Perlumbaan berprestij Autobacs Super GT 2025 bakal kembali menggegarkan Litar Antarabangsa Sepang pada 27 dan 28 Jun ini! Ia merupakan sebuah festival penuh warna yang menjanjikan pengalaman luar biasa untuk peminat automotif terutama yang meminati seni budaya Jepun.
Super GT Kembali ke Malaysia Selepas 12 Tahun!
Ini adalah satu-satunya pusingan Super GT 2025 yang akan berlangsung di luar Jepun dan yang pertama di Malaysia sejak kali terakhir dianjurkan pada tahun 2013. Litar Sepang bakal menjadi pentas kepada perlumbaan ini sebagai pusingan ketiga dalam kalendar Super GT musim ini.
Bagi mereka yang sudah lama merindui deruman enjin jentera GT di Sepang, ini adalah peluang terbaik untuk melihat kereta-kereta lumba GT500 dan GT300 beraksi sekali lagi di trek. Seperti biasa, setiap pasukan akan menampilkan dua orang pelumba, dengan format perlumbaan rolling start yang penuh aksi.
Lebih Dari Sekadar Perlumbaan – Nihon Matsuri & GR86 Cup Series
Selain aksi di litar, peminat juga akan disajikan dengan festival makanan dan budaya Jepun Nihon Matsuri yang dianjurkan oleh Trumpet International. Festival ini bakal membawa pelbagai elemen menarik dari Jepun, termasuk makanan tradisional, pertunjukan seni budaya, dan barangan eksklusif.
Ads
Turut memeriahkan acara ini ialah perlumbaan sulung GR86 Cup Series Malaysia 2025, yang menampilkan 30 buah Toyota GR86 bersaing dalam empat pusingan sepanjang musim. Pusingan pertama akan berlangsung serentak dengan perlumbaan Super GT di Sepang, menjadikan acara ini lebih padat dengan aksi.
Apa yang Menarik Tentang Super GT 2025?
Bagi mereka yang kurang mengikuti perkembangan Super GT, kategori GT500 kini dibina mengikut regulasi FIA Class 1 Touring Car. Sama seperti perlumbaan DTM di Jerman. Ini bermakna setiap jentera GT500 dilengkapi casis spaceframe dan enjin 2.0L turbo empat silinder pacuan roda belakang.
Tiga pengeluar utama Jepun masih kekal bersaing dalam GT500:
Ads
Nissan Z GT500
Toyota GR Supra GT500
Honda Civic Type R-GT500
Sementara itu, kategori GT300 pula lebih bervariasi dengan jentera dari spesifikasi FIA GT3, Mother Chassis (MC), serta JAF-GT300. Antara jentera menarik yang bakal bertanding termasuk GR Supra GT300 pasukan Green Brave Racing dan Subaru BRZ GT300 dengan enjin boxer empat silinder.
Tiket Sudah Mula Dijual – Jangan Lepaskan Peluang!
Bagi yang ingin merasai pengalaman menonton Super GT secara langsung, tiket kini sudah mula dijual secara online melalui laman web rasmi Super GT Malaysia. Harga tiket adalah seperti berikut:
Grandstand K1: RM100 (harga early bird RM80)
Grandstand Utama: RM250 (harga early bird RM200)
GT Club Paddock Hospitality Lounge: RM2,000
Dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pit walk, grid walk, safari litar, serta peluang bertemu dengan pelumba dan pasukan kegemaran. Super GT 2025 di Sepang adalah acara yang wajib hadir bagi semua peminat sukan permotoran! Jadi, pastikan anda tempah tiket lebih awal untuk menikmati harga istimewa!
Bermula 9 September 2024 hingga 13 September 2024, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan siri Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) dengan tanda “EV”, dikhaskan untuk kenderaan elektrik sepenuhnya (Zero Emission Vehicle – ZEV).
Langkah ini menjadi sebahagian daripada usaha JPJePlate untuk memperkenalkan plat nombor khas yang mencerminkan status kenderaan mesra alam.
Sistem Bidaan Untuk Nombor Plat “EV”
Peluang kini terbuka kepada orang ramai untuk membida nombor plat eksklusif siri “EV”.
Namun, satu nombor istimewa, “EV1”, telahpun dimiliki oleh seorang individu kenamaan (VVIP) yang bakal diumumkan kelak, menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Selain “EV1”, semua nombor dalam siri ini tersedia untuk bidaan sehingga tarikh akhir yang ditetapkan.
Yang membezakan siri “EV” daripada plat pendaftaran biasa adalah ia hanya boleh digunakan oleh kenderaan elektrik.
Dengan pengenalan siri ini, JPJ turut merancang untuk meneruskan dengan siri sambungan seperti “EVA” dan “EVB” setelah semua nombor “EV” terjual.
Kredit Foto : Mekanika
Peraturan Ketat Bidaan dan Penggunaan Nombor “EV”
Dalam usaha memastikan ketelusan proses, JPJ menegaskan bahawa bidaan yang berjaya adalah muktamad.
