza ialah sistem stesen minyak terapung yang beroperasi di sepanjang sungai Amazon.
Dengan kedudukan geografinya yang dikelilingi oleh air sebagai laluan utama, stesen minyak ini menjadi nadi penting bagi penduduk tempatan, nelayan, dan kapal yang berlayar di sungai terbesar di dunia ini.
Mengapa Perlu Stesen Minyak Terapung?
Manaus terletak di tengah-tengah hutan Amazon, jauh dari rangkaian lebuh raya utama di Brazil.
Disebabkan akses jalan raya yang terhad, pergerakan di kawasan ini dilakukan melalui sungai, sama ada menggunakan bot kecil, kapal kargo, atau feri.
Oleh itu, kenderaan air ini memerlukan bekalan bahan api yang mencukupi untuk perjalanan jauh dan stesen minyak ini memainkan peranan penting.
Kredit Foto : Website commons.wikimedia.org
Ciri-Ciri Unik
Struktur Terapung Sepenuhnya Stesen minyak ini dibina di atas platform terapung yang diletakkan di tebing sungai atau di tengah laluan air. Ia direka khas untuk disesuaikan dengan paras air yang berubah-ubah sepanjang tahun, terutamanya ketika musim hujan dan kemarau di Amazon.
Kemudahan Lengkap Seperti Stesen Minyak Biasa Sama seperti stesen minyak di darat, versi terapung ini menyediakan pelbagai jenis bahan api termasuk petrol, diesel, dan minyak enjin untuk bot dan kapal. Beberapa stesen juga menawarkan perkhidmatan tambahan seperti kedai runcit kecil dan bengkel penyelenggaraan.
Bekalan Bahan Api Secara Berterusan Bahan api diangkut menggunakan kapal tangki yang membekalkan stok secara berkala bagi memastikan keperluan masyarakat setempat dan pelancong yang melalui kawasan ini sentiasa dipenuhi.
Kepentingan Stesen Minyak Terapung di Manaus
Menyokong Aktiviti Ekonomi
Ekonomi di kawasan Amazon sangat bergantung kepada laluan sungai.
Nelayan, pengusaha bot pelancong, dan pedagang yang menjual barangan ke perkampungan sekitar memerlukan bekalan bahan api yang cukup.
Tanpa stesen minyak terapung, operasi harian mereka akan menjadi sukar.
Kredit Foto : Website reddit
Pembangunan Infrastruktur Tanpa Merosakkan Hutan
Jika stesen minyak biasa dibina di darat, ia memerlukan penebangan hutan yang luas untuk membina jalan raya dan paip saluran untuk penyimpanan bahan api.
Dengan sistem terapung ini, keperluan infrastruktur darat dapat dikurangkan, sekali gus membantu pemuliharaan alam sekitar.
Memudahkan Perjalanan Jarak Jauh
Bagi sesiapa yang merentasi sungai Amazon dengan bot atau kapal kargo, mendapatkan bahan api boleh menjadi satu cabaran.
Kehadiran stesen minyak ini membolehkan mereka mengisi minyak tanpa perlu berpatah balik ke darat.
Cabaran Stesen Minyak Terapung
Walaupun inovatif, stesen minyak ini tetap menghadapi beberapa cabaran:
Kos Operasi Tinggi – Penghantaran bahan api ke kawasan terpencil melibatkan kos logistik yang tinggi.
Risiko Pencemaran – Jika berlaku tumpahan minyak, ia boleh memberi kesan negatif kepada ekosistem sungai Amazon.
Keselamatan – Kawasan sungai Amazon juga terkenal dengan kegiatan lanun sungai yang boleh menjejaskan operasi sesetengah stesen minyak.
Konklusi
Stesen minyak ini merupakan satu contoh inovasi yang dibina sesuai dengan keadaan geografi dan keperluan tempatan.
Ia juga dapat membantu penduduk dan industri di kawasan sungai Amazon.