Tiada permohonan rayuan atau pembatalan bidaan akan dipertimbangkan.
Lebih penting lagi, nombor “EV” tidak boleh dipindahkan atau digunakan pada kenderaan bukan elektrik.
Segala yuran dan caj bidaan juga tidak akan dikembalikan, menjadikannya satu komitmen serius bagi mereka yang ingin menyertainya.
Membezakan Plat Nombor dan Rekaan Fizikal JPJePlate
Ramai mungkin keliru dengan JPJePlate, tetapi penting untuk difahami bahawa nombor plat “EV” bukanlah rekaan fizikal baharu.
Sebaliknya, ia merupakan siri nombor eksklusif yang menunjukkan bahawa kenderaan tersebut adalah elektrik.
Rekaan fizikal JPJePlate pula melibatkan ciri plat khas yang turut diberikan kepada kenderaan EV, menjadikan identiti kenderaan tersebut lebih menonjol di jalan raya.
Sokongan Terhadap Inisiatif Keselamatan
Menariknya, sebahagian daripada hasil bidaan akan disalurkan kepada pelbagai program kebajikan rakyat, seperti pemberian topi keledar percuma dan latihan lesen motosikal B2 untuk golongan B40.
Inisiatif ini menegaskan komitmen kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan pengguna jalan raya, khususnya untuk mereka yang kurang berkemampuan.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download seeNI sekarang!
Pengusaha bas ekspres di Pantai Timur telah membuat keputusan untuk menaikkan harga tiket bas eksekutif sebanyak 42 peratus, dari RM44 kepada RM75, dalam masa terdekat. Keputusan ini diambil selepas perbincangan di kalangan pengusaha bas di Pantai Timur, disebabkan oleh peningkatan kos operasi dan peningkatan harga bas di negeri lain.
Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail, menjelaskan bahawa bas eksekutif merujuk kepada bas yang mempunyai kerusi 2+1 di setiap barisan, sementara bas ekonomi merujuk kepada bas dengan kerusi 2+2 di setiap barisan.
Che Ibrahim menjelaskan bahawa peningkatan harga tiket adalah disebabkan oleh kos yang semakin meningkat, termasuk kos alat ganti dan harga bas yang semakin mahal. Pengusaha bas tidak lagi mampu menampung kos operasi dan telah bersetuju untuk menaikkan tambang kepada harga yang ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Kredit: Utusan
Menurut Che Ibrahim, harga tiket untuk perjalanan Kelantan ke Kuala Lumpur akan meningkat dari RM35 kepada RM44 untuk bas ekonomi, manakala untuk bas eksekutif, harga akan meningkat dari RM44 kepada RM75. Beliau menegaskan bahawa kenaikan harga ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Setelah kenaikan harga ini dilaksanakan, harga tiket bas eksekutif atau ekonomi akan seragam di semua negeri, berbanding dengan Pantai Timur yang sebelum ini menawarkan harga yang lebih murah.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download seeNI sekarang!
Kesedihan terus menyelubungi keluarga dan rakan-rakan mangsa. Ini apabila seorang lagi remaja yang terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Matahari Heights, Persiaran Senawang 1, meninggal dunia malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan bahawa mangsa berusia 17 tahun itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.23 malam ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.
“Dengan pemergian mangsa ini, jumlah keseluruhan korban akibat kemalangan ini meningkat kepada tiga orang.” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mangsa merupakan penunggang motosikal Honda Vario yang ketika kejadian dinaiki bersama seorang rakan lelaki berusia 13 tahun. Kini, masih terdapat tiga mangsa lain yang mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat di hospital sama. Mereka terdiri daripada rakan kepada Aisar Azim, pemandu Honda Jazz yang berusia 18 tahun, serta seorang lagi penumpang kenderaan itu yang berumur 17 tahun.
Jenazah Selamat Dikebumikan
Jenazah remaja tersebut telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Maqbarak Salimah, Taman Zaitun Indah, Sikamat, malam tadi.
Terdahulu, insiden yang berlaku pada Khamis lalu ini telah mengorbankan dua remaja berusia 15 dan 16 tahun selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh oleh sebuah kereta Honda Jazz.
Menurut laporan sebelum ini, kenderaan tersebut dipandu oleh seorang lelaki berusia 18 tahun yang tidak memiliki lesen memandu.
Berdasarkan siasatan awal, pemandu berkenaan dipercayai gagal berhenti ketika lampu isyarat bertukar merah. Sebelum melanggar dua buah motosikal yang berada di persimpangan tersebut.
Kemalangan ini sekali lagi menjadi peringatan kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan berhati-hati ketika memandu. Khususnya di kawasan persimpangan lampu isyarat. Kecuaian sekecil mana pun boleh membawa akibat yang sangat tragis, lebih-lebih lagi apabila nyawa menjadi pertaruhan.
Pihak berkuasa kini masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap individu yang bertanggungjawab.