Dalam masa yang sama stesen minyak ini membuktikan bagaimana manusia boleh membangunkan teknologi tanpa merosakkan alam sekitar.
Dengan pemantauan yang ketat dan langkah keselamatan yang baik, stesen minyak ini berpotensi menjadi contoh bagi kawasan lain yang menghadapi cabaran geografi yang serupa.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Mercedes-AMG sekali lagi menggamit perhatian dengan edisi khas terbarunya, GT 63 PRO 4MATIC+ Motorsport Collectors Edition. Dihasilkan dalam kuantiti terhad, hanya 200 unit sahaja di dunia. Model ini tampil lebih istimewa dengan sentuhan ikonik warna hijau Petronas, menandakan hubungan erat antara Mercedes-AMG dan pasukan Mercedes-AMG PETRONAS F1 yang telah memenangi lapan kejuaraan pengeluar.
Dari segi rekaan, kereta ini diilhamkan daripada jentera lumba Mercedes-AMG F1. Dengan balutan Obsidian Black Metallic yang memukau. Ciri yang paling menonjol adalah corak bintang yang dicat dengan tangan, memberikan gaya eksklusif kepada kereta ini.
Jaluran hijau Petronas pula membaluti kereta pada sekeliling bingkai cermin, menambahkan elemen sporty dan premium pada latar belakang hitam metaliknya. Gaya ini tidak terlalu berlebihan, malah diselarikan dengan rim AMG 21 inci yang berwarna hitam kesat.
Perincian Teknikal
Tidak hanya gaya, kereta ini turut menampilkan prestasi luar biasa. Di sebalik rimnya, terdapat angkup brek depan enam omboh dengan cakera seramik berukuran 420 mm. Tayar Michelin Pilot Sport Cup 2R Cup yang dibalut pada rim 21 inci memastikan kestabilan dan daya cengkaman maksimum di atas jalan.
Selain itu, kereta ini juga dilengkapi dengan pakej luaran AMG Exterior Carbon Fibre. Ia merangkumi pemisah depan, pendakap sisi, peresap, dan sayap belakang yang diperbuat daripada gentian karbon berkualiti tinggi.
Perincian Aerodinamik
Untuk menambah sentuhan aerodinamik, pakej AMG Aerodynamics dengan sayap belakang kekal hadir, serta bumbung kaca panoramik yang memberikan rasa lapang di dalam kabin.
Perincian Dalaman
Kemewahan bukan sahaja pada bahagian luar, tetapi juga bahagian dalaman kereta ini. Di dalam, elemen Petronas menghiasi papan pemuka, konsol tengah, kerusi, dan stereng AMG Performance.
Pelapik ambang pintu juga diterangi dengan warna hijau Petronas. Di bahagian konsol tengah, plet eksklusif ‘1 out of 200’ menandakan status edisi terhad.
Bukan sekadar penampilan, sistem audio Burmester dengan 15 pembesar suara dan kekuatan 1,170 watt memberi pengalaman audio yang luar biasa.
Perincian Kuasa
Ditambah pula dengan bunyi asli dari enjin AMG 4.0 liter V8 biturbo yang mampu menghasilkan 612 kuasa kuda dan 850 Nm tork. Gabungan ini memberi kereta ini kuasa dan kelajuan yang menakjubkan di atas jalan raya dan litar.
Untuk pengalaman memandu yang lebih baik, kereta ini turut dilengkapi dengan AMG TRACK PACE, yang membolehkan pemandu mengakses pelbagai maklumat berkaitan prestasi di litar. Bagi memastikan keselamatan maksimum, sistem GUARD 360o telah dipasang untuk melindungi kereta daripada sebarang ancaman kecurian.
Kesimpulannya, Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Motorsport Collectors Edition bukan sahaja memukau dari segi reka bentuk, tetapi juga prestasi luar biasa, dengan harga anggaran sekitar $200,000 (RM840,000) bagi pasaran eropah